Pengenalan Image Map

Followers

Saturday, December 29, 2012

Konsep dan Teori-Teori Motivasi Berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bilik Darjah



Motivasi merupakan suatu perangsang yang membangkitkan dan mengekalkan minat seseorang individu ke arah mencapai sesuatu matlamat tertentu termasuk mengubah sikap, minat dan tingkah laku seseorang. Individu yang mempunyai motivasi bererti individu yang telah memperoleh kekuatan untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup. Menurut Ragbir Kaur Jogeinder Singh (2012) menyatakan bahawa motivasi ialah sesuatu keadaan dalam diri manusia seperti kepeluan, kehendak atau kemahuan yang menggerakkan tingkah laku dan mendorong seseorang untuk melaksanakannya. [1]

Motivasi mempunyai peranan yang sangat penting dalam dunia pendidikan pada masa kini. Motivasi penting untuk menggerakkan pembelajaran dalam kalangan murid-murid. Guru perlu menjadi pembimbing (motivator) kepada murid-murid di sekolah untuk berjaya dalam pelajarannya. Murid-murid yang mempunyai motivasi diri yang tinggi telah menaruh minat untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Menurut Atan Long (1978), motivasi ialah penggerak yang merupakan tenaga yang menghalang dan menguruskan tingkah laku menuju ke arah matlamat yang dicapai. Dalam hal ini matlamat yang hendak dicapai ialah keserasian kerjaya dengan minat, nilai, personalitI dan kebolehan individu.[2]
 
Dalam kajiannya Mohd Ali Jamaat (1999) merumuskan bahawa individu yang bermotivasi untuk mendapat pencapaian yang tinggi, mempunyai kecenderungan untuk berusaha mencapai kepuasan melalui pemilihan bidang kerjaya yang bersesuaian dengan minat, nilai, personaliti dan kebolehannya. Kata beliau lagi motivasi ialah ransangan untuk membangkitkan minat seseorang individu ke arah mencapai sesuatu matlamat tertentu. Motivasi dihasilkan atas beberapa faktor iaitu minat, naluri ingin tahu, desakan dan keperluan serta sikap, harapan dan aspirasi. [3]

Terdapat dua jenis motivasi iaitu motivasi intrinsik dan ekstrinsik. Motivasi intrinsik ialah motivasi yang wujud dari ransangan dalaman yang mendorong seseorang untuk melaksanakan sesuatu tanpa mengharapkan ganjaran. Murid-murid yang mempunyai motivasi intrinsik yang tinggi akan berasa lebih gembira apabila berjaya menyelesaikan sesuatu masalah atau menyiapkan sesuatu kerja kerana mereka tidak mengharapkan apa-apa ganjaran. Motivasi ekstrinsik pula ialah ransangan luaran yang menggerakkan seseorang untuk melaksanakan sesuatu perkara. Motivasi ekstrinsik boleh diberikan melalui kata-kata pujian, hadiah atau ganjaran, memberi bintang atau simbol penghargaan, memberikan senyuman dan memberi markah tinggi di atas hasil kerja yang bagus. Motivasi ekstrinsik boleh digunakan oleh guru-guru untuk mendorong murid-murid mencapai atau memperbaiki kualiti hasil kerja ke arah yang lebih baik. [4]

Motivasi memainkan peranan yang sangat penting dalam bidang pendidikan.  Guru dan murid memerlukan motivasi untuk mengerakkan dirinya untuk mencapai kualiti kerja atau kejayaan yang lebih cemerlang. Motivasi juga mempunyai beberapa teori yang boleh dilihat dan difahami supaya dapat digunakan dalam usaha memberi motivasi kepada murid-murid sekolah yang selalu dikaitkan dengan pelbagai sikap ketika di alam persekolahan. Antara teori yang boleh dilihat ialah teori keperluan Maslow, teori keperluan pencapaian McClelland, teori motivasi dan lain-lain lagi.

            Mengikut pendekatan humanistik, keperluan adalah suatu perkara yang boleh merangsang seseorang untuk bermotivasi dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Manusia kebanyakkannya mempunyai kecenderungan secara semula jadi dan akan berusaha mencapai potensi yang optimum. Antara teori humanis yang menekankan kepada motivasi ialah teori keperluan Maslow. Keperluan-keperluan manusia adalah berperingkat-peringkat. Sesuatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin akan tercapai sebelum memenuhi keperluan yang lebih rendah. Keperluan-keperluan ini perlu dipenuhi satu persatu sebelum kehendak sebenar akan tercapai. Jika dilihat dari sudut pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, guru memainkan peranan penting untuk menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran ketika itu. [5]

Peringkat pertama ialah keperluan fisiologikal, keperluan asas bagi diri sendiri seperti makanan, minuman dan tempat perlindungan. Guru-guru perlu mempunyai sikap yang perihatin kepada murid-murid seperti memastikan murid-murid yang sedang be;lajar di dalam kelas telah mengambil makanan secukupnya. Hal ini kerana, murid yang tidak mendapat makanan yang baik dan secukupnya akan mengalami kesukaran dalam memberi tumpuan kepada pelajaran yang diajar. Guru perlu bertanya kepada murid sama ada mereka telah makan atau belum sebelum memasuki bilik darjah. Kekurangan makanan akan mengganggu kesihatan pelajar. Murid-murid akan kurang bermotivasi untuk belajar dan melakukan aktiviti semasa pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan kerana keperluan fizikalnya tidak dipenuhi.

Teori keperluan maslow juga menyatakan manusia memerlukan kepeluan terhadap keselamatan diri. Contohnya Anak-anak memerlukan perlindungan ibu bapa mereka ketika mereka masih kecil. Begitu juga dengan murid-murid yang sedang belajar di sekolah, mereka memerlukan kawalan keselamatan apabila berada di sekolah. Ketika berada di dalam bilik darjah terutamanya ketika P&P sedang dijalankan, guru perlu membentuk disiplin murid-murid agar mereka tidak melakukan tingkah laku yang boleh melanggar peraturan yang telah ditetapkan sehingga membahayakan diri mereka. Contohnya, guru memberi arahan dengan jelas dan tidak bercanggah memudahkan murid-murid mengikut arahan yang diberikan dengan baik.

Hubungan yang mesra merupakan keperluan kasih sayang yang diperlukan oleh semua manusia termasuk murid-murid di sekolah. Guru perlu memastikan keadaan dan suasana bilik darjah adalah kondusif dan tiada perkelahian yang berlaku antara murid-muridnya. Guru perlu cuba tonjolkan kasih sayang kepada murid-murid untuk meransang murid-murid supaya dapat memberi tumpuan pada pelajaran yang diajar. Sekiranya terdapat murid-murid yang melakukan kesilapan, guru seharusnya tidak terus mendenda murid berkenaan, guru perlu memberi peluang kepada muridnya membetulkan kesilapan berkenaan.

Murid-murid juga memerlukan kepada keperluan penghargaan diri dan penilaian yang baik daripada guru-guru mereka. Hal ini boleh meningkatkan tahap motivasi untuk belajar dan melakukan aktiviti yang dijalankan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Penghargaan yang diberikan oleh guru kepada murid-muridnya akan mendorong keyakinan diri yang tinggi dalam diri murid-murid. Mereka akan berani mencuba sesuatu yang baru semasa sedang belajar. Contohnya guru boleh memberi kata-kata penghargaan dan puji-pujian kepada murid yang telah melaksanakan tugas dengan baik dan memberi kata-kata perangsang kepada murid yang tidak dapat melakukan tugasan dengan baik. 

Peringkat terakhir dalam teori keperluan Maslow ialah penghakikian diri yang diperolehi setelah semua peringkat keperluan di bawahnya telah dicapai. Pada peringkat ini murid-murid telah diberi peluang dan kebebasan untuk melakukan sesuatu aktiviti terutamanya dalam proses P&P dengan caranya sendiri dan tidak terikat dengan cara yang ditunjukkan oleh guru. Murid-murid ini akan diberi peluang menentukan ilmu dan kemahiran yang mereka kehendaki bagi mencapai keperluan tertinggi dalam hidup mereka. Mereka akan terdorong untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dan cuba melaksanakan tugasan dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan sebarang kesilapan. Murid-murid yang diberi peluang membuat keputusan dan pilihan sendiri akan lebih memotivasikan dirinya untuk melakukan sesuatu tugasan kerana merasakan dirinya lebih berautonomi. 

            Guru perlu memastikan keperluan asas aeng diperlukan oleh murid-murid sebelum belajar telah dipenuhi seperti makanan, peralatan persekolahan dan lain-lain. Guru-guru juga mesti memastikan keadaan kondusif di dalam bilik darjah diwujudkan dengan menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan dan sesuai dengan kondisi murid-murid berkenaan. Selain itu, guru mesti mempunyai sifat lemah lembut dan kasih sayang terhadap murid-murid agar murid-murid akan rasa disayangi dan selamat apabila berada di dalam bilik darjah. Selain itu, untuk mendorong murid-murid supaya rajin belajar dan membuat kerja sekolah, guru-guru perlu memberi sedikit penghargaan atau kata-kata semangat kepada murid-murid sebagai motivasi untuk mereka terus melangkah kehadapan. Contohnya, guru-guru boleh memberi kata-kata pujian, peneguhan, hadiah dan kata-kata menaikkan semangat bagi menggalakkan murid-murid terus berusaha untuk mencapai tahap kejayaan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam bilik darjah juga perlu bersesuaian untuk meningkatkan keyakinan diri, memberi peluang kepada murid-murid menunjukkan kebolehan diri dan mampu mencipta pencapaian tertingginya.

            Teori peneguhan perlakuan Skinner pula menyatakan bahawa peneguhan secara positif dan negatif yang diberikan oleh guru dapat meningkatkan motivasi murid untuk melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang sama ada perkara baik atau buruk.[6] Guru-guru boleh membuat peneguhan terhadap tingkah laku murid-murid yang positif semasa berada di dalam bilik darjah dengan memberi peneguhan yang positif seperti guru memberi galakkan kepada murid-murid supaya mereka dapat meneruskan tingkah laku yang positif. contohnya, apabila mendapat keputusan cemerlang murid itu diberikan hadiah sebagai ganjaran. Oleh itu, murid berkenaan akan lebih bermotivasi untuk berusaha bagi mendapat keputusan yang cemerlang pada peperiksaan akan datang. Guru juga boleh menjalankan aktiviti yang menyeronokkan bagi menarik minat murid agar tidak bosan ketika belajar di dalam bilik darjah. Selain itu, guru juga perlu menggunakan peneguhan negatif seperti memberi denda dan hukuman. Hal ini adalah untuk mendorong murid supaya lebih bermotivasi melakukan tingkah laku positif dan meninggalkan yang negatif. Contohnya, apabila seseorang murid ini tidak membuat kerja sekolah atau mengganggu murd-murid lain sewaktu sedang belajar di dalam kelas, murid ini di denda dengan tidak membenarkan dia keluar rehat lebih lewat berbanding murid-murid lain. Dendaan ini boleh memotivasikan murid berkenaan untuk berkelakuan lebih baik semasa belajar di dalam bilik darjah.

            David MacCleland telah menghasilkan teori keperluan pencapaian McClelland yang menyatakan bahawa setiap pelajar mempunyai motivasi untuk mencapai kejayaan yang diinginkan tetapi dalam keperluan yang tidak sama antara satu sama lain.[7] Teori ini melihat kejayaan adalah suatu yang dipandang sebagai satu keperluan manusia. Oleh itu dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru-guru perlu memotivasikan murid-muridnya supaya dapat mecapai kejayaan dalam pelajarannya. Guru perlu menjalankan aktiviti P&P yang mencabar seperti menggunakan kaedah permainan, kuiz, pertandingan dan sebagainya. Guru perlu memastikan murid-muridnya jelas tentang objektif yang hendak dicapai dalam pembelajaran mereka agar murid-murid tidak leka dengan permainan yang dilakukan. Murid-murid perlu dilibatkan secara aktif dalam aktiviti yang dijalankan agar mereka dapat memahami ilmu yang hendak dipelajari pada waktu berkenaan.

            Selain itu, dalam pendekatan kognitif, penekanan kepada unsur-unsur seperti kepercayaan, jangkaan dan keperluan terhadap peraturan, ramalan dan pemahaman diberikan.[8] Murid-murid terdorong untuk belajar apabila mereka mendapati pengalaman dengan pemahaman mereka tentang dunia masa kini tidak sama. Antara teori dalam pendekatan kognitif ialah teori Atribusi Weiner yang merupakan teori kontemporari yang mempunyai pengaruh terhadap motivasi akademik. Teori ini menyatakan bahawa murid-murid akan bermotivasi sekiranya mereka memperolehi sesuatu hasil yang diingini. Oleh itu, bagi memotivasikan murid supaya berminat untuk belajar di dalam bilik darjah, guru-guru perlu memupuk dan mengembangkan jangkaan murid-murid untuk berjaya dengan memberi bimbingan yang sebaik-baiknya. Guru perlu menerapkan nilai-nilai motivasi dalam diri murid-murid seperti memberi kepercayaan kepada murid bahawa apabila mereka belajar bersungguh-sungguh mereka pasti akan mendapat kejayaan. Guru perlu berusaha menambah keyakinan dalam diri murid dengan memastikan mereka tidak akan mengalami kegagalan berulang-ulang kali.  Contohnya, apabila membuat aktiviti P&P di dalam bilik darjah, guru perlu memberi perhatian agar murid-murid berasa yakin bahawa tugasan yang dibuat oleh mereka adalah betul. Hal ini seterusnya akan mendorong murid berkenaan untuk terus belajar dan mencapai kejayaan.

Motivasi adalah faktor yang penting sebagai pendorong kepada seseorang individu untuk melalukan sesuatu demi masa depan hidupnya. Oleh itu keperluan kepada motivasi juga adalah berbez-beza dalam setiap individu. Dalam bidang pendidikan, guru merupakan faktor utama kepada pendorong atau pemberi motivasi kepada murid-murid yang sedang belajar di dalam bilik darjah. Guru perlu membuat perancangan yang rapi agar setiap aktiviti yang dijalankan di dalam bilik darjah dapat menarik minat murid dan bermotivasi untuk belajar tambahan pula belajar berkenaan sesuatu yang baru. Teknik dan kaedah yang digunakan oleh guru juga perlu bersesuaian dengan tahap dan kemampuan murid. Hal ini kerana penggunaan kaedah atau teknik yang tidak sesuai ketika P&P menyebabkan murid tidak bermotivasi untuk belajar dan sekali gus menyebabkan murid berkenaan melakukan tingkah laku negatif bertujuan untuk memperlihatkan protesnya terhadap guru. 

Bibliografi
Mook Soon Sang. (2010). Psikologi pendidikan untuk pengajaran dan pembelajaran.
            Selangor : Penerbitan Multimedia  Sdn. Bhd.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhariah Syed Ahmad. (2009). Murid
            dan alam belajar. Selangor : Oxgord Fajar Sdn. Bhd

Ragbir kaur Joginder Singh. (2012). Panduan ilmu pendidikan  untuk DPLI psikologi.
            Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Saedah Siraj, Zainun Ishak & Tunku Mohani Tunku Mokhtar. (1996). Motivasi dalam
            pendidikan. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors  Sdn. Bhd

Mohd Ali Jamaat. (1999). Keberkesanan modul motivasi terhadap peningkatan
            motivasi pencapaian pelajar di beberapa buah sekolah menengah daerah
            Jerebu, Negeri Sembilan. Dicapai pada 19 Ogos 2012, daripada


[1]              Ragbir kaur Joginder Singh. (2012). Panduan ilmu pendidikan  untuk DPLI psikologi.
Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
[2]              Mohd Ali Jamaat. (1999). Keberkesanan modul motivasi terhadap peningkatan motivasi pencapaian pelajar di beberapa buah sekolah menengah daerah Jerebu, Negeri Sembilan. Dicapai pada 19 Ogos 2012, daripada http://psasir.upm.edu.my/9154/1/FPP_1999_41_A.pdf
[3]              Ibid.
[4]              Mook Soon Sang. (2010). Psikologi pendidikan untuk pengajaran dan pembelajaran. Selangor : Penerbitan Multimedia  Sdn. Bhd.
[5]              Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhariah Syed Ahmad. (2009). Murid dan alam belajar. Selangor : Oxgord Fajar Sdn. Bhd. hlm 224-226
[6]              Ragbir kaur Joginder Singh. (2012). Panduan ilmu pendidikan  untuk DPLI psikologi.
Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
[7]              Saedah Siraj, Zainun Ishak & Tunku Mohani Tunku Mokhtar. (1996). Motivasi dalam pendidikan. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors  Sdn. Bhd, hlm 2
[8]              Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhariah Syed Ahmad. (2009). Murid dan alam belajar. Selangor : Oxgord Fajar Sdn. Bhd. hlm 226-229

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
-----Ini adalah hasil penulisan saya sendiri bagi menyiapkan tugasan Subjek Psikologi Pendidikan------ 
di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang (2012)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1 comment: