Tonggak 12 diilhamkan oleh Yang Berbahagia Ketua
Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid pada 2 Mac
1992 di dalam ucapan perasmian Seminar Nilai dan Etika di Hotel Pan Pacific,
Kuala Lumpur. Ia merupakan satu garis panduan yang digariskan kepada semua kakitangan
awam dengan harapan perkhidmatan awam akan menjadi lebih cekap dan berkualiti.
Tonggak 12 menjelaskan konsep nilai, norma dan etika
dalam kehidupan manusia. Di dalam sektor pendidikan khususnya, Tonggak 12 perlu
diamalkan samada oleh pihak pentadbir mahupun pendidik kerana ianya merupakan
salah satu langkah dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Nilai-nilai yang baik akan membentuk guru yang bekeperibadian mulia seterusnya
menjadi contoh dan teladan kepada anak murid mereka. Perkara-perkara yang
terdapat di dalam Tonggak 12 ialah menghargai masa, ketekunan membawa kejayaan,
keseronokan bekerja, kemuliaan kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan
sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksanaan berhemat,
keutamaan kesabaran, peningkatan bakat dan nikmat mencipta. Namun begitu, pada
pendapat saya, 5 elemen utama yang perlu ditekankan sebagai guru iaitu
menghargai masa, ketekunan bekerja, keseronokan bekerja, pengaruh teladan, dan
keutamaan kesabaran.
Masa
yang berlalu tidak mungkin akan kembali. Ini menunjukkan pentingnya pengurusan
masa yang baik bagi seorang guru. Masa yang tidak diuruskan dengan baik
merupakan modal yang telah lesap. Sebagai seorang pendidik, pembaziran masa
sepatutnya tidak diamalkan. Ini adalah kerana, sikap negatif ini memberi kesan
kepada pelajar seperti guru lewat memasuki kelas atau hadir lewat ke sekolah. Di
dalam al-Quran iaitu surah al-As, ayat 1-3 yang bermaksud:
“Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu
dalam kerugian;Kecuali orang-orang yang beriman danberamal soleh, dan mereka
pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”
Sebagai seorang guru, amatlah penting
merancang penggunaan masa dengan sebaik-baiknya. Ini adalah kerana guru perlu melaksanakan kerja dengan
sebaik-baiknya dengan ruang masa yang diberikan untuk pendidikan pelajarnya.
Apabila masa diuruskan dengan baik, sesuatu kerja tidak perlu dilakukan semula
kerana ia telah dirancang dengan sebaiknya. Nilai yang perlu diutamakan dalam
menghargai masa oleh seorang guru ialah menepati masa samada hadir ke sekolah
atau kelas, merancang pengajaran sekurang-kurangnya sehari lebih awal dan
menyelesaikan segala tugasan pada masa yang ditetapkan. Selain itu, melalui pengurusan
masa dengan betul, ia boleh dijadikan contoh kepada pelajar kerana para pelajar
sentiasa memandang tinggi serta hormat kepada guru mereka. Guru sering
dijadikan contoh teladan semasa di sekolah dan jika guru sentiasa menepati masa
serta membuat persediaan yang rapi untuk proses pengajaran dan pembelajaran, ia
akan memberi kesan yang mendalam ke atas diri pelajar.
Ketekunan melambangkan
kesungguhan dan kesabaran. Manusia yang tekun berusaha tidak akan mudah
berputus asa. Bak kata orang dulu, genggam bara api, biar sampai jadi arang.
Sama juga seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud:
”Wahai sekalian orang-orang yang beriman!
Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu
perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana
sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”
Oleh itu, pendidik seharusnya mempunyai
ketekunan terhadap tugasan dan amanah yang diberikan kepada mereka. Seorang
guru yang tekun akan sentiasa mendisiplinkan diri dan berdedikasi dalam melaksanakan
tugas. Ketabahan ketika ditimpa masalah seperti kawalan kelas bermasalah serta
menghadapi disiplin pelajar tidak mematahkan semangat untuk terus berbakti
kepada pelajar-pelajarnya. Jika kita merujuk kepada prinsip negara Jepun, iaitu
kaizen yang bermaksud melakukan
sesuatu secara berterusan dan berkesinambungan. Sikap ketekunan perlu dipupuk
ke dalam diri pelajar, kerana ketekunan akan membawa mereka ke arah kejayaan.
Guru juga memainkan peranan sebagai ‘broker pendidikan’, iaitu mengetahui cara
untuk mendapatkan maklumt tentang perkara yang diajar dan mengetahui
sumber-sumber maklumat yang terbaik tentang matapelajaran tersebut. Sikap seperti
ini akan memberikan kesan yang positif kepada pelajar kerana ia menunjukkan
bahawa guru sentiasa memberikan yang terbaik kepada pelajarnya dan ini akan
memotivasikan pelajar untuk menghargai guru tersebut serta menjadikan sikap
ingin tahu diterapkan dalam diri pelajar.
Guru
yang menyayangi kerjaya mereka akan menunjukkan sikap yang positif di tempat
kerja. Guru yang bersikap positif selalunya akan mempamerkan keseronokkan
melakukan kerja mereka. Ini adalah kerana, kerja yang dilakukan dianggap sebagai
satu kepuasan dan bukanlah satu beban yang menyusahkan. Jika guru menganggap
kerja yang dilakukan sebagai satu kepuasan, ia secara tidak langsung akan
menanam sikap bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Ia juga boleh
dijadikan contoh kepada pelajar kerana sikap positif guru di dalam kelas akan
memberikan output yang positif keapda pelajar. Menurur Covey (1990), manusia
yang seronok bekerja, akan bekerja secara proaktif. Apabila guru bekerja secara proaktif, ia akan
memotivasikan pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Selain
itu, guru yang sentiasa positif terhadap kerjanya juga akan sentiasa menukar
teknik pengajaran mereka mengikut aras pembelajaran pelajar nya. Guru akan
memastikan pelajar memahami tentang mata pelajaran yang diajar disamping
melimbatkan pelajar secara aktif dengan aktiviti pembelajaran dan guru
memastikan pelajar dibimbing dan ditunjuk ajar dengan melakukan penilaian
kefahaman. Selain itu, guru akan sentiasa aktif sebagai ahli profesional
keguruan, membaca jurnal, berbincang dengan rakan sekerja, sentiasa
mempertingkatkan kemahiran di dalam metadologi dan pengetahuan tentang pelajar
dan isi kandungan matapelajaran yang diajar.
Pengaruh
teladan bermaksud memberikan contoh yang baik kepada pelajar. Ini adalah kerana
guru perlu menerapkan nilai-nilai murni dalam pembentukan siasah pelajar. Pada
zaman sekarang, guru perlu mengamalkan kepimpinan melalui teladan kerana ia
lebih mudah mengajar melalui teladan berbanding memberi arahan semata-mata.
Sekiranya guru tidak mampu menjadi contoh yang baik tetapi mendidik pelajarnya
menjadi seorang yang baik, ia sama seperti ketam menyuruh anaknya berjalan
betul. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak tamadun yang membangun
disebabkan oleh pemimpin yang kuat, berani dan bijaksana. Manakala, keruntuhan
sesebuah tamadun disebabkan kelemahan, kebodohan dan kelalaian pemimpin. Maka,
dapat disimpulkan disini, pengaruh teladan yang positif boleh mendatangkan
hasil dan pengaruh teladan negatif boleh membawa padah. Rasulullah
(s.a.w.) bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang
paling berfaedah kepada orang lain”. Di sini nyatalah bahawa orang
yang paling baik itu akan mempengaruhi orang lain samada dari segi
kepemimpinan, tunjuk-ajar ,akhlak, tutur kata atau tingkah lakunya yang mendatangkan
kebaikan kepada orang lain. Seterusnya baginda bersabda: "Siapa yang memberi
contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya
hingga hari kiamat; dan Siapa yang memberi contoh kejahatan maka ia mendapat
dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat".
Selain
itu, guru perlu memberikan contoh yang baik dengan menghindari sikap malas.
Sikap malas yang perlu dihindari adalah seperti, malas untuk menghadiri
aktiviti sekolah, melengahkan kerja serta sentiasa menangguhkan aktiviti
bersama pelajar. Jika ini berlaku, ia akan menjadi contoh yang tidak baik
kepada pelajar. Guru juga perlu menunjukkan sikap tertib
dan beradab kerana ia mencerminkan
seseorang yang penuh disiplin dalam urusan hidupnya, tahu berinteraksi
sesama manusia, tahu membawa diri dalam semua situasi dan persekitaran serta tahu peraturan-peraturan dan etiket sosiobudaya bangsanya.
Setiap guru harus peka setiap tanduknya samada di dalam atau di luar sekolah
akan dijadikan diperhatikan kerana guru merupakan insan yang dipandang tinggi
oleh masyarakat. Maka, segala amalan negatif harus dielakkan seperti bersikap
hiporkrit terhadap pelajar. Sebagai seorang guru, seharuanya ditonjolkan sikap
yang positif kepada pelajar dan dalam masa yang sama mengalakkan mereka
melakukan perkara yang sama. Contohnya, seorang guru menasihati pelajarnya
supaya menghormati orang tua, tetapi guru mempamerkan sikap tidak menghormati
orang tua di hadapan pelajarnya. Sekiranya ini berlaku, bagaimanakah guru
hendak memupuk nilai murni kepada pelajar sedangkan guru itu sendiri tidak
mampu menunjukkan contoh yang baik kepada pelajarnya.
Cabaran utama seorang guru ialah memupuk kesabaran dalam
melaksanakan tugas. Seorang guru yang baik akan sentiasa mengutamakan kesabaran
ketika menghadapi cabaran dalam pendidikan. Sebagai seorang guru yang positif,
segala cabaran yang dilalui harus dihadapi dengan tabah dan sabar serta
menganggapnya sebagai satu perjuang dan pengorbanan seorang guru. Di dalam Islam, kesabaran merupakan salah satu sifat yang
terpuji dan sebahagian dari keimanan kepada Allah. Rasulullah (s.a.w.) bersabda: "Sabar itu salah satu daripada
cabang iman seperti kepala sebahagian daripada tubuh badan".
Ini menunjukkan bahawa kesabaran amatlah penting kerana ia umpama kepala yang
mengawal segalanya. Kejayaan
tidak dapat dikecapi jika kita tidak dapat bersabar menghadapai cabaran yang
mendatang. Di dalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W yang mendapat tentangan
daripada pembesar-pembesar Quraisy tidak mematahkan semangat perjuangan
baginda. Berkar kesabaran dan ketabahan baginda, akhirnya Islam berjaya
berkembang dan tersebar di seluruh tanah Arab pada ketika itu. Begitu juga
dengan tokoh-tokoh lain seperti Alexander Graham Bell, Thomas Alva Edison tidak
menghasilkan ciptaan mereka dengan sekali cuba. Setelah mengharungi pelbagai
cabaran dan beberapa kegagalan, barulah hasil ciptaan mereka berjaya. Oleh itu,
guru haruslah mewujudkan kaedah pengajaran yang inovatif, kreatif dan dinamik.
Tidak takut untuk mencuba dan mencari alternatif dalam membantu pelajarnya
mencapai kejayaan dalam pelajaran. Kesabaran
merupakan aset penting ketika menghadapi kerenah pelajar kerana setiap pelajar
mempunyai kerenah yang berbeza. Oleh itu, kesabaran dalam profession keguruan
amat penting disamping memupuk sifat berusaha, tidak berputus asa dan sedia
menyambut cabaran. Sifat tenang, berani dan mempunyai perhitungan jauh melahirkan ketelitian dan cermat dalam membuat keputusan yang bijaksana. Kalau sifat-sifat ini tidak
ada atau kurang diperhatikan, akan timbul perilaku yang gopoh-gapah, lekas panik, penakut dan was-was.
Mengikut Kamus Dwibahasa, perkataan
‘akauntabiliti’ di huraikan sebagai bertanggungjawab kepada seseorang atau
bertanggungjawab terhadap sesuatu. Menurut Tan Sri Ahmad
Sarji ,konsep akauntabiliti adalah satu obligasi untuk
memberikan jawapan dan penjelasan mengenai sesuatu tindakan dan prestasi kepada
mereka yang berhak untuk mendapat jawapan dan penjelasan tersebut .
Akauntabiliti juga adalah mengenai disiplin dan keperluan untuk memberikan
justifikasi dan menerima kebertangungjawaban terhadap sesuatu keputusan yang
telah diambil.
Akauntabiliti keguruan bermakna
tanggungjawab yang harus difahami dan dilaksanakan oleh seseorang guru.
Akauntabiliti keguruan juga membawa maksud berkenaan dengan tanggungjawab
guru terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti
atau tanggungjawab seorang guru yang dimaksudkan di atas merangkumi
akautabiliti guru terhadap pelajar , diri guru itu sendiri, sekolah,
masyarakat dan negara, dan profesion keguruan amnya.
Akauntabiliti guru terhadap pelajar
bermaksud serang guru haruslah menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi di bilik
darjah termasuk mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah dan teknik yang berkesan.
Guru juga haruslah mengutamakan kemajuan, kebajikan dan keselamatan pelajar
berbanding hal-hal lain. Seorang guru yang bertanggungjawab haruslah
bersikap adil terhadap pelajar-pelajarnya tanpa mengira bangsa,agama, faktor
jasmani, emosi, mental, politik, sosial dan perkara-perkara lain. Guru hendaklah
membimbing dan mengajar pelajar di bilik darjah tanpa meminta sebarang bayaran atau hadiah daripada mereka, sebaliknya guru sekali-sekala
perlu memberi hadiah kepada pelajarnya untuk menggalakkan mereka berminat
terhadap proses pembelajaran. Memberi contoh teladan yang baik dengan
berpakaian kemas, berbudi bahasa dan bersopan santun semasa bertugas harus
juga di amalkan supaya pelajar boleh mencontohi model yang baik. Ini
adalah kerana seorang guru merupakan orang yang di hormati
oleh pelajarnya, oleh yang demikian perlulah guru menjaga profesionalisme
guru supaya mereka tidak di benci,di pandang serong dan tidak di hormati lagi
oleh anak muridnya.
Akauntabiliti guru terhadap diri
sendiri pula bermaksud seorang guru haruslah menjaga kebersihan dan kesihatan
dirinya agar dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Emosi
hendaklah di kawal oleh guru sendiri dan juga perlu menghindarkan
diri dari sebarang ketegangan jiwa yang boleh mengganggu tugasnya. Sebagai
seorang guru, guru hendaklah bijak menguruskan kewangan dengan bijaksana
dan mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan. Ini adalah kerana jika guru gagal
menguruskan kewangan maka guru akan menghadapi masaalah luaran yang
bolehmenjejaskan tumpuannya terhadap proses pengajaran di sekolah. Guru juga digalakkan
melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. dan peka terhadap peristiwa
disekeliling melalui media massa atau elektronik supaya mudah memberikan imput
yang berguna terhadap profesionnya. Guru juga boleh melibatkan
diri dalam sesuatu hobi dan aktiviti berfaedah di masa lapang yang boleh
menjadikan guru itu sihat dari segi mental danfizikal.
Akauntabiliti guru terhadap sekolah
ialah guru bertanggungjawab terhadap tugas yang di amanahkan oleh pentadbiran
sekolah. Sebagai seorang ahli dalam sebuah sekolah ,guru mempunyai
akauntabiliti terhadap perkembangan dan kemajuan sekolah. Dalam hal ini, selain
tugas mengajar , guru juga hendaklah menjalankan tugas-tugas yang lain seperti
sebagai guru disiplin, kaunselor, setiusaha peperiksaan, setiusaha PIBG,
panitia mata pelajaran dan jawatan-jawatan lain yang di lantik oleh pihak
pentadbiran sekolah.
Akauntabiliti
guru terhadap masyarakat dan negara boleh ditakrifkan apabila seorang guru menjalankan tugas untuk menyebarkan hasrat
dan matlamat pendidikan negara berlandaskan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.
Guru hendaklah memupuk nilai dan sikap murni pelajar dan sesuai dengan
masyarakat berbilang bangsa dalam diri pelajar. Guru hendaklah memenuhi
tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengambil bahagian secara cergas
dalam kegiatan-kegiatan masyarakat. Selain itu guru hendaklah mengeratkan
persefahaman dan kerjasama di kalangan guru dani bu bapa pelajar. Guru haruslah
bersopan santun dan bertingkahlaku baik dalam segala aktiviti sosial bagi
mewujudkan suasana harmoni. Guru perlu sentiasa berusaha untuk memenuhi
tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan tidak menyebarkan ajaran yang
boleh merosakkkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun
yang bertentangan dengan Rukun Negara. Guru juga hendaklah sering
memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap pelajar yang dapat membimbing mereka
menjadi warganegara yang setia, bertanggungjawab, menghormati orang lebih
tua dan perbezaan kebudayaan, keturunan danagama. Di samping itu guru
hendaklah menghormati masyarakat di tempat guru tersebut berkhidmat dan
memenuhi tanggungjawab sebagai ahli masyarakat. Guru juga perlu menggalakkan
kerjasama di antara guru dengan ibubapa dan masyarakat, serta mengamalkan
tingkah laku sopan yang diterima oleh masyarakat .
Akauntabiliti guru terhadp profession
keguruan bermaksud guru meluaskan ilmu dengan membaca pelbagai buku rujukan
berkaitan mata pelajaran yang diajar. Ini termasuklah memahami selengkapnya
isi pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar dan menyertai seminar
pendidikan seperti kursus-kursus yang dianjurkan oleh jabatan pendidikan
atau pihak pentadbiran sekolah. Ini dilakukan dengan merancang dan
melaksanakan strategi pengajaran sepenuhnya bagi mencapai objektif pelajaran
secara maksimum. Guru juga hendaklah mengajar dengan fakta yang betul agar
murid menerima ilmu yang betul dan tepat.
Dengan dapat memahami elemen Tonggak 12 dan prinsip
akauntabiliti, guru dapat memahami tanggungjawabnyayang sebenar sebagai seorang
pendidik. Penghayatan elemen tonggak 12 haruslah di hayati sepenuhnya kerana akan
dapat meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Ini kerana penghayatan
tersebut membolehkan semua guru dapat menjalankan tanggungjawab dan
tugas-tugasnya dengan penuh komited dan dedikasi. Akauntabiliti atau
tanggungjawab seorang guru merangkumi akuntabilitinya terhadap sekolah, diri
sendiri, murid-murid dan profesion keguruan akan dapat ditingkatkan sekiranya
seseorang guru itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai
seorang pendidik dengan berkesan. Peningkatan dalam bidang tersebut melambangkan
tingginya kualiti seseorang guru yang juga akan meningkatkan
taraf profesionalisme keguruan. Selain itu guru juga dapat
melaksanakan tugas itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh
dedikasi sekiranya guru tahu tanggungjawabnya terhadap kerjayanya. Kesedaran
kepada akauntabiliti akan menjadikan seseorang guru itu
lebih bertanggungjawab terhadap tanggungjawab yang di laksanakannya. Oleh
yang demikian,akauntabiliti perlulah dihayati oleh semua guru. Sekiranya
seseorang guru itu mengabaikan akauntabiliti terhadap tugas dan
tanggungjawabnya, maka tanggungjawabnya tidak dapat di jalankan dengan
baik dan akan gagal melahirkan modal insan seperti yang di cita-citakannegara.
Ini akan menjatuhkan martabat profesion perguruan oleh kerana perbuatan yang
tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang di berikan.
RUJUKAN
Kata-kata Bestari Kepimpinan (1984),
Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur
Mok Soon Sang (2003), Ilmu
Pendidikan Untuk KPLI Sekolah Rendah: Komponen 1&2 Psikologi Pendidikan
& Pedagogi. Kumpulan Budiman, Subang Jaya
Mok Soon Sang (2005), Teks
Komprehensif PTK Kompetensi Generik (Teras & Profesional). Penerbitan
Multimedia Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment