Pengenalan Image Map

Followers

Friday, December 14, 2012

Cerpen: Pelangi Indah

“…Najwa Qaleesya seorang gadis desa yang mengejar pelangi impian yang sememangnya diharapkan oleh kebanyakkan remaja seusianya. Bukan sahaja cita-cita yang dikejar namun tanpa disedari cinta juga turut mengejarnya umpama burung merpati yang mencari pasangan sejoli, maka cita-cita dan cinta perlu berjalan seiring agar impian menjadi realiti bukan lagi fantasi…” 

 Mulianya pengorbanan seorang ibu yang mengandung seorang khlifah, sembilan bulan 10 hari tanpa sedikit pun rungutan, proses kelahiran yang disulami pelbagai kesulitan yang harus ditempuhi, melalui tempoh berpantang dan menjaga dan mendidik seorang yang bakal menjadi pemimpin di mula bumi ini, umpama menatang minyak agar aku terus ceria menempuh masa depan yang lebih gemilang. Namun jasamu gugur tanpa sempat melihat anaknya berjalan dan berlari di hadapanmu, sesungguh Allah lebih menyayangimu lebih dari segala-galanya. 

Kemalangan 10 tahun lalu meragut segala kegembiraan seorang anak kecil yang masih dahagakan kasih sayang seorang ibu dan ayah. Najwa rindukan ibu dan ayah, rindu pada kehangatan belaian manjamu dan dakapan kasihmu wahai ibu dan ayah. Potret ibu dan ayahnya masih ditatapi bersama linangan air mata yang membasahi pipi mulusnya…ya Allah, tempatkan ibu di kalangan mereka yang Engkau kasihi dan sayangi…amin. Lantas potret ibu diletakkan semula di atas meja tulisnya. Kedengaran pintu bilik diketuk perlahan-lahan, kelihatan kelibat seorang perempuan di pertengahan usia yang masih diberi kekuatan menyambung tugasan sesorang yang belum selesai. 

 “Wawa, kenapa menangis sorang-sorang di pagi hari ni, ada masalah yang nak dikongsi dengan Tok Ma ke? Ceritalah, manalah tau Tok Ma dapat membantu meringankan beban Najwa ni.” Ujar Tok Ma mengusap lembut bahu cucu tunggalnya Najwa Qaleesya. Senyuman Tok Ma persis senyuman ibunya satu ketika dahulu, senyuman penuh sentuhan kasih dan cinta pada seorang anak yang manja sperti Najwa.

 “Wawa ok jer Tok Ma…Cuma teringatkan arwah ibu la Tok Ma, tiga bulan lagi Wawa akan menduduki peperiksaan SPM tapi Wawa macam hilang semangat jer nak terus belajar ke peringkat yang lebih tinggi,” Najwa mengesat air mata jernihnya dari terus luruh membasahi pipinya. “Wawa kena yakin kepada Allah, kita ni hanya pinjaman untuk menghiasi ruang di dunia, segala-galanya telah ditetapkan untuk kita sejak kita berusia empat bulan lagi dalam Rahim ibu. Suatu hari nanti kita semua akan kembali mengadapnya, apa jua yang dipinjamkan akan kembali kepada Pemilik yang Hakiki. Wawa jangan bimbing tentang kehidupan masa hadapan jika kita ikhlas dan redha dengan apa yang berlaku InsyaAllah, pertolongan Allah akan sampai bila-bila masa dan yang penting kita tidak boleh berputus harap pada rahmatnya. Wawa fahamkan apa yang Tok Ma cuba sampaikan?.” Kelihatan cucu kesayangannya kembali tenang dan ceria mendengar luahan dari seorang nenek. 


“InsyaAllah Tok Ma, Wawa takkan berputus asa dari rahmat Allah. Wawa akan terus berusaha sampai ke menara gading, Wawa nak bawa Tok Ma pergi menunaikan haji ke Mekkah,” Najwa memeluk erat Tok Ma. “Alhamdulillah, besar rupanya impian cucu Tok Ma sorang ni yer, jika diberi ruang dan peluang kita akan menunaikan haji bersama-sama yer.” Tersenyum lebar Tok Ma mendengar impian Najwa. “Amin….” Najwa meraup kedua belah tangannya ke muka dengan harapan agar doa dan permintaannya akan dikabulkan oleh Allah. “Sudahla, Tok Ma dah sediakan sarapan kat dapur, pergila makan dulu. Tok Ma ada kerja sikit di rumah Hajah Ramlah ni, mereka nak buat persiapan kenduri menyambut menantu mereka. Hajah minta Tok Ma siapkan pulut kuning sikit. Wawa kalau ada kelapangan boleh ikut petang-petang nanti, ada juga teman Tok Ma balik rumah, Tok Ma pun takut nak tinggalkan Wawa sorang diri di rumah…zaman sekarang macam-macam hal boleh terjadi tanpa kita duga, Wawa kena janji dengan Tok Ma kena berhati-hati dan jangan bercakap dengan orang yang kita tak kenal,” bebel Tok Ma sambil menuruni anak tangga di pondok usang ini. 


“InsyaAllah Tok Ma, Wawa akan jaga diri, Tok Ma jangan risau yer…,” senyum Najwa memeluk nenek kesayangannya. “Mana Tok Ma tak risau, Wawa sorang jer cucu Tok Ma.” Tok Ma semakin erat memeluk cucunya. Najwa berlalu menuju ke dapur usang Tok Ma, ada nasi lemak dan che mek molek kegemarannya. Mujurla hari ini hari Jumaat Najwa tidak membantu Tok Ma di gerai, dapatlah dia siapkan kerja-kerja rumah yang diberikan oleh gurunya minggu lepas. Tahun peperiksaan yang akan menentukan hala tuju masa depannya, sama ada dia mampu meneruskan impiannya bergelar seorang doktor atau terpaksa mengunci impiannya dalam peti hatinya.

 Selesai menjamah makanan dia mula mengatur kakinya ke sudut kecil biliknya yang merupakan tempat dia mengulang kaji pelajaran. Bagi dirinya hanya kejayaan dalam pelajaran yang akan merubah tanggapan orang kampung pada kemampuan anak gadis desa yang miskin sepertinya. Jam terus berdetik hampir pukul 2.30 petang, Najwa begitu leka menyiapkan tugasan sekolahnya. Namun sebaik sahaja dia menoleh ke arah jam dia teringat pesan Tok Ma, lantas bergegas mengambil wuduk dan bersiap untuk ke rumah Hajah Ramlah. Dia pantas mengenakan sepasang baju kurung hijau pucuk pisang, hadiah daripada Hajah Ramlah padanya sempena hari raya tahun lepas. 

Memandangkan Hajah Ramlah hanya dikurniakan tiga orang putera sahaja, dia menyayangi Najwa seperti anak perempuannya sendiri. Alhamdulillah, ada juga insan yang sudi mencurahkan kasih saying pada gadis desa miskin sepertiku ini. Najwa mula menuruni tangga dan berjalan menuju ke rumah Hajah Ramlah yang tidak jauh dari rumahnya, dia merenung basikal pemberian Harith, anak lelaki kedua Hajah Ramlah. Hatinya terdetik suatu perasaan yang sukar ditafsirkan oleh dirinya sendiri dan kadang-kadang dia keliru bila mana terpaksa menipu diri serta perasaannya. 

 “Wawa, basikal ini nanti abang nak hadiahkan pada wawa…senangla sikit nak berulang alik ke sekolah, tak la penat sangat asyik jalan kaki setiap hari.. Jaga elok-elok tau sebab abang sayang basikal ni macam abang sayang pada wawa,” matanya begitu tajam merenung Najwa, ada makna je ni. “Apa sayang-sayang ni, tak malu la abang ni…sapela yang sudi berkawan dengan gadis desa macam wawa ni…harta pun tak de apatah lagi rupa, abang ni jer suka mengusik wawa tau.” Mukanya yang merah jambu dah bertukar merah dek usikan nakal Harith. Malu-malu kucing la pula. “Abang ni pun bukanla putera idaman Malaya pun, bagi abang semua itu adalah anugerah dan kelebihan yang Allah pinjamkan untuk kita dan hanya kepadaNya kita akan kembali. Harta dan rupa boleh berubah, yang kaya jadi miskin…yang miskin jadi kaya…apatah lagi rupa dan kecantikan, tidak ada yang akan kekal selain Dia. Tapi kan bila abang tengok nenek wawa macam anak dara la, mesti banyak makan jamu ni…,” celah Harith lagi sambil mengelap basikal kesayangannya. 

“Abang ni tak baik tau, Tok Ma manala pandai makan jamu-jamu ni, kami kan orang susah…ulam-ulam kampong jer yang jadi santapan kami setiap hari, abang lain la…,” ada nada terkilan di hati Najwa apabila ia menyentuh kehidupan peribadi Tok Ma. “Ala…adik abang ni ke situ pulak, jangan la sedih. Abang gurau jer, wanita atau anak dara zaman sekarang dah tak sama macam orang-orang tua dulu dari segi penjagaan kesihatan terutama ulam-ulam kampuang, patutla wawa cantik suka makan pucuk kayu yer…” Najwa menjeling semakin geram. “Abang ni kan makin dilayan makin menjadi tau, tu belum tua lagi…apa pepatah kata yer…tua-tua miang keladi, makin tua makin menjadi, dahla wawa nak balik…nanti nenek bising,” wawa bingkas bangun dan mula mengatur langkah meninggalkan Harith. 

“Alamak, dah merajuk la pulak…jalan baik-baik yer sayang, kalu jatuh bangun sendiri tau.” hatinya berbunga-bunga macam ada sesuatu yang indah sedang bermain di kotak hatinya…C.I.N.T.A. Seminggu sebelum Harith berangkat ke Jepun untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di sana, Haji Sulaiman dan Hajah Ramlah mengadakan kenduri doa selamat sempena pemergian Harith ke Jepun. Najwa dan Tok Ma juga turut sama-sama membantu dalam majlis tersebut, tetapi apabila mereka bertentang mata seolah-olah ada dua jiwa sedang bergolak, namun masing-masing kurang jelas apa yang sedang bermain di layar hati mereka…hanya Allah yang lebih mengetahui. 

“Assalamualaikum…Tok Ma, rajinnya menyapu laman, wawa ada tak Tok Ma? ” ujarnya malu-malu. Matanya menjalar mencari wajah seseorang dari luar halaman. “Waalaikumussalam…engkau Harith, Tok Ma ingat sapa tadi, wawa ada tu ha…sedang mengait buah pauh…katanya boleh buat jeruk dan nak bagi pada Harith dan Hajah katanya, berbual-bualla dulu…Tok Ma bancuhkan tea sekejap,” senang dengan kedatangan anak muda ini. Harith menolak basikal kesayangannya perlahan-lahan, asyik memerhatikan Najwa yang leka mengutip buah-buah yang jatuh bertaburan di atas tanah…kasiannya dia, susah-susah untuk aku, detik hati kecilnya.

 “Hai mak nenek, wah bersungguh-sungguh mengutip buah ni, macam nak cabut sekali ngan akar-akar pokok ni…nak bagi kat sapa tu…mesti nak buat jeruk kata bang ni…wawa jer tau abang suka makan pauh jeruk.” Terkejut Najwa bila disapa dari belakang. “Sapa suka makan jeruk ni…perasan betul la abang ni…dah tak de kerja la tu, datang nak meyakat orang jer hari-hari….” Najwa terus mngutip buah pauh yang dikaitnya tadi tanpa menghiraukan kedatangan Harith. “Amboi garangnya…nanti manis pulak jeruk abang ni…,” gelak si Harith, Najwa pun turut tersenyum malu. “Abang datang ni ada hajat besar ni, nak meminang wawa untuk…” terkebil-kebil Najwa mendengar luahan Harith. “Jangan main-main la abang, wawa sekolah pun belum habis lagi dah nak ajak kahwin ke…gadis desa macam wawa ni banyak impian yang perlu dilaksanakan…abang kalu nak kawin cari orang Jepun je la…” terbahak-bahak Harith ketawa dengan reaksi Najwa. “Abang belum hais cakap lagi dah terus potong jalan, bukan untuk abang la…adikku sayang, abang nak pinang wawa untuk basikal ini…” merah padam muka Najwa dengan usikan Harith, kena lagi. Geramnya…Harith ketawa terbahak-bahak. Dari kejauhan mata tua Tok Ma, ada bibit-bibit kasih sedang berbunga dalam hati dua insan muda ini. 

Namun mungkin ada sinar kebahagiaan yang bakal menanti mereka berdua lantaran kedatangan Haji Sulaiman dan Hajah Ramlah dua hari lalu, lamaran kasih buat Najwa untuk disatukan dengan Harith. Sebentuk cincin belah rotan telah ditinggalkan sebagai tanda janji yang telah termeterai di antara dua belah pihak. Mujurla pada hari kedatangan mereka berdua, Najwa ada aktiviti sukan di sekolah. “Sebenarnya Kak Nom, kami ni dah lama berkenan pada wawa dan kedatangan kami hanya untuk mengikat rama-rama indah ada dalam taman bunga Kak Nom. Ia juga adalah hasrat anak bujang kami Harith, yang minta hal ini dapat dibincangkan dahulu sebelum dia berangkat ke Jepun minggu depan. 

Jika besar hasrat dan impian Harith maka lebih besa hasrat kami agar Kak Nom dapat menerima lamaran kami ini,” Hajah Ramlah lantas membuka kotak cincin lalu diserahkan pada Tok Ma. “Jauh di hati saya Hajah untuk menolak lamaran serta jodoh yang baik untuk cucu kesayangan saya ini, tapi wawa belum habis belajar lagi dan dia punya impian yang tinggi untuk merubah kehidupan kami agar lebih teratur. Jika diluahkan pada dia hal lamaran ini, saya bimbang pelajarannya akan terganggu…lagipun dia masih mentah untuk melalui kehidupan berumahtangga maklumlah banyak yang perlu dipelajari selok belok urusan rumahtangga ni,” gugup jantung Tok Ma menahan sebak di dada. 

Haji Sulaiman merenung Tok Ma dan dapat menyelami jauh ke dasar hati seorang wanita yang dianggap sebagai kakaknya selama ini lantas tersenyum. Haji Sulaiman mencelah, “kami faham situasi Kak Nom, jadi kami bercadang agar lamaran ini dirahsiakan dari pengetahuan wawa dulu. Biarla dia habiskan belajar dan terus belajar mengejar impiannya, kerana impian seorang remaja perlu disokong dan didokong oleh ahli keluarga terdekat maka kami jua akan turut menyokong segala keputusan yang dibuat oleh wawa memandangkan dia seorang yang matang dalam membuat keputusan. Harith pun tidak akan membantah jika itu pilihan wawa, dia masih muda maka pelajaranlah yang perlu diutamakan.” Lega Tok Ma mendengar huraian Haji Sulaiman. 

Hajah Ramlah turut tersenyum tanda bersetuju. Semoga Allah bukakan pintu hati Najwa suatu hari nanti untuk lamaran ini, amin. “Jika itu janji dari pihak Tuan Haji dan Hajah, saya terima lamaran ini bagi pihak cucu saya,” janji termeterai sudah di antara mereka, namun ada jua kegelisahan di hati Tok Ma jika Najwa menolak lamaran itu suatu hari nanti, malu besar pada keluarga Harith. Naluri hatinya kuat menyatakan bahawa hati mereka telah disatukan oleh Allah maka semoga Allah mempermudahkan laluan bahtera kehidupan mereka. “Wawa!!! Wawa!!! Cepatla, tadi kata nak dah siap, duk termenung pula dia, ingatka abang Harith ker…,” jerit Ainal dari kejauhan, tersentak Najwa seketika, mengada-ngada betul si Ainal ni. 

Basikal pemberian Harith disimpan semula di bawah rumah usang Tok Ma, tak jadilah nak bawa basikal, jalan kaki lagi bagus, getus hati kecilnya. Najwa berlari-lari anak menuju ke arah Ainal, mereka dah berjanji akan pergi bersama-sama ke rumah Hajah Ramlah membantu apa yang terdaya. Mereka tidak perlu bertunggus lumus membuat persiapan memandangkan Hajah Ramlah mempunyai butik pengantinnya sendiri dan beliau mempunyai segala kepakaran serta kelengkapan yang cukup untuk melancarkan majlis perkahwinan anak sulungnya, Adam Haikal bersama pasangannya Syarifah Ainul Mardiyya. 

Mereka berdua memang sepadan bagai pinang dibelah dua, sama cantik pulak tu… kedua-duanya bertugas sebagai jurutera di salah sebuah firma swasta terkemuka di Kuala Lumpur. Seharian suntuk di rumah Hajah Ramlah, akhirnya Najwa dan Tok Ma meminta diri untuk pulang memandangkan hari semakin gelap. Hajah Ramlah segera menyuruh pembantu rumahnya menyiapkan sedikit bekalan untuk mereka berdua, setelah bersalaman mereka berdua mula berjalan pulung ke teratak usang mereka. “Mesti penat cucu Tok Ma ni, Hajah ada tanya Tok Ma sama ada Wawa sudi tak bekerja dengan dia lepas SPM nanti, yelah sementara keputusan SPM keluar…dapatla Wawa simpan duit untuk beli kelengkapan nak masuk universiti nanti. Wawa setuju ker?.” Wawa diam seketika sambil menyedok nasi ke dalam pinggan lantas dihulurkan pada Tok Ma. Diam. “Boleh juga, lagipun Wawa pun belum ada sebarang perancangan lepas SPM ni, sekurang-kurangnya masa terluang Wawa dapat diisi dengan sesuatu yang berfaedah. Bila tengok gubahan hantaran yang digubah oleh pereka Puan Hajah…macam minat pula nak belajar, nanti Wawa nak buat sendiri la gubahan hantaran untuk perkahwinan Wawa,” gelak Najwa sendiri. “Wah, SPM belum lepas lagi…dah berangan-angan pulak nak kahwin ni…dah ada calon ker? Cepatla Tok Ma dapat cicit nanti.” 

Tok Ma seolah-olah memancing minat pada tajuk perbualannya tadi. “Alahai Tok Ma, Wawa cakap jer la…mana ada orang nak dekat dengan Wawa ni, pengawas yang garang dan tegas. Tok Ma janganla risaulah, Wawa akan dahulukan pelajaran serta cita-cita daripada cinta ni. Tok Ma lupa yer, Wawa kan nak bawa Tok Ma pergi menunaikan haji ke Mekkah, jadi Wawa kena kerja kuat-kuat siang malam, kumpul duit banyak-banyak untuk Tok Ma buat haji,” jelas Najwa dengan panjang lebar. “Alhamdulillah, tu yang Tok Ma nak dengar tapi janganla kerja sampai tinggal kulit dan tulang, nanti Tok Ma pulak usung Wawa…tapi kalu ada jodoh yang baik untuk Wawa dan dia boleh jaga Wawa macam Tok Ma jaga Wawa, Tok Ma akan terima lamaran tu, Tok Ma memang berharap ada lelaki yang dapat membahagiakan Wawa sampai ke akhir hayat,” air mata Tok Ma mula bertakung dalam kelopak mata tuanya. “Tok Ma, janganla macam ni…Tok Ma ni banyak tengok drama cinta ni…mesti syok tengok cerita Triologi Cinta ni...sensitif jer malam-malam ni…Wawa janji pada Tok Ma yang Wawa akan terima sesiapa saja pilihan Tok Ma nanti, janji dia juga kacak, penyayang dan yang penting dia seorang doktor.” 

Tok Ma senyum…memang dia juga bakal seorang doktor muda yang berjaya. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal ditempuhi tiga bulan lagi, setakat ini segala persiapan berjalan dengan lancar, jadual belajarnya diketatkan lebih daripada biasa; pukul 6.00 pagi dia akan membantu Tok Ma menjual di gerai, pukul 10 pagi dia akan mula bersiap ke sekolah, pukul 2.30 petang selepas solat Zohur dia akan mengulangkaji pelajaran di rumah Tuan Haji Sulaiman kerana anak bongsu beliau, Hairi Ahsyaf adalah rakan kelasnya. Pada p bukul 5.30 petang dia membantu Tok Ma di kebun dan membuat persiapan untuk jualan di gerai pada keesokan harinya, selepas makan malam dan solat isyak Najwa mula mengulangkaji pelajaran satu demi satu halaman buku diselak bersungguh-sungguh dan pada pukul 11.30 malam dia akan tidur sekejap dan bangun untuk solat tahajud dan menyambung ulangkaji untuk pperiksaan pada pukul 2.30 pagi sehingga subuh. Begitulah rutin kehidupan gadis berjiwa kental ini, Najwa Qaleesya meneruskan perjuangannya dengan penuh yakin dan ikhlas dalam mengejar impiannya bergelar seorang doktor bedah yang berjaya. 

 Najwa tidak perlu mengeluarkan duit belanja untuk membeli buku-buku nota atau latihan kerana abang Harith telah memberi semua buku-bukunya secara percuma kerana mereka sama-sama mengikuti aliran sains di sekolah. Manakala Hairi telah pun menubuhkan ‘study group’ di awal tahun bertujuan memudahkan ahli-ahli kumpulan bertukar dan berkongsi idea serta perbincangan yang lebih bermanfaat dan efektif. Hairi juga diminta oleh abangnya, Harith untuk membenarkan Najwa mengikuti ‘study group’ memandangkan Najwa tidak mempunyai kemampuan untuk belajar di mana-mana pusat tuisyen, walaupun Tuan Haji Sulaiman pernah mempelawa Najwa untuk dihantar bersama-sama Hairi ke kelas tuisyen di Pekan Tumpat tetapi pelawaan itu ditolak dengan baik dan beliau menghormati keputusan gadis yang berjwa cekal ini. 

Dari dulu sehingga sekarang, Tuan Haji Sulaiman tidak pernah membiarkan gadis ini melalui kehidupannya sendirian tambahan pula tanpa gadis desa ini sedari dia merupakan bakal menantu dalam keluarganya tidak lama lagi. Beliau tidak lokek memberi peruntukkan kepada Hairi ke Bandar Kota Baharu untuk membeli buku-buku latihan berdasarkan analisa soalan-soalan peperiksaan SPM, apa jua buku pelajaran yang dibeli oleh Hairi akan juga dimiliki oleh Najwa. Sebelum ‘study group’ bermula Hairi akan terlebih dahulu menghulurkan buku-buku yang dikirimkan oleh bapanya kepada Najwa. Ada masanya Najwa menolak tetapi bila ingatkan ada juga insan yang berhati mulia menghulurkan bantuan, tidak bergamak untuk menghampakan niat ikhlas Tuan Haji Sulaiman sekeluarga. “Adik jangan lebih-lebih tau dengan Wawa, Cuma bantu dia dalam pelajaran jer…adik kan tahu ma dan pa dah pergi melamar Wawa untuk abang, cuma dia jer belum tahu…jadi abang harap adik simpan rahsia ni dari pengetahuan Wawa, bukannya apa dik, cuma abang dia terganggu dengan berita lamaran tu nanti,” jujur hatinya sayang untuk membiarkan Najwa sorang diri, jadi diminta orang tuanya berbincang dengan Tok Ma sebelum dia berangkat ke Jepun.

 “Ya Allah, abang ni…ke situ pulak dia. Wawa tu tegas orangnya bukan semua lelaki dia layan tau di sekolah, abang la bertuah dapat perhatian dia, bagi Hairi dia dah cukup berdikari dan bijak dalam kehidupan dia. Dalam ‘study group’ pun kami jadikan dia role model dalam semua mata pelajaran dalam kelas, idea dan cara pemikiran dia buatkan kami malu pada diri sendiri…walaupun dia hidup secara sederhana dan serba kekurangan tetapi dia ada kunci kejayaan serta matlamat hidup yang jelas, kadangkala kami pun kurang jelas dengan matlamat hidup kami yang lahir hidup dengan semua kemewahan…untungla abang dapat isteri macam Wawa tu...” Puji Hairi, Harith tersenyum sendiri mendengar pujian ikhlas adiknya. “Tengokla,siapa yang pilih, selalunya pilihan abang memang yang terbaik.” Ujarnya bangga. “Yela tu, jangan abang bawa balik minah Jepun sudah la, pengsan pulak mama.” Berderai ketawa dua beradik ni. Lucu agaknya. Semenjak Harith melanjutkan pelajarannya ke Jepun, setiap minggu dia tidak lupa mengirimkan sekeping kad pada Najwa, walaupun berjauhan dan di pisahkan oleh dua benua namun tetapi hati mereka semakin hari semakin bersatu, mungkin cinta itu datang dari Allah. Harith sentiasa memberi kata-kata semangat dan sokongan pada Najwa agar terus mara mengejar impiannya. 

Dalam diam-diam Najwa tersenyum sendiri, adakah cita-cita dan cintaku berjalan selari dalamku mengejar sebuah impian, jika itu adalah takdirMu aku redha…ya Allah. Tiba-tiba Tok Ma menjeguk di birai langsir biliknya tanpa Najwa sedari. “hai asyik benar merenung kad-kad dari Jepun tu, esok periksa keluar soalan dalam dalam kad tu ker….,” usik Tok Ma. “Ya Allah…Tok Ma, terkejut tau Wawa…takdela Tok Ma, duk susun-susun kad ni, banyak sangat dah ni…semak pulak bila tengok kad-kad ni…ingat nak cari kotak di kedai Pok San tu,” Najwa cepat-cepat mengemaskan semua kad-kad Harith. “Hai, tuan badan kata kad-kad buat semak atau bertambah rindu bila baca kad-kad tu, ala…Tok Ma pun pernah muda dan pernah bercinta…Tok Ma faham sangat perasaan anak-anak muda sekarang…,” Tok Ma saja menguji isi hati Najwa dengan nada manja. Najwa diam dengan usikan Tok Ma tetapi dalam hati hanya Tuhan yang tahu apa yang tersembunyi jauh di lubuk hatinya. Alhamdulillah, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan seperti yang dirancang dan dipermudahkan oleh Allah. 

Najwa tidak perlu mengayuh basikal ke sekolah pada hari-hari peperiksaan malah dijemput dan dihantar oleh pemandu Tuan Haji Sulaiman. Tok Ma juga tidak berniaga di gerai jika keesokkan harinya Najwa ada kertas peperiksaan, katanya dia nak tumpukan sepenuh masanya untuk jaga makan minum Najwa sepanjang tempoh peperiksaan. Macam perempuan dalam pantang pulak aku ni…detik hati kecilnya sambil tersenyum. Besarnya pengorbanan orang-orang di sekelilingku ini, ya Allah…Engkau berikanlah ruang dan peluang untuk aku membalas semua penat jerih mereka padaku…amin. 

Setelah hampir sebulan berperang dengan pelbagai jenis soalan dalam kertas peperiksaan, akhirnya peperiksaan melabuhkan tirainya. Tenang hati apabila kakinya melangkah keluar dari Dewan Peperiksaan Sekolah Sains Machang ini…semoga keputusan yang bakal diumumkan dua bulan lagi akan menentukan hala tuju kehidupan yang seterusnya. Tok Ma kasian melihat wajah cucunya yang penat menalaah setiap malam sebelum menjelang hari peperiksaan dan terpaksa membantunya di gerai pula pada sebelah pagi, jadi Tok Ma meminta tempoh dua minggu pada Hajah Ramlah untuk Najwa berehat sebelum bekerja di butik pengantin miliknya. Hajah Ramlah faham dengan situasi Najwa yang baru sahaja selesai peperiksaan SPM, jadi dia memberi tempoh bagi Najwa berehat sepenuhnya. 

Selepas dua minggu, Najwa mula bekerja di butik pengantin milik Hajah Ramlah, besar juga butik Puan Hajah ni…ujar Najwa dalam hatinya. Segala kepakaran dan kebolehan Najwa dicungkil satu persatu bermula dari gubahan hantaran, konsep dan reka bentuk pelamin serta baju pengantin digilap oleh Hajah Ramlah. Pada pandangan Hajah Ramlah, Najwa seorang yang berkebolehan dalam apa jua bidang yang diceburi malah para pelanggan berpuas hati dengan lakaran pelamin serta konsep yang disuai padankan dengan majlis mereka. Apa yang memeranjatkan Hajah Ramlah, keuntungan butik pengantinnya meningkat dua kali ganda dari tahun sebelumnya. Bertuah sesiapa yang memiliki gadis ini, getus hatinya bangga dengan pencapaian Najwa dalam perniagaan butik pengantinnya. 

Melihat ketangkasan dan kesungguhan Najwa, Hajah Ramlah membeli sebuah kereta MyVi untuk Najwa, senang untuk dia berualang alik ke butik pengantin setiap hari. Memang pada awalnya Najwa memang berkeras tidak akan menerima kereta tersebut kerana rasa terhutang budi pada keluarga Hajah Ramlah. “Macam nila…selagi Wawa bekerja di butik mama duit bulanan kereta ni butik mama akan bayar dan bila Wawa dapat tawaran ke universiti…Wawa boleh guna berulang alik dari kuliah nanti. Jadi Wawa boleh bayar separuh dari duit bulanan untuk kereta ni, separuh lagi butik ini akan bayar…sebab mama masih perlukan kepakaran Wawa, lebih-lebih lagi bila Wawa ada cuti semesta…sayang mama nak lepaskan pekerja yang berkebolehan macam Wawa ni.” Rayu Hajah Ramlah. “Jika itu permintaan mama…Wawa setuju untuk terima kereta ni…sebenarnya Wawa segan dengan keluarga mama, banyak tolong Wawa dan Tok Ma, nanti apa orang kampung kata bila tengok Wawa pakai kereta pula, tak tau macam mana Wawa nak balas nanti.” Mati akal pulak Najwa dipujuk oleh Hajah Ramlah persisi seorang ibu memujuk anaknya. 

“InsyaAllah, kita serahkan pada Allah macam mana dia akan bantu Wawa buat keputusan bila tiba waktunya.” Ujar Hajah Ramlah penuh persoalan. Ada makna di setiap kalimah yang dilontarkan pada Najwa. Genap dua bulan setengah dia bekerja di butik pengantin Hajah Ramlah, hari ini dia perlu bersiap untuk ke sekolah kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan oleh pengetua sekolah pagi ini, Tok Ma juga tidak melepaskan peluang untuk melihat kejayaan cucunya setelah sekian lama menunggu, mereka menaiki kereta myVi milik butik Hajah Ramlah. 

Setibanya mereka di perkarangan sekolah, pelajar-pelajar telah pun memenuhi tapak perhimpunan sekolah. Mereka datang ditemani ibu bapa dan keluarga terdekat maklumlah keputusan ini sebagai penanda aras bidang mana yang harus diceburi oleh mereka sebelum melangkah menuju pintu gerbang universiti dengan jayanya. Tepat jam 11.00 pagi, para pelajar dan ibu bapa diiringi oleh para guru serta pengawas yang bertugas bagi memastikan kelancaran majlis pada pagi tersebut, mereka mula berduyun-duyun memasuki dewan besar sekolah bagi sesi taklimat dan seterusnya pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Najwa memimpin tangan Tok Ma ke barisan hadapan sekali kerana Najwa ingin melihat air mata kegembiraan insan yang paling dia sayangi melihat dia melangkah penuh bersyukur mendapatkan keputusannya. 

Kelihatan Tuan Haji Sulaiman dan Puan Hajah Ramlah serta Hairi melambai-lambai tangan mereka, Tok Ma juga sempat membalas lambaian mereka dari jauh. Tiba-tiba dewan diam seketika dan para hadirin diminta berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dan lagu sekolah. Selepas doa dibaca oleh Ustaz Sakimi, majlis dimulakan dengan ucapan pengetua sekolah dan penerangan mengenai pencapaian peperiksaan dari tahun ke tahun. “Alhamdulillah, berkat kesungguhan para pelajar itu sendiri, dibantu oleh para ibu bapa serta kegigihan guru-guru semua, akhirnya sekolah kita masih bertahan sebagai salah sebuah sekolah yang masih mampu bertahan sebagai sekolah cemerlang, gemilang dan terbilang dengan keseluruhan pencapaian hampir 100% selama lapan tahun berturut-turut. 

Tahniah dan syabas saya ucapkan pada semua yang terlibat dalam menjayakan peperiksaan kali ini.” Tegas Pengetua dengan penuh semangat di pagi yang bermakna ini. “Apa yang paling mengembirakan sekolah kita adalah calon pelajar sekolah kita telah terpilih sebagai pelajar terbaik dalam semua mata pelajaran bagi sekolah seluruh Kelantan dan di luar jangkaan kita bahawa kita pelajar ini juga telah berjaya merebut gelaran pelajar terbaik peringkat kebangsaan dan akan diberi dana biasiswa oleh Bank Negara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang menjadi pilihannya sama ada di univesiti tempatan dalam atau luar Negara, ini adalah hadiah yang julung-julung kalinya bagi sekolah kita. 

Syabas dan tahniah atas usaha pelajar ini mengharumkan nama sekolah dan negeri Kelantan di peringkat Negara. Maka tanpa membuang masa saya umumkan pelajar terbaik bagi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini dimiliki oeh Nur Najwa Qaleesya Binti Muhammad Qalish Amri. Dengan segala hormat dipersila naik ke pentas utama…” terpana dengan gemaan seluruh hadirin dalam dewan sekolah, Najwa berkaku buat seketika, Tok Ma memeluk cucunya dengan linangan air mata tanda penuh kesyukuran atas rahmat yang tidak ternilai ini. 

Sebaik sahaja majlis berakhir, Najwa tidak putus-putus menerima ucapan tahniah dari guru-guru dan rakan-rakan sekolahnya. Lima belas tahun berlalu dengan begitu pantas penuh suka duka dalam mengejar erti sebuah pengorbanan dan nilai kehidupan, sebaik sahaja tamat pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Najwa mendapat tawaran bertugas sebagai doktor bedah dan merangkap pensyarah kanan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, tiga tahun lagi dia akan menyambung pengajian untuk melengkapkan status jawatan sebagai pakar bedah di New Zealand. Sebenarnya dia bercuti hari ini kerana urusan dengan Tabung Haji belum selesai, Alhamdulillah…Allah makbulkan hajatnya dan Tok Ma untuk menunaikan haji tahun ini. Rindu untuk bermujahadah di hadapan Kaabah dan menziarahi tempat-tempat bersejarah dalam Islam yang selama ini hanya melihat dan merenung Kaabah menerusi kaca television. 

Tiba-tiba jarinya terusik sebentuk cincin belah rotan dan cincin berlian di jari-jari tangannya, diusap-usap manja, nakal betul Harith dalam diam-diam dia hantar rombongan meminang tanpa pengetahuannya, Tok Ma pun secara langsung terlibat sekali. Pada mulanya memang terkejut apabila Hajah Ramlah menyarungkan cincin di jari manisnya ketika beliau membuat sedikit kenduri doa selamat untuk Hairi dan Najwa kerana telah berjaya menjejaki kaki ke menara gading, Hairi memilih bidang kejuteraan di USA manakala Najwa meneruskan impiannya dalam bidang perubatan di universiti tempatan sahaja kerana bimbang akan kesihatan Tok Ma sejak kebelakangan ini yang selalu diserang asma. Namun, Najwa seakan-akan dapat meneka cincin apa yang disarungkan di jari manisnya lantas mengucup tangan Hajah Ramlah dan memeluknya erat, Tok Ma tersenyum melihat tangisan manja cucunya. 

Ada pula masa dia mengenangkan kisah silam, bak kata orang tua-tua, tidak ada kehidupan baru jika tiada kehidupan silam sebagai kenangan. Pintu pejabatnya diketuk perlahan-lahan, pembantu peribadinya masuk membawa minuman panas dan sedikit kuih muih. Najwa merenung hidangan di hadapannya. “Saya belum pesan sarapan pagi ini, pandai awak teka yang saya belum sarapan, saya sibuk hari ni langsung tak ingat nak sarapan, tapi kenapa ada dua cawan ni, saya ada tetamu ke ni?,” ujar Doktor Najwa sambil menjamah kuih muih kegemarannya. “Maafkan saya doktor Najwa, sebenarnya Doktor Harith yang minta saya bawakan sarapan ni sebab dia cakap Doktor Najwa dan baby dalam perut perlukan tenaga yang lebih…kan tak lama lagi doktor berdua akan menunaikan haji bersama jadi doktor perlu makanan dan rehat secukupnya bagi memastikan doktor cukup sihat semasa di Tanah Suci nanti,” jelas Junaidah panjang lebar. Sebaik sahaja Junaidah menghabiskan ayat terakhirnya, pintu biliknya di ketuk manja. 

“Hai sayang…kita dah tak de banyak masa ni, petang ni kena berkejar ke Tabung Haji atas urusan penambahan jamaah ni…”ujarnya sambil menghirup kopi di atas meja isteri kesayangannya. “Penambahan Jamaah? Siapa lagi dapat ikut kita pergi Haji ni…” teruja untuk mendengar kata-kata Doktor Harith yang seterusnya. “Along dan Hairi la, pihak Tabung Haji telefon minta mereka bersediala…jadi abang nak kena buat senarai semak la nanti.” Tersenyum Doktor Harith melihat bakal ibu muda mengadap kuih-muih di atas meja. Nampak comel sangat. 

“Alhamdulillah, makbul juga hasrat bapa dan mama agar anak menantunya turut serta dalam rombongan kali ini, mereka dah tahu ke ni?.” Harith mengangkat keningnya nakal. “Belum lagi…saja nak buat kejutan di airport nanti,” Najwa tersenyum. “Abang ni kan nakal sejak dalam perut mama lagi yer…” gelak Najwa perlahan-lahan. “Abang kan anak lelaki memangla aktif dan nakal, kalu tak Puan Doktor Nur Najwa Qaleesya Binti Muhammad Qalish Amri ni terlepas la ke tangan doktor lain nanti…” hidung Doktor Najwa dicuit manja. 

“Memang nakal betul abang ni…” Najwa mula bangun dan mencapai tas tangannya dan berjalan seiringan dengan suaminya. Seminggu lagi mereka semua akan berangkat untuk menunaikan haji ke Mekkah. Najwa berjalan menuruni tangga rumah banglonya perlahan-lahan, lantas menuju ke kamar Tok Ma, kelihatan Tok Ma sedang merenung gambar-gambar lama. Beberapa butiran manik permata sedang membasahi pipi Tok Ma, Najwa melangkah perlahan-lahan lalu memeluk Tok Ma dari belakang…penuh erat dan penuh kasih sayang. “Indah sungguh percaturan hidup yang Allah lakarkan untuk kita kan Tok Ma, tak lama lagi kita bakal menjejakkan kaki ke Mekkah…Tok Ma gembira tak, atas anugerah dah rahmat Allah ni?,” pelukan Najwa semakin erat dan Tok Ma mengesat air mata kegembiraannya. 

Tiada kata yang terucap di setiap bibir insan di dunia ini apabila masih diberi kesempatan bernafas di hujung waktu yang tidak tahu di mana penghujungnya. “Sesiapa yang diberi kesempatan memijak bumi Mekkah pada usia Tok Ma ni seharusnya bersyukur akan segala nikmat pemberianNya. Wawa nak tahu tak, semasa pengetua sekolah mengumumkan keputusan SPM dulu, inilah hari yang paling gembira dalam hidup Tok Ma, dek lakaran kehidupanNya inilah kita mengecapi sedikit kesenangan dan kegembiraanNya, namun kita perlu ingat segala-galanya hanya pinjaman…kita akan kembali padaNya jua nanti. Wawa masih ingat kata-kata Tok Ma dulu, Wawa jangan leka akan nikmat dunia kerana ia adalah sementara, walaupun Wawa sibuk dengan tugas sebagai doktor di hospital, jangan sesekali abaikan amanah dan tanggungjawab Wawa yang lain, lebihkan urusan akhirat daripada urusan dunia, kerana kita bekerja untuk Pemilik alam ni bukan pada manusia semata-mata.” 

Air mata Najwa juga turut mengalir mengiakan kata-kata Tok Ma, dia harus redha akan setiap takdir Allah dengan hati yang terbuka. Najwa bersyukur kerana Allah masih memberi kesempatan untuknya menunaikan hajat Tok Ma untuk menjalankan kewajipan rukun Islam kelima dengan penuh keyakinan akan janji-janji Allah adalah benar bagi mereka yang benar-benar beriman kepadaNya. Sesungguhnya, lambat atau cepat sesuatu doa dimakbulkan oleh Allah adalah atas usaha dan keyakinan kita kekuasaan Allah yang Mutlak, kerana tidak bernafas jasad ini tanpa roh dan tiada rupa roh ini tanpa jasad yang sempurna dari PenciptaNya. Kadang-kadang manusia akan terleka dek kemewahan dan kesibukan mencipta nama dan pangkat di dunia, lupa masih ada insan yang dahagakan kasih saying dan perhatian daripada kita yang dipinjamkan Allah nikmat kesenangan ini. 

Di kejauhan alam nan menghijau Terpancar kerdipan swarowski yang memukau pandangan Gerangan apa yang membuatkan hati tersentuh dan kaku Ku adalah insan yang bertafakur di bening subuh Meniti sejuta keampunan dari Zat yang Maha Agong Kerdipan swarowski semakin menerangi nun sanubariku Ke mana harus kutitipkan kerinduan pada Penciptaku Kaki ini semakin laju berlari mengejar sinar cahayaMu Semakin lama hati terpukau dek keindahan bait-bait kalimah suciMu Segar dan nyaman cahaya indah meresap jauh dalam kesyahduan malam Inilah erti kehidupan yang hakiki apabila hidup dirahmati Pencipta Inilah erti kejayaan yang sebenar apabila ia dimanfaati secara ikhlas dan telus Inilah erti kesungguhan yang mutlak apabila al Quran dan as Sunnah jadi penduan Inilah erti pemenangan apabila doa dimakbulkan oleh Khaliq yang Maha Agong Inilah erti ketenangan apabila hati menjadi tumpuan Allah yang Maha Penyayang 

Isterimu_gadis desa 
Najwa Qaleesya  :-)

Pena ini semakin laju melakari sekeping nota indah buat insan tersayang, semoga kehidupan ini terus mendapat perlindungan serta prtolongan Allah…amin.

1 comment:

  1. Cerpen ini adalah hasil nukilan sepupu saya yang sgt berbakat....harap2 beliau akan kembangkan lagi bakatnya....InsyaAllah....

    ReplyDelete