Followers

Saturday, December 29, 2012

Perkembangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka



1.0  PENGENALAN

Perkembangan tamadun Melayu diasaskan oleh kemunculan dan perkembangan kerajaan dan kesultanan negeri-negeri Melayu yang dilihat telah menjadi akar umbi kepada pembentukan negara Malaysia. Kewujudan beberapa aspek dalam pentadbiran dan pemerintan kesultanan Melayu dahulu seperti aspek perundangan, pentadbiran, institusi sosial dan ekonomi menjadi bukti bahawa pembentukan negara kita telah berlaku sejak berates-ratus tahun lebih awal.

Kesultanan Melayu Melaka mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sejarah Malaysia khasnya dan di Kepulauan alam Melayu amnya. Kewujudan Melaka di alam Melayu telah membawa banyak perubahan terhadap Tanah Melayu dan juga rantau Asia Tenggara. Melaka merupakan kerajaan yang memulakan sebuah empayar Melayu yang agung sejak bertahun-tahun lamanya dan di sini juga wujudnya kedaulatan Raja-Raja Melayu yang memegang tampuk pemerintahan negara pada hari ini.

2.0  PEMBUKAAN MELAKA

Kesultanan Melayu Melaka merupakan sebuah kseultanan Melayu yang tertua dalam sejarag Malaysia. Kesultanan Melayu Melaka mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-15. Empayarnya meliputi keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian besar Timur Sumatera dan Kepulauan Riau Lingga. Sebelum itu, kepulauan Asia Tenggara telah menyaksikan kemunculan beberapa buah kerajaan agung sebelum Melaka seperti Funan, Srivijaya dan Majapahit. Kesultanan Melayu Melaka merupakan warisan kerajaan Srivijaya yang berpust di Palembang.

Kita didedahkan dengan pelbagai teori dalam perbincangan mengenai tarikh pembukaan Melaka dan pengasasnya. Beberapa masalah dihadapi untuk mengungkap kembali sejarah pembukaan Melaka kerana kekurangan sumber-sumber sejarah. Menurut Rahmat bin Saripan (1983) menyatakan bahawa sememangnya tidak dinafikan bahawa sejarah awal negeri Melaka diselimuti oleh kekaburan dan penulisan mengenainya menghadapi banyak masalah kerana kekurangan sumber bertulis yang sah.

Beberapa orang pakar sejarah mendakwa bahawa Melaka dibuka pada abad ke-13. Namun begitu pendapat ini disangkal apabila kewujudan Melaka tidak pernah diceritakan oleh  Marco Polo yang melalui kawasan Selat Melaka dalam perjalanan pulang dari negeri China pada tahun 1292. Begitu juga dengan Ibn Battuta telah pergi ke China dalam tahun 1345 tetapi beliau tidak pernah menyebut mengenai Melaka.

Seorang penulis Portugis iaitu Tome Pires yang pernah tinggal di Melaka selama kira-kira tiga tahun dari tahun 1512 hingga 1515 selepas kekalahan Melaka kepada Portugis, menggambarkan bahawa Melaka telah dibuka kira-kira satu kurun sebelum kekalahan Melaka kepada Portugis pada 24 Ogos 1511. (Zainal Abidin bin Abdul Wahid et.al, 1992)

Tome Pires menceritakan bahawa Melaka dibuka oleh seorang putera raja yang berasal dari Palembang iaitu Parameswara. Beliau merupakan anak raja dari Palembang berketurunan Dinasti Sailendra yang telah terlibat dalam peperangan merebut kuasa. Parameswara tidak mahu tunduk kepada  kuasa Majapahit. Hal ini menimbulkan kemarahan Majapahit lalu menyerang Palembang. Akibat mengalami kegagalan dalam peperangan itu, Parameswara terpaksa melarikan diri dan berlindung di Temasik yang pada masa itu berada di bawah Siam.

Parameswara telah berkuasa sebagai pemerintah di Temasik selama lima tahun setelah membunuh wakil Siam iaitu Temangi. Hal ini telah menyebabkan Parameswara diserang oleh Kerajaan Ayuthya di Siam dan beliau telah melarikan diri ke Muar dan menetap di situ selama enam tahun. Setelah mendapati Muar tidak sesuai untuk dijadikan petempatan Parameswara telah berpindah  ke sebuah perkampungan nelayan yang diberi nama Melaka (Joginder Singh Jessy ,1975).

Parameswara telah memilih nama Melaka yang diambil sempena nama sejenis pokok yang menjadi tempat berehat Parameswara dan pengikutnya. Parameswara telah mengisytiharkan dirinya sebagai raja Melaka menggunakan gelaran Raja Iskandar. Kemudian bermula dari situlah Melaka terus berkembang dan muncul sebagai sebuah pelabuhan dan pusat persinggahan pedagang-pedagang China, India dan Arab serta bermulanya kesultanan Melayu dan zaman keagungn empayar Melaka.

Menurut Muhd. Yusuf Ibrahim (1982) menyatakan bahawa parameswara sampai ke Melaka menjelang tahun 1400 Masihi, beliau telah diterima menjadi raja di situ. Mungkin ada dua sebab terpenting mengapa Parameswara memutuskan untuk terus menginap di Melaka. Pertama ialah kerana kawasan itu adalah baik dari segi strategi pertahanan khasnya dari Siam. Kedua ialah kerana Orang Laut di Melaka pada masa itu belum lagi mempunyai seprang raja.

3.0  PERKEMBANGAN POLITIK

Parameswara sebagai pemerintah kerajaan Melaka pada ketika itu telah berjaya mewujudkan satu bentuk sistem pentadbiran yang teratur untuk menjamin kelancaran pentadbiran dan pemerintahan kerajaannya. Pada peringkat awal, sistem ini diasaskan dari sistem pentadbiran kerajaan Srivijaya. Sistem pentadbiran kerajaan yang dibentuk ini melambangkan kecekapan pemerintah Melaka dan merupakan faktor utama kepada perkembangan kerajaan yang semakin hari semakin unggul.

3.1            Kecekapan Pemerintah Melaka

Perkembangan dalam aspek politik dapat dilihat berdasarkan kepada kecekapan pemerintah Melaka mewujudkan beberapa jawatan pembesar untuk membantu melancarkan pentadbiran Melaka pada ketika itu. Dengan memahami sistem pemerintahan awal di Melaka, ia dapat menggambarkan bentuk sistem pemerintahan pada hari ini yang masih diamalkan dalam sistem beraja.

Kedudukan paling tinggi dalam sistem pemerintahan awal di Melaka ialah Raja atau Yang di-Pertuan. Namun begitu, gelaran Sultan telah digunakan apabila pemerintah kerajaan Melaka memeluk agama Islam.  Melaka telah dikenali sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai sistem pentadbiran yang paling tersusun pada kektika itu. Secara keseluruhannya sultan melantik para pembesar yang berfungsi sebagai pentadbir, pelaksana undang-undang dan peraturan, menghakimi perbicaraan, mengawal keselamatan, mentadbir hal ehwal pelabuhan, merancang hubungan diplomatik dan melaksanakan protokol dan adat istiadat istana.
(Hasnah Hussin dan Mardiana Nordin, 2007).

Sistem Pembesar Empat Lipatan digunakan dalam mentadbir pemerintahan di Melaka. Jawatan Bendahara diwujudkan sebagai penasihat kepada raja dan bertanggungjawab sebagai Menteri Utama, Ketua Turus Angkatan Perang, Ketua Hakim dan Pemangku Sultan semasa ketiadaan Sultan di istana. Jawatan bendahara menyamai peranan Perdana Menteri pada masa sekarang. Penghulu Bendahari pula diwujudkan  sebagai bendahari kerajaan yang mengawal perbendaharaan Negara. Antara tugas-tugas Penghulu Pemdahari ialah menjadi pemungut hasil atau Ufti, Ketua segala Bendahari, Ketua Urusetia Istana dan juga Ketua segala Syahbandar. Jawatan Temenggung pula berperanan sebagai pelaksana atau ketua undang-undang, peraturan negeri dan keselamatan. Beliau ditugaskan untuk menjadi Ketua Polis dan Penjara, Penguasa Bandar, Ketua Protokol Istana dan Hakim di darat.

Selain itu, jawatan Laksamana turut diwujudkan untuk melancarkan lagi sistem pentadbiran Melaka. Jawatan ini masih baru berbanding dengan jawatan-jawatan lain pada ketika itu. Laksamana merupakan pahlawan dalam peperangan terutamanya di laut dan mengetuai semua pahlawan kerajaan. Beliau juga bertanggungjawab memikul pedang kerajaan dalam upacara rasmi serta menjadi diplomat. Untuk menjamin kestabilan politiknya, Melaka juga mempunyai angkatan laut yang sangat besar. Orang Laut menjadi tenaga penting dalam angkatan laut Melaka. Keadaan politik di Melaka diperkukuhkan lagi dengan adanya undang-undang. Melaka mempunyai Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.

3.2            Hubungan Luar Melaka

Melaka juga menjalinkan hubungan luar dengan negara luar sejak di zaman pemerintahan Parameswara lagi. Hubungan luar yang dijalinkan mempunyai beberapa sebab iaitu kerajaan Melaka memerlukan perlindungan dan jaminan keselamatan dari negara-negara kuat yang lain. Hal ini kerana perlindungan dan jaminan keselamatan diperlukan kerana Melaka merupakan pusat perdagangan antarabangsa yang selalu dikunjungi oleh pedagang-pedagang luar. Oleh itu, keadaan yang selamat dan tenang diperlukan untuk menggalakkan lebih ramai pedagang datang berniaga di Melaka. Kerajaan Melaka telah menetapkan dasar luar yang jelas dan tegas untuk memastikan setiap kerajaan yang berhubung dengan Melaka mengetahui akan kedudukan masing-masing apabila berada di Melaka. Hubungan yang erat ini memberi impak positif terhadap Melaka kerana tidak diganggu lagi oleh Siam dan Majapahit. Keadaan ini memberi kesempatan kepada Kesultanan Melayu Melaka berkembang pesat sehingga menjadi sebuah pusat perdagangan yang maju bertaraf dunia. (Haji Ishak bin Saat, et.al. ,2009)

Parameswara telah mengadakan hubungan persahabatan dengan kerajaan China dan Maharaja Yung Lo yang memerintah kerajaan Ming telah mengitiraf Parameswara sebagai Raja Melaka yang berdaulat. Hubungan Melaka dengan China semakin kuat terjalin dengan kedatangan Laksamana Yin Ching pada tahun 1403 dan Laksamana Cheng Ho pada tahun 1409. Hubungan yang erat ini membolehkan Melaka mendapatkan perlindungan daripada ancaman Majapahit dan Siam. (Lisa Yip Shukye dan Jais bin Abdul Hamid, 2012).

Hubungann yang erat ini turut membuka peluang kepada kerajaan China untuk memperluaskan kawasan perdagangannya di Asia Tenggara. Kerajaan Melaka telah menghantar rombongan ke Negara China demi menjaga hubungan persahabatan ini dengan sebaik-baiknya. Hubungan luar Melaka dengan kerajaan China diteruskan walaupun setelah kemangkatan Parameswara.

Melaka juga menjalinkan hubungan diplomatik dengan Siam untuk kepentingan politik dan ekonominya. Melalui hubungan dengan Siam, Melaka memperolehi barangan seperti beras, kayu jati dan bahan makanan. Parameswara juga telah menghantar ufti tahunan ke Siam bagi mengelakkan ancaman dan serangan Siam ke atas Melaka. (Malaysia Kita, 2009)

Selain itu, hubungan antara Melaka dengan Pasai juga terjalin iaitu melalui perkahwinan antara Sultan Megat Iskandar Syah (1414 hingga 1424) dengan Puteri Pasai. Hubungan baik antara kedua kerajaan ini dimanfaatkan sebaik-baiknya sehingga turut bertukar pandangan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan hukum agama Islam.

4.0  PERKEMBANGAN SOSIAL

Perkembangan sosial dalam masyarakat di zaman Kesultanan Melayu Melaka dapat dilihat melalui struktur berbentuk piramid yang berpuncakkan kuasa pada sultan. Peranan rakyat dalam struktur masyarakat Melayu tradisi lebih menjurus kepada pemberian taat setia kepada golongan bangsawan. Peranan mereka adalah untuk dilindungi dan dinaungi supaya keselamatan dan kehidupan mereka terjamin. Kepercayaan dan agama serta adat juga boleh dilihat perkembangannya setelah kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu.

4.1            Status Sosial Masyarakat

Masyarakat Melaka merupakan masyarakat yang terdiri daripada beberapa golongan dan dikelaskan mengikut keturunan masing-masing. Susun lapis ini menggambarkan status sosial dan latar belakang orang tersebut. Status sosial masyarakat boleh berubah melalui ekonomi, perkahwinan dan menjelaskan hutang.

Terdapat empat susun lapis masyarakat di Melaka iaitu golongan pertama ialah golongan yang tertinggi sekali iaitu golongan raja yang terdiri daripada raja dan kerabat baginda. Kedua ialah golongan bangsawan yang dikenali sebagai orang kaya-kaya. Ketiga pula ialah golongan orang kebanyakkan atau orang-orang awam dan keempat ialah golongan paling bawah ialah golongan hamba abdi. (Zainal Abidin bin Abdul Wahid et.al, 1992)

4.2       Agama dan Kepercayaan

Melaka mencatatkan satu transformasi yang agak besar dalam aspek agama dan kepercayaan. Bermula dengan kepercayaan Hinddu dan Buddha yang dipengaruhi dari kerajaan Majapahit dan Srivijaya, seterusnya diganti dengan agama Islam. Kedatangan Islam ke Melaka pada zaman itu disambut baik oleh Sultan, pembesar dan rakyat Melaka. Sultan adalah orang yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Islam di Melaka. Buktinya, baginda pernah menjemput ulama mengajar agama Islam di Melaka.

Kedatangan agama Islam ke Melaka telah membawa perubahan dalam kepercayaan masyarakat di Melaka. Begitu juga dengan pemikiran, pentadbiran, perundangan dan nilai hidup masyarakat sedikit sebanyak telah berubah dan berlandaskan agama Islam. Sebagai contoh, konsep dewa raja telah diganti dengan konsep sultan. Rakyat biasa menghormati sultan sebagai pemerintah dan mereka amat mentaati setiap perintah sultan. Budaya saling taat-mentaati sultan ini diperkuatkan lagi dengan kepercayaan kepada konsep daulat dan tulah. Berdasarkan konsep ini, raja dikatakan berdaulat dan sesiapa yang ingkar serta tidak menghormati sultan akan menerima tulah iaitu balasan kerana menderhaka kepada sultan. Secara keseluruhannya, agama Islam menjadi asas kepada kehidupan masyarakat Melaka.

4.2            Amalan Adat

Adat Temenggung juga menjadi amalan rakyat Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Adat Temenggung ini meliputi hal-hal jenayah, awam, kekeluargaan, hukum pelabuhan dan undang-undang laut. Mengikut Adat Temenggung, sultan berkuasa penuh dalam pentadbiran.

Selain itu, adat resam yang dilakukan sedikit sebanyak telah menerima pengaruh dari agama Islam iaitu terdapat beberapa adat yang dirasakan perlu disesuaikan dengan agama Islam agar cara hidup masyarakatnya tidak terpesong dari landasan ajaran Islam. Contohnya dari segi berpakaian di mana masyarakat Melaka pada ketika ini masih berpakaian seperti biasa namun telah menitikberatkan pemakaian yang menutup aurat sesuai dengan ajaran Islam.

5.0  PERKEMBANGAN EKONOMI

Melaka mempunyai sistem ekonomi yang teratur berasaskan kegiatan perniagaan dan perdagangan. Masyarakat Melayu Melaka pada ketika itu juga menjalankan kegiatan pertanian dan penternakan untuk mendapatkan hasil bagi menampung kehidupan mereka selain hasilnya dijadikan barang dagangan.

5.1            Empayar Perdagangan Terkenal    

Perkembangan ekonomi Melaka pada ketika itu terserlah apabila Melaka berjaya menjadi sebuah empayar perdagangan yang terkenal. Melaka telah menjadi pusat perdagangan yang penting kerana kedudukannya berada ditengah-tengah laluan perdagangan Timur dan Barat. Keadaan ini memudahkan pedagang singgah sama ada untuk berdagang atau untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman serta membaiki kapal.

Melaka juga terlindung daripada tiupan angin monsun Timur Laut oleh Banjaran Titiwangsa, dan daripada angin Monsun Barat Daya oleh Pulau Sumatera. Oleh itu persekitarannya aman dan lautnya tenang kerana tiada gangguan ombak besar. Lautnya yang dalam membolehkan kapal dagang berlabuh dengan selamat. Perairan Selat Melaka yang sempit juga memudahkan kerajaan Melaka mengawal kapal yang lalu di sekitarnya.

Pada zaman kegemilangannya, kegiatan perniagaan dan perdagangan yang dijalankan bukan hanya setakat di dalam negeri malah telah berkembang luas ke beberapa kerajaan luar yang lain. Kerajaan-kerajaan luar telah mendapati Melaka sebuah tempat yang sangat sesuai untuk berdagang. Sistem mata wang dan sistem pertukaran barang diwujudkan serta dilaksanakan untuk melancarkan proses jual beli barangan dagangan.

5.2            Kegiatan Perniagaan dan Perdagangan Orang Kiwi

Terdapat segolongan rakyat Melaka yang digelar orang Kiwi. Mereka adalah golongan rakyat yang gemar dan giat menjalankan aktiviti perniagaan dan perdagangan yang bukan hanya tertumpu di sekitar Melaka sahaja, malah mereka telah pergi membawa barang dagangan hingga ke India , China dan negeri-negeri di kepulauan Melayu yang lain. Mereka mempunyai kapal untuk membawa banyak barang dagangan keluar berdagang ke negeri lain. Terdapat juga antara mereka yang menyewa kapal untuk pergi berdagang kerana tidak mempunyai kapal sendiri. Orang Kiwi dilihat golongan rakyat yang telah berkembang dari segi kemahiran dan ilmu pengetahuan berkenaan perniagaan dan perdagangan. Oleh itu tidak dapat dinafikan Orang Kiwi sememangnya banyak member sumbangan kepada perkembangan  dan kemajuan kerajaan Melaka terutamanya dalam sektor ekonomi.       (Zainal Abidin bin Abdul Wahid et.al, 1992)

5.3            Kegiatan Pertanian dan Penternakan

Selain dari menjalankan kegiatan perniagaan dan perdagangan, masyarakat di zaman Kesultanan Melayu Melaka juga menjalankan kegiatan pertanian dan penternakan. Dari segi kegiatan penternakan, mereka membela binatang ternakan seperti lembu, kambing, ayam dan itik. Mereka kebanyakkannya menternak binatang ternakan ini di sekitar kediaman masing-masing sahaja. Dari segi kegiatan pertanian pula, kebanyakkan mereka menanam pokok buah-buahan seperti durian, langsat, pisang dan lain-lain lagi. Selain itu, mereka juga menanam sayur-sayuran dan menjalankan aktiviti bersawah padi. Kegiatan pertanian dan penternakan ini dijalankan untuk mendapatkan bekalan makanan untuk menampung keperluan kehidpan seharian mereka. Namun begitu, untuk menampung permintaan yang banyak, Melaka turut mengimport sebahagian besar bahan makan utamanya iaitu beras dari negara jiran iaitu pulau Jawa, Siam dan Burma.

6.0  MELAKA SEBAGAI PUSAT BAHASA DAN SASTERA

Kegiatan perdagangan yang semakin pesat di Melaka sehingga menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan yang unggul di dunia. Keunggulan ini turut mendorong Melaka menjadikan Melaka sebagai pusat perkembangan ilmu apabila Melaka telah menerima kunjungan daripada masyarakat luar yang mempunyai pelbagai latar belakang terutamanya mereka yang berilmu pengetahuan yang tinggi.

6.1            Pusat Perkembangan Bahasa dan Sastera

Kedatangan pedagang-pedagang asing seperti pedagang Arab bukan hanya membawa barang-barang yang hendak diniagakan malah mereka juga membawa pelbagai jenis bahan kesusasteraan mereka ke Melaka. Bahan-bahan kesusasteraan ini kemudian diterjemahkan untuk memudahkan penggunaannya dalam kalangan orang tempatan. Selain itu, bahan-bahan sastera tempatan seperti hikayat Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Bayan Budiman yang banyak mengandungi unsur-unsur pengajaran serta dijadikan bahan perantara untuk penyebaran agama Islam.

6.2       Istana sebagai Pusat Kegiatan Ilmu

Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, istana telah dijadikan sebagai pusat perkembangan ilmu dan tempat golongan cerdik pandai seperti ulama-ulama dan pengarang-pengarang karya dikumpulkan. Istana menjadi tempat untuk mengadakan majlis perbincangan dan perdebatan antara para alim ulama berkenaan hal ehwal agama Islam. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, masyarakat tempatan juga digalakkan mengembangkan ilmu pengetahuan. Mereka digalakkan menuntut ilmu di rumah-rumah ulama, masjid dan surau. Manakala istana pula dijadikan pusat pendidikan ilmu formal untuk golongan bangsawan. Istana juga berperanan sebagai tempat penyimpanan buku-buku yang ditulis oleh karyawan tempatan.
6.2            Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca

Kedatangan agama Islam ke Melaka sedikit sebanyak telah mendorong bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan, bahasa persuratan dan bahasa perantaraan dalam kegiatan dakwah. Bahasa Melayu dianggap sebagai Lingua Franca kerana digunakan oleh masyarakat sekitar rumpun ini dan sekali gus digunakan secara meluas oleh pedagang di pelabuhan Melaka kerana bahasa Melayu mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Pedagang-pedagang asing juga tidak menghadapi masalah komunikasi dengan pegawai Melaka kerana mereka boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga digunakan di negeri-negeri Melayu lain yang berhampiran Melaka atau tanah jajahan Melaka. Selain itu, bahasa Melayu juga digunakan dalam hubungan sosial, pentadbiran, ekonomi, agama dan pendidikan.

7.0  MELAKA SEBAGAI PUSAT PERDAGANGAN

Melaka pada awalnya hanyalah sebuah perkampungan nelayan sahaja tetapi telah berubah menjadi sebuah pusat perdagangan entrepot yang terkenal di gugusan Kepulauan Melayu. Kegiatan perdagangan bukanlah perkara baru bagi penduduk Melayu di Melaka. Kegiatan perdagangan merupakan warisan dan penerusan tradisi kegiatan ekonomi orang peribumi yang telah berjalan sejak dari zaman awal Kerajaan Melayu Langkasuka dan Sriwijaya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 lagi. (Muhammad Yusoff Hashim, 1990)

7.1            Kedudukan Strategik

Keagungan kerajaan Melaka pada abad ke-15 dan awal abad ke-16 adalah disebabkan oleh kegiatan perdagangannya. Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan kerana mempunyai kelebihan dan keistimewaan dari segi kedudukan geografi yang strategik. Kedudukan Selat Melaka sebagai kawasan lalulintas antara Timur dan Barat. Selat Melaka amat penting kerana selat ini merupakan sebahagian daripada ikatan hubungan maritime antarabangsa yang menghubungkan dunia Timur dan Barat. Kepentingannya sebagai jalan air dan laluan perdagangan di antara China dan India serta wilayah sekitarnya memang telah diakui sejak zaman berzaman lagi. (Nordin Husin, 2008)

Pedagang-pedagang asing yang berulang alik di antara India (Barat) dan China (Timur) singgah di Melaka untuk berdagang  dan dalam masa yang sama mereka juga turut mendapat bekalan makanan dan air serta membaiki kapal jika ada kerosakan yang dialami sebelum meneruska perjalan ke destinasi seterusnya.

Pelabuhan Melaka juga terlindung daripada tiupan angin Monsun Timur Laut oleh Banjaran Titiwangsa dan angin Monsun Barat Daya oleh Pulau Sumatera. Oleh itu, pedagang-pedagang yang datang berdagang ini akan menunggu pertukaran angin Monsun untuk pulang dan datang ke Melaka Angin Monsun Timur laut yang bertiup dalam bulan November hingga Mac membawa pedagang China ke Melaka dan pada masa sama akan membawa pedagang Asia Barat dan India belayar pulang dari Melaka. Angin Monsun Barat Daya yang bertiup dalam bulan Mei hingga September pula akan membantu pedagang Asia Barat dan India ke Melaka dan pada masa yang sama membawa pedagang China belayar pulang dari Melaka.

Pada mulanya Melaka hanya menjadi pelabuhan transit bagi kapal-kapal yang berulang alik melalui Selat Melaka. Namun begitu, lama kelamaan Melaka telah menjadi pusat perdagangan entrepot apabila kegiatan perdagangan semakin berkembang dan dalam masa yang sama turut menjadi tempat pengumpulan, penyaluran dan pertukaran barang-barang dagangan antara pedagang-pedagang yang datang berdagang atau pedagang yang singgah di pelabuhan Melaka semasa melalui Selat Melaka.

7.2            Jentera Pentadbiran yang Teratur

Terdapat beberapa faktor lain yang turut membantu memajukan Melaka sehingga mampun menarik minat kedatangan pedagang luar untuk singgah dah berdagang di Melaka. Antaranya ialah kerajaan Melaka mempunyai jentera pentadbiran yang teratur untuk membantu mentadbir urusan-urusan di pelabuhan dan kegiatan perdagangan. Pada waktu itu juga Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka telah digubal oleh kerajaan Melayu Melaka untuk memastikan kegiatan perdagangan berjalan dengan lancar dan adil. Selain itu, undang-undang ini digubal untuk menjamin kestabilan serta keamanan negeri terpelihara dari ancaman-ancaman luar.

Jawatan Syahbandar diwujudkan dan dilantik oleh sultan untuk menguruskan pentadbiran di pelabuhan agar kegiatan perdagangan berjalan lancar. Syahbandar berperanan menguruskan pasar dan gudang, memeriksa alat timbang dan mata wang, menjadi hakim di pelabuhan, menguatkuasakan peraturan keluar masuk kapal, menguruskan cukai, menjaga kebajikan dan keselamatan para pedagang.

Parameswara juga telah menubuhkan sebuah angkatan laut yang terdiri daripada Orang Laut (Orang Selat) yang berfungsi untuk mengawal keselamatan para pedagang yang singgah di Melaka. Orang Laut dilantik menjadi tentera untuk mengawal laluan perdagangan di Selat Melaka daripada ancaman lanun. Orang Laut mengetahui selok belok ilmu kelautan khususnya di sepanjang perairan Selat Melaka. Sikap Orang Laut yang mempunyai ketaatan dan kesetiaan yang utuh kepada sultan dan kerajaan dilihat telah member banyak sumbangan kepada keamanan dan keselamatan perdagangan Melaka.

7.3            Kemudahan dan Kelengkapan

Pelbagai kemudahan dan kelengkapan disediakan oleh pemerintah di pelabuhan Melaka untuk menarik pedagang-pedagang asing singgah di pelabuhan Melaka. Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan ialah kemudahan membaiki kapal, menyediakan rumah persinggahan dan gudang untuk menyimpan barang, bekalan air bersih dan makanan serta wujud sistem sukatan dan timbangan yang adil. Pedagang juga mudah mendapatkan bekalan makanan dan air sebelum memulakan pelayaran semasa menunggu pertukaran angin Monsun. Keselamatan pedagang-pedagang yang singgah dan berdagang di Melaka juga terjaga. Angkatan laut yang terdiri daripada Orang Laut juga dibentuk untuk melindungi pedagang daripada serangan lanun.

7.4            Penggunaan Sistem Mata Wang

Kemajuan sistem kewangan juga membantu menjadikan Melaka sebagai kawasan perdagangan yang terkenal. Pada ketika itu, masyarakat Melaka yang mementingkan kegiatan perdagangan memerlukan satu sistem yang rapi bagi menilai barang dagangan. Oleh itu, sistem mata wang diperkenalkan dan diamalkan. Kebanyakan urus niaga di Melaka dijalankan melalui sistem pertukaran barang dan penggunaan mata wang. Wang logam digunakan dalam urus niaga di Melaka. Wang ini diperbuat daripada bijih timah yang dianggap mempunyai nilai yang sangat tinggi.

7.5            Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perantaraan

Bahasa perdagangan yang digunakan di Melaka ketika itu ialah Bahasa Melayu. Salah satu faktor kedatangan para pedagang berminat datang ke Melaka kerana mereka mudah berurusan dengan pegawai-pegawai kerajaan dan pedagang-pedagang di Melaka dengan menggunakan bahasa Melayu. Walaupun terdapat pelbagai bahasa yang wujud di Melaka pada ketika itu tetapi bahasa Melayu tetap dipilih menjadi bahasa perantaraan utama dalam kalangan pedagang-pedagang. Hal ini kerana bahasa Melayu mudah difahami dan telah menjadi bahasa utama masyarakat di rantau sekitarnya.

7.6            Sistem Cukai yang Berpatutan

Melaka juga mengenakan cukai ke atas barang dagangan dan juga harta yang dijual. Barang dagangan yang dibawa masuk melalui pelabuhan Melaka dikenakan kadar bayaran cukai yang tertentu. Kapal dagangan yang datang dari Barat dikehendaki membayar cukai sebanyak yang telah ditetapkan daripada jumlah nilai barang dagangan mereka. Contohnya, kapal dagang dari Barat seperti Tanah Arab dan India dikehendaki membayar cukai sebanyak enam peratus daripada jumlah nilai barang dagangan mereka. Pedagang dari Timur seperti China, tidaklah perlu membayar cukai ke atas barang dagangan mereka tetapi mereka perlu memberikan persembahan kepada sultan. Nilai persembahan itu adalah bergantung kepada tafsiran yang dilakukan oleh pegawai ke atas barang dagangan mereka. Manakala pedagang yang tinggal tetap di Melaka juga dikenakan cukai iaitu sebanyak tiga peratus sahaja.

Cukai juga dikenakan ke atas harta yang dijual. Contohnya seseorang yang menjualkan tanah miliknya hendaklah membayar sedikit cukai kepada pihak kerajaan. Hasil kutipan cukai digunakan untuk menampung kos pembiayaan untuk aktiviti pertahan empayar Melaka. Selain itu, hasil kutipan cukai yang dianggap menjadi pendapatan kepada kerajaan Melaka yang akan digunakan untuk meluaskan dan memajukan kegiatan ekonomi kerajaan.


8.0  PERKEMBANGAN ISLAM DI MELAKA

Agama Islam mula berkembang di alam Melayu dalam abad ke 13 Masihi. Menjelang abad ke 15 Masihi, agama Islam berjaya meluaskan pengaruhnya hampir ke seluruh alam Melayu dan menamatkan pengaruh agama Hindu dan Buddha yang menguasai daerah tersebut sejak abad ke 15 Masihi.

8.1            Teori Kedatangan Agama Islam di Asia Tenggara

Terdapat tiga teori kedatangan agama Islam di Tanah melayu atau Asia Tenggara iaitu kedatangan Islam dari Arab, India dan China. Teori-teori ini telah dikemukakan oleh sejarawan-sejarana seperti Syed Muhammad Nuqaib al-Attas, HAMKA, Snouck Hugronje, Thomas Arnold dan sebagainya.

Teori pertama menyatakan bahawa kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu atau gugusan Kepulauan Melayu adalah dari Tanah Arab. Teori ini dikemukan oleh John Crawford yang turut menyatakan bahawa agama Islam berkembang ke Asia Tenggara melalui kegiatan perdagangan yang dijalankan oleh pedagang-pedagang dari Arab. Sememangnya hubungan perdagangan telah terjalin antara Tanah Melayu dengan Tanah Arab sejak agama Islam belum sampai ke Tanah Melayu lagi. Pedagang-pedagang Arab yang berdagang ke China telah singgah di pelabuhan utama di Asia Tenggara seperti pelabuhan di Selat Melaka sebelu meneruskan perjalanan mereka ke destinasi yang sebenar. Mereka akan singgah dan tinggal selama beberapa bulan di sekitar tempat persinggahan itu untuk menunggu perubahan angin monsun. Masa yang terluang ketika berada disini digunakan oleh pedagang-pedagang Arab ini untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan.  Profesor Syed Muhammad Naquib al-attas bersetuju dengan pendapat bahawa agama Islam yang tersebar di Asia Tenggara adalah datang dari Tanah Arab. Hal ini dibuktikan dengan kwujudan persamaan antara bahan penulisan dan kesusasteraan di Asia Tenggara ada mempunyai persamaan. Selain itu, terdapat beberapa karya tempatan seperti Hikayat Raja-Raja Pasai yang menceritakan kisah pengislaman raja di Asia Tenggara dilakukan oleh syeikh yang didatangkani dari Tanah Arab.


Teori kedua pula menyatakan bahawa agama Islam disebarkan ke Asia Tenggara dari India melalui pedagang-pedagang Islam dari India. Teori ini dinyatakan oleh Snouck Hurgronje iaitu sejarawan Belanda. Beliau berpendapat bahawa hubungan perdagangan yang wujud antara India dengan Asia Tenggara sudah lama dan membolehkan pedagang-pedagang Islam dari India menyebarkan agama Islam di gugusan Kepulauan Melayu ini. Selain itu, hal ini juga dapat dibuktikan dengan terdapatnya cicir-ciri buatan India pada beberapa batu nisan yang dijumpai di Jawa dan Pasai.

Teori ketiga pula menyatakan bahawa kedatangn agama Islam ke Asia Tenggara dibawa menerusi China. Pendapat ini dikemukan oleh Emanuel Gadinho Eredia. Beliau berpendapat bahawa Canton di China telah menjadi pusat perniagaan terkenal dalam kalangan peniaga Arab yang beragama Islam. Oleh itu, perhubungan yang erat ini membolehkan agama Islam berkembang di China terutamanya dalam kalangan peniaga China dan seterusnya apabila peniaga China ini datang berniaga ke Asia Tenggara, secara tidak langsung mereka turut menyebarkan agama Islam di Asia Tenggara.

Berdasarkan ketiga-tiga teori ini dapatlah disimpulkan bahawa kedatangan agama Islam di rantau Asia Tenggara adalah dibawa oleh pedagang-pedagang  Islam yang secara tidak langsung menyebarkan agama Islam semasa mereka datang berdagang sini atau semasa mereka singgah buat sementara waktu di pelabuhan Selat Melaka untuk menunggu perubahan angin monsun sebelum meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju.

8.2            Perkembangan Agama Islam di Melaka

Agama Islam telah berkembang pesat di Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1459) dan baginda telah menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi di Melaka. Agama islam dapat dikembangkan dengan cepat di Melaka disebabkan oleh peranan raja Melaka yang menyambut baik kedatangan Islam. Raja turut menganuti agama Islam dan diikuti oleh ahli keluarga dan para pembesarnya. Sultan Muzaffar Shah juga turut mewujudkan beberapa institusi pendidikan agama di Masjid, surau dan madrasah.

Penyebaran agama Islam bukan hanya di Melaka malah turut tersebar sehingga ke seluruh tanah jajahan takluk Melaka. Pelbagai cara telah digunakan untuk menyebarkan agama Islam. Antaranya seperti melalui kegiatan perdagangan apabila ramai pedagang-pedagang Arab yang beragama Islam datang berdagang dan berkahwin dengan wanita tempatan di Melaka.
Antara perkara yang telah dilaksanakan berdasarkan agama Islam ialah pemerintahan Melaka mengikut lunas pemerintahan Islam terutamanya dalam urusan pentadbiran. Contohnya Sultan Mansur Syah mengarahkan pembesar mengadakan perbincangan sebelum memutuskan sesuatu keputusan dalam menjalankan tugas mereka. Hal ini bersesuaian dengan konsep musyawarah yang terkandung di dalam ajaran Islam. Selain itu, Sultan Alauddin Riayt Syah (1477-1488) memerintah kerajaan Melaka berpandukan kepada cara pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab. Baginda telah menyamar sebagai rakyat biasa untuk mengetahui keadaan rakyatnya yang sebenar.

Kemajuan agama Islam di Melaka dibuktikan lagi dalam undang-undang Melakayang turut dipengaruhi oleh lunas-lunas Islam. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah gabungan hukum adat tempatan dan undang-undang Syariah dan nilai Islam. Selain itu, terdapat banyak lagi perkembangan dan kemajuan dari aspek agama Islam di Melaka yang mempengaruhi gaya hidup rakyatnya. Contohnya, kalendar Hijrah mula digunakan oleh kerajaan Melaka. Selain itu, tulisan Arab pula disesuaikan dan dijadikan tulisan jawi,  pengajian Al-Quran dijadikan asas dalam sistem pendidikan masyarakat Melaka dan upacara seperti berkhatam al-Quran, kenduri arwah dan kesyukuran juga telah menjadi amalan masyarakat Melaka.

9.0  PENUTUP

Menjelang kurun ke-16, Melaka masih merupakan sebuah  empayar yang gagah, makmur dan masyhur. Melaka telah meluaskan kuasa dan empayarnya dengan menakluki Perak dan beberapa negeri yang lain. Kegemilangan dan keunggulan Kerajaan Melaka berada di kemuncak semasa negeri itu berada di bawah kepimpinan Bendahara Tun Perak. Walau bagaimanapun kegemilangan itu tidak kekal lama apabila kerajaan Melaka menghadapi kemerosotan dan kejatuhan selepas kematian Bendahara Tun Perak. Kejatuhan empayar Melaka disebabkan beberapa faktor dalaman dan luaran. Faktor Dalaman yang menyebabkan empayar Melaka tersungkur ialah pemerintahan Sultan Mahmd yang tidak cekap, berlakunya permusuhan antara orang-orangMelayu Islam dengan orang-orang Tamil Islam, kegiatan perdagangan semakin merosot, kelemahan dalam sistem pertahanan dan sikap pembesar yang tidak adil. Faktor luaran nya pula ialah sikap ketidakjujuran pedagang asing dan kejatuhan Melaka disebabkan oleh penaklukan Melaka oleh Portugis pada tahu 1511.

Secara kesimpulannya, perkembangan zaman Kesultanan Melayu Melaka banyak bergantung kepada kebijaksanaan pemerintahnya yang gigih merangka dan menyusun struktur serta strategi pentadbiran kerajaannya. Selain itu, masyarakat di zaman Kesultanan Melayu Melaka tidak sukar untuk menerima sebarang perubahan dan pembaharuan yang membawa kepada kehidupan yang lebih maju. Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah enterport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun perkembangandan pencapaian  Melaka adalah berbeza daripada Srivijaya kerana Melaka mampu menjadi satu tempat asas yang mempelopori kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.



 RUJUKAN
_________________ (2009). Malaysia Kita. Petaling Jaya: International Law Book Services.

_________________ (2010). Pengajian Malaysia Sejarah Tanah Melayu. Petaling Jaya :
            International Law Book Services.

Hasnah Hussin & Mardiana Nordin (2007). Pengajian Malaysia. Shah Alam : Oxford Fajar
 Sdn. Bhd.

Muhammad Yusoff Hashim. (1990). Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan
            Bahasa dan Pustaka.

Joginder Singh Jessy (1975).  Malaysia Singapura dan Brunai 1400-1965, Kuala Lumpur :
 Longman Malaysia Sdn. Berhad.

Khoo Kay Kim. (Eds.)(1982). Melaka dahulu dan sekarang. Kuala Lumpur : Persatuan
 Muzium Malaysia.

Lisa Yip Shukye dan Jais bin Abdul Hamid (2012). Sejarah politik Malaysia sehingga awal
 abad ke-20. Puchong : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Rahmat bin Saripan. (1983). Pembukaan negeri Melaka. Dalam Dokumentasi Seminar
 Sejarah Melaka. Kerajaan Negeri Melaka.

Zainal Abidin bin Abdul Wahid, et. al. (1992). Malaysia Warisan dan Perkembangan.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nordin Husin. (2008). Geografi dan Perdagangan : Kepentingan Selat Melaka kepda
 Perdagangan Dunia, Asia dan Dunia Melayu 1700-1800. Makalah Akademik 73. Mei.
Capaian pada 12 Mac 2012 , dari

Haji Ishak bin Saat, et.al. (2009). Sejarah panjang hungungan Malaysia-China. Capaian pada
       4 April 2012, dari

Kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278. Berita harian online. Capaian pada 12 Mac

Kajian: Kerajaan Melayu Melaka mula tahun 1262. Capaian pada 12 Mac 2012 , dari http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kajian-kerajaan-melayu-melaka-mula-tahun-1262/

Kejatuhan Empayar Melaka. Pengajaran dan yang Tersirat. Capaian ada 4 April 2012, dari

4 comments:

  1. why is it 'terperihara'pls let me copy.:(
    at least 1 sentence

    ReplyDelete
  2. boleh sy copy maklumat di atas... untuk rujukan menyiapakan tugasan

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete