Pengenalan Image Map

Followers

Saturday, December 29, 2012

Guru Seorang Pendidik dan Pengajar



Guru merupakan individu yang bertanggungjawab untuk merealisasikan matlamat Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi warganegara yang berguna. Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui aktiviti di luar bilik darjah. Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus yang bersesuaian dengan keperluan murid. Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah. Hal ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Pengajaran dan pendidikan adalah dua perkara yang mempunyai maksud berbeza. Pengajaran boleh didefinisikan sebagai cara untuk menyediakan murid-murid dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh mereka. Guru berperanan sebagai pengajar iaitu bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid-murid mengikut sukatan pelajaran yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Ilmu pengetahuan boleh disampaikan melalui pelbagai kaedah yang dilihat sesuai dengan penerimaan murid-murid.

Pendidikan pula boleh didefinisikan dari pelbagai sudut. Menurut Abdul Rahim Hamdan (2011), pendidikan boleh dilihat sebagai proses pembentukan dan perkembangan iaitu perubahan yang tetap dan tidak berubah kembali kepada yang asal. Menurut beliau lagi pendidikan juga merupakan proses berterusan iaitu pendidikan adalah sepanjang hayat di mana seseorang itu harus diberi peluang memperolehi pendidikan sepanjang umurnya. Mok Soon Sang (1991) merumuskan bahawa pendidikan ialah suatu proses atau aktiviti untuk  memperkembangkan fizikal, intelek, sosial dan emosi seseorang individu serta menambah kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan pengalaman supaya dapat memberi kegembiraan, faedah dan kemajuan dalam kehidupannya, membantu serta mendorongnya bertindak dengan cara yang betul untuk faedah diri sendiri serta masyarakat, bangsa dan negaranya. Oleh itu, pendidikan ini boleh dikatakan proses menyampaikan ilmu dan memberi tunjuk ajar secara berterusan serta turut memainkan peranan dalam penerapan nilai-nilai moral dalam kehidupan seharian murid-murid.

Secara keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa pengajaran dan pendidikan merupaka dua perkara yang berbeza tapi berkait rapat untuk mencapai matlamat pendidikan kebangsaan negara yang telah terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Namun begitu, dalam senario kehidupan hari ini dapat kita lihat bahawa terdapat guru yang lebih banyak menghalakan fokus kepada kegiatan mengajar sahaja dan kurang memberi perhatian dalam kegiatan mendidik murid-murid. Buktinya kita dapat lihat kepada peningkatan kadar gejala sosial dalam kalangan remaja dan belia di negara kita semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kini, kita sering mendengar cerita berkenaan masalah-masalah disiplin remaja sekolah seperti gejala ponteng sekolah, gangsterisme, merokok, melawan guru, buli, vandalisme dan maksiat. Masalah disiplin ini semakin menular dalam kalangan pelajar dan harus dilihat sebagai masalah yang serius. (Abdul Rahim bin Hamdan & Azharul Nizam bin Zahari, 2010)

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan guru lebih memberi penekanan kepada aktiviti mengajar sahaja tanpa menitikberatkan kepada aktiviti mendidik kepada murid-murid. Antara faktor-faktor yang boleh kita kaji ialah pertama, guru kurang memahami inti pati Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru. Negara berhasrat melahirkan modal insan kelas pertama dalam membantu usaha memajukan negara menjadi sebagai sebuah negara maju dan mencapai hasrat wawasan 2020. Bidang pendidikan dikenal pasti sebagai agen perubahan yang memainkan peranan penting ke arah pembinaan negara yang mempunyai generasi yang fleksibel. Menyedari hal ini maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dibentuk sebagai hala tuju dan panduan untuk meningkatkan mutu pendidikan dalam usaha untuk melahirkan insan yang seimbang dari semua aspek iaitu rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial. Oleh yang demikian, guru-guru perlu memahami dan menghayati segala inti pati yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan lebih mantap bagi merealisasikan dasar kerajaan dan membentuk individu yang bernilai kepada negara. Guru-guru perlu menghayati Falsafah Pendidikan Guru yang bermatlamat untuk membina guru-guru yang mulia, berpengetahuan, kreatif dan mempunyai daya tahan yang boleh mendidik murid-murid secara berkesan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru digubak untuk menghasilkan guru-guru yang mempunyai integriti yang tinggi dan boleh dipercayai oleh sekolah serta masyarakat. (Ragbir Kaur Joginder Singh, 2012)

Kurangnya penghayatan seseorang guru terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyebabkan sesuatu ilmu itu tidak dapat disampaikan dengan baik kepada murid-murid. Ilmu yang disampaikan itu tidak dapat diberi secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dulunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996. Oleh yang demikian, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru setiap guru dan bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada di landasan yang betul serta menepati matlamat. (Muhammad Nurfahmi Mohamed, et. al., 2011)

Faktor kedua ialah sistem pendidikan negara pada hari ini lebih beroriantasikan peperiksaan dan penekanan kepada tahap prestasi akademik melalui pencapaian dalam peperiksaan tanpa memberi perhatian kepada aspek-aspek lain. Terdapat guru yang hanya mengajar murid-murid dengan bersungguh-sungguh semata-mata mahu anak-anak didiknya mencapai prestasi yang tinggi dalam peperiksaan. Ilmu pengetahuan yang diberikan hanya berkisarkan ilmu yang diberikan secara teori sahaja. Murid-murid perlu mengingati fakta dan rumus semata-mata untuk menjawab soalan dalam peperiksaan sahaja. Hal ini menyebabkan guru berkenaan sedikit mengabaikan penerapan nilai-nilai moral yang sepatutnya diselitkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 

Seterusnya, faktor ketiga ialah pendidikan yang disediakan kepada murid-murid di Malaysia adalah berpandukan kepada sukatan pelajaran yang telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai garis panduan dan penanda aras. Oleh itu, guru perlu mengajar murid-murid mengikut sukatan pelajaran yang disediakan dan guru-guru perlu menghabiskan semua topik yang telah dimuatkan dalam sukatan dalam tempoh yang ditetapkan. Adakalanya guru terpaksa mengajar murid-murid dengan pantas kerana hendak menghabiskan sukatan pelajaran sehinggakan terdapat murid-murid yang ketinggalan kerana tidak dapat memahami topik yang dipelajarinya di dalam bilik darjah. Hal ini berlaku apabila guru tidak dapat mengulang semula pengajarannya beberapa kali kerana bimbang tidak sempat menghabiskan sukatan sebelum menjelangnya peperiksaan. Di sini guru-guru dilihat tidak mempunyai banyak waktu untuk mengadakan aktiviti pemulihan dan pengayaan kepada murid-murid. Guru mesti menghabiskan sukatan pelajaran untuk memastikan murid-murid akan lulus dalam peperiksaan serta dapat mengekalkan peratusan kecemerlangan akademik sekolah selaras dengan kehendak dan matlamat pihak sekolah tanpa mengambil kira prestasi akhlak dan sikap murid-muridnya.

Kemudian, faktor keempat ialah penekanan dalam penerapan nilai-nilai murni secara praktikal tidak diberi dengan lebih berkesan. Kaedah mengajaran guru hanya berkisarkan penyampaian ilmu pengetahuan yang terkandung dalam sukatan pelajaran sahaja. Pemahaman murid-murid hanya diberi penekanan kepada ilmu-ilmu pengetahuan secara teori tanpa dipraktikkan dalam kehidupan sebenar. Murid-murid kurang didedahkan dengan senario kehidupan sebenar sebagai contoh-contoh yang kepada ilmu yang diajar. Falsafah Pendidikan Negara jelas menyatakan bahawa antara ciri-ciri rakyat Malaysia yang ingin dilahirkan ialah rakyat yang berakhlak mulia serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan yang dilaksanakan perlu menjurus kepada pembinaan akhlak yang mulia dalam kalangan murid supaya mereka boleh jadi rakyat yang kaya dengan ilmu pengetahun dan budi pekerti yang mulia. Nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, tolong-menolong, bekerjasama, toleransi dan ambil berat perlu diterapkan dalam diri murid-murid agar menjadi sebati dalam kehidupan seharian mereka. Semangat integrasi dan perpaduan kaum juga mudah diwujudkan melalui pengamalan nilai-nilai murni dalam setiap urusan kehidupan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Beban tugas guru pelbagai dan semakin hari semakin bertambah merupakan faktor yang kelima yang boleh dibincangkan dalam hal ini. Menurut Tan Seri Muhyidin Yasin, antara beban tugas berlebihan yang terpaksa dilaksanakan oleh guru-guru ialah menguruskan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain yang perlu dibuat mengikut keperluan semasa. Menurut Ragbir Kaur Joginder Singh (2012), guru-guru berhadapan dengan beban kerja yang kian bertambah mengikut dasar pendidikan yang telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Menurut beliau lagi, guru-guru dicabar untuk mencapai visi dan aspirasi negara melalui pelbagai dasar dan program yang perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. Akibat ditimbuni pelbagai tugas yang kadangkala di luar bidang tugas seorang guru, mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan mengajar yang lebih berkesan. Hal ini boleh menyebabkan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah juga menjadi hambar dan kurang berkesan. Beban tugas guru yang semakin besar menuntut kesabaran yang tinggi. 

Pada zaman dahulu, guru merupakan insan yang diagung-agungkan dan disanjungi. Guru ialah insan yang dihormati oleh murid-murid, ibu bapa dan masyarakat. Namun hari ini sering kita dengar terdapat murid-murid sekolah tidak menghormati guru mereka sendiri. Guru-guru terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan dalam bidang pendidikan sehingga wujudnya beban tugas yang keterlaluan. Ekoran dari bebanan tugas berat yang terpaksa dipikul oleh guru-guru telah menyebabkan mereka tidak dapat menyempurnakan tugas mereka dengan sempurna dan seterusnya ditegur oleh pihak pengurusan atasan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan.  Ketegangan yang berpanjangan boleh mempengaruhi psikologi seseorang seperti hilang keyakinan diri, cepat marah, agresif dan hilang daya konsentrasi.  Hal ini akan menyebabkan seseorang guru itu kurang bersemangat dan tidak bermotivasi di dalam menjalankan tugasnya. (Mohd Fitri bin Sahhari, 2006)

 Terdapat juga ibu bapa yang tidak memberi kerjasama kepada guru-guru semasa mendidik anak mereka di sekolah, contohnya guru tidak boleh menghukum anak-anak mereka dengan hukuman yang sedikit berat seperti rotan, denda dan sebagainya kerana terdapat larangan yang perlu dipatuhi oleh guru-guru semasa mendenda dan menghukum murid-murid. Oleh itu guru tidak boleh mengenakan apa-apa hukuman sedikit berat yang dilihat mampu menginsafkan murid-murid. Sewajarnya ibu bapa perlu mengakui tugas guru bukan hanya mengajar mata pelajaran untuk lulus peperiksaan, tetapi turut mendidik menerusi penerapan nilai-nilai murni, jati diri, disiplin dan sahsiah terpuji. Namun begitu, kebanyakan ibu bapa lebih mengutamakan kecemerlangan akademik semata-mata dan bukan kepada sahsiah yang baik menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur walaupun melakukan kesalahan. Pihak ibu bapa dan penjaga perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak guru-guru dan jangan terburu-buru menyerang pihak sekolah atau membuat pendedahan pada media tentang ketidakpuasan hati mereka. Hakikatnya, guru perlu mengenakan hukuman yang setimpal kepada murid-murid yang melakukan kesalahan. Hukuman yang dikenakan adalah termasuk dalam proses mendidik dan bukan menyakiti atau memalukan murid-murid, sekali gus memberi keinsafan dan kesedaran terhadap salah laku yang dilakukan.

Dasar pendidikan Negara yang sentiasa berubah-ubah memberi tambahan beban tugas kepada guru-guru antaranya ialah ­dasar baru kerajaan pada tahun 2003 iaitu pengajaran sains dan matematik mesti dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Ramai guru-guru yang terlibat dihantar menghadiri kursus dan terpaksa meninggalkan prosespengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Setelah dasar ini dilihat tidak berjaya, pada tahun 2012 dasar baru telah diperkenalkan untuk menggantikan dasar lama iaitu memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris. Terdapat banyak lagi dasar-dasar baru diperkenalkan dan dilihat menambah kepada bidang tugas kepada seseorang guru seperti dasar Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS), Satu Murid Satu Sukan (1M1S) dan sebagainya. 

Selain itu, faktor keenam ialah pihak guru-guru kurang peka kepada isu-isu semasa atau perkara-perkara yang diminati dan sering menjadi perhatian murid-murid sekolah. Antaranya ialah isu pertandingan bola sepak, berbuat di laman sosial seperti facebook, kegiatan murid-murid selepas waktu persekolahan dan sebagainya. Guru-guru kurang mengambil berat hal-hal seperti ini dan tidak menyedari bahawa murid-muridnya telah terjebak dengan gelaja sosial. Oleh itu, guru-guru ini tidak berpeluang untuk memberi nasihat dan teguran di atas tingkah laku yang kurang baik itu. Guru-guru berkenaan juga tidak dapat menerapkan nilai-nilai moral dalam diri murid-murid tanpa memahami keadaan, tingkah laku, kegiatan dan kehendak murid-murid berkenaan. Seharusnya, guru-guru perlu mengenali latar belakang anak didiknya dan cuba bergaul mesra dengan mereka melalui perkongsian minat dan hobi. Secara tidak langsung hobi yang dilihat kurang berfaedah boleh ditukar dengan hobi yang lebih bermanfaat atas dorongan guru mereka. Di sini lah kita boleh lihat betapa pentingnya peranan seorang guru dalam mendidik anak-anak didiknya menjadi insan yang berguna. 

Salah satu langkah penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan ialah guru perlu menjadi seorang yang berpengetahuan terlebih dahulu. Guru haruslah mempunyai minat dan kecenderungan meningkatkan pengetahuan dan menjadikan budaya belajar dan budaya membaca sebagai suatu amalan yang penting. Guru harus mempersiapkan diri untuk menghadapi dan menangani cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai pekerja yang berilmu dalam era revolusi informasi abad ke-21. Kesedaran ini amat penting dalam mempertingkatkan tahap profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang lebih baik selaras dengan kaedah dan teknik pengajarannya di dalam kelas iaitu bukan hanya mengajar tapi turut mendidik murid-murid untuk menjadi insan yang berilmu dan bermoral. (Norliyana binti Haji Mohamad, 2007)

Guru merupakan individu yang memainkan peranan utama dalam pembentukan tingkah laku dan sahsiah murid-murid selain ibu bapa mereka di rumah. Oleh itu, beberapa langkah perlu dirancang dan dilaksanakan untuk menjadikan seorang guru itu merupakan seorang pengajar dan pendidik yang berwibawa dalam masa yang sama. Antara langkah yang telah diambil oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia ialah mengkaji semula beban tugas guru yang ditanggung oleh guru-guru seluruh Malaysia melalui penubuhan jawatankuasa khas.  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan terdapat empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru iaitu mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru dan menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan. (Syuhada Choo Abdullah, 2012)

            Akibat pertambahan dalam tugas guru menyebabkan ramai guru tertekan dan hal ini menyebabkan prestasi dalam penyampaian melalui pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah terjejas. Bagi mengatasi hal ini menurut  Fazura Mohd Noor (2011) dalam kajiannya menyatakan bahawa pihak NUTP telah mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan jawatan pembantu guru di sekolah-sekolah bagi mengambil alih tugas-tugas social terhadap pelajar yang sebelum ini terpaksa dipikul oleh guru-guru. Tindakan ini dicadangkan adalah bertujuan untuk membolehkan guru-guru memberi komitmen dan tumpuan yang sepenuhnya kepada tugas hakiki mereka iaitu mengajar dan mendidik anak bangsa bukan sahaja dalam bidang akademik malah membimbing dalam pembentukan akhlak dan penerapan nilai-nilai murni. 

Guru perlu diberikan kursus dalam perkhidmatan yang khusus berkaitan dengan kaedah penerapan nilai-nilai moral dalam kalangan murid-murid. Selain itu, guru-guru juga perlu diberi kursus untuk memberi pendedahan tentang cara meningkatkan kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru juga perlu diberi motivasi untuk mengurangkan tekanan akibat beban tugas yang semakin meningkat saban hari. Antara bentuk motivasi yang boleh diberikan ialah menggalakkan guru-guru menyambung pelajaran untuk menambahkan ilmu dan pengalaman. Selain itu, motivasi juga boleh diberikan dalam bentuk ganjaran dan insentif, menambah peruntukan dalam pelaksanaan sesuatu program di sekolah dan sebagainya.

Guru-guru juga perlu selalu mengadakan perbincangan pihak pengurusan sekolah terutamanya dengan Guru Besar dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta bersama pihak PIBG sekolah berkaitan dengan pendekatan yang boleh dugunakan dalam penekanan penerapan nilai-nilai murni dan penyebaran ilmu pengetahuan yang lebih luas dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pelbagai idea, pandangan dan cadangan yang boleh digembeling bersama untuk membentuk satu kaedah atau pendekatan yang boleh diaplikasikan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajarannya sama ada di dalam bilik darjah atau di luar waktu persekolahan.

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan amat berkait rapat dengan kesedaran dan tanggungjawan guru sebagai pendidik di samping mempunyai kelengkapan keilmuan yang cukup dan sahsiah yang luhur. Guru-guru harus menjadi individu yang boleh menjadi contoh dan teladan yang terdekat untuk murid-murid dan masyarakat. Tugas guru bukan sekadar mendidik pelajar supaya cemerlang dalam peperiksaan tetapi berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang ilmu kerana dalam menghadapi cabaran era globalisasi, murid-murid perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang supaya mereka lebih berdaya saing. Guru-guru perlu menjalankan tugas mendidik dengan lebih berkesan dan pada masa yang sama menjadi contoh yang baik kepada pelajar.

Selain itu, untuk mengajar dan mendidik guru-guru juga harus memiliki nilai dan etika keguruan yang selaras kepada nilai-nilai keagamaan yang teguh dalam proses melahirkan anak bangsa yang cemerlang akademik dan sahsiah. Bidang pendidikan merupakan salah satu aspek penting dalam menjayakan harapan dan aspirasi negara bagi menyediakan modal insan yang terbaik untuk menjadi sebuah negara maju dan bertaraf dunia, guru-guru perlu menyiapkan diri mereka dengan ciri-ciri pendidik yang terbaik dan mampu mengajar serta mendidik anak bangsa. Seseorang guru haruslah mempunyai ciri-ciri personal, interpersonal dan intektual yang baik. Selain itu, guru-guru juga perlu mempunyai sifat yang mudah peka kepada sebarang perubahan yang berlaku dalam diri anak-anak didiknya. 

Sistem pendidikan negara sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa. Hal ini menjadikan proses mendidik murid-murid bertambah rumit. Oleh sebab itu, bagi mencapai matlamat utama pendidikan, guru hari ini perlu peka terhadap perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dari pelbagai aspek termasuk penambahan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan serta tanggungjawab. (Fazura Mohd Noor, 2011)

Menurut Abdul Rahim bin Hamdan, et.al., (2010), dalam dapatan kajiannya berkenaan penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran matematik menunjukkan bahawa pendidikan matematik haruslah seimbang di antara ilmu agama dan ilmu keduniaan. Inilah yang dikatakan mata pelajaran merentas kurikulum yang bermaksud pengajaran tidak hanya bersandarkan kepada peperiksaan semata-mata tetapi ingin melahirkan manusia yang mempunyai akhlak yang baik dan patuh pada agama tetapi pasa masa yang sama ia adalah manusia yang cemerlang.

Kesimpulannya, pendidikan berupaya mengubah corak kehidupan seseorang ahli dalam sesebuah Negara. Melalui pendidikan juga dapat membentuk masyarakat yang berakhlak tinggi, berpengetahuan luas, bijaksana dalam membuat keputusan, dan tegas dalam mengendalikan emosi seterusnya dapat memacu kegemilangan dan kecemerlangan sesebuah negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan pada hari ini hampir tidak wujud pendidikan melainkan hanya pengajaran oleh guru-guru. Perkara yang paling penting dalam pendidikan ialah akhlak dan peribadi guru yang terlebih dahulu perlu dididik. Sebagaimana seorang pengajar yang perlu belajar terlebih dahulu untuk mengajar begitulah juga seorang pendidik, perlu lebih dahulu terdidik untuk mendidik. Kecemerlangan seseorang guru tidak terbatas hanya pada kebolehannya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan baik tetapi juga pada kualiti peribadinya yang tinggi kerana guru diharapkan dapat mempamerkan peribadi contoh kepada murid-muridnya. Oleh itu, ketinggian kualiti peribadi guru boleh menjadi pemangkin kecemerlangan sesebuah sekolah melalui usaha mereka menyediakan murid-murid sebagai modal insan masa depan.

 RUJUKAN
Abdul Rahim Hamdan. (2011). Falsafah & pemikiran pendidikan. Skudai : Universiti
            Teknologi Malaysia

Mok Soon Sang. (1991). Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Ragbir Kaur Joginder Singh. (2012). Panduan ilmu pendidikan untuk DPLI falsafah
            dan etika. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman SDN. BHD.

Abdul Rahin bin Hamdan & Azharul Nizam Bin Zahari. (2010). Konsep Pendidikan bersepadu sert5a penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran Matematik menengah Rendah. Dicapai pada 30 Ogos 2012. Daripada. http://eprints.utm.my/10466/1/Konsep_Pendidikan_Bersepadu_Serta_Penerapan_Nilai.pdf

Fazura Mohd Noor. (2011). Faktor-faktor penentu stress dalam kalangan guru-guru kajian di
            sekolah rendah mubaligh di Kuala Lumpur. Dicapai pada 30 Ogos 2012. Daripada

Mohd Fitri bin Sahhari. (2006). Tahap beban tugas guru sekolah menengah di
daerah Skudai : Kajian kes. Dicapai pada 2 September 2012.Daripada
           2D2006TTP.pdf

Muhammad Nurfahmi Mohamed, et.al. (2011). Kemantapan penghayatan guru terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan asas membangunkan guru cemerlang. Dicapai pada 1 September 2012. Daripada http://eprints.utm.my/17073/1/JOE-1-2011-033.pdf

Norliyana binti Haji Mohamad. (2007). Hubungan antara beban tugas dengan
keresahan guru sekolah menengah teknik di Johor. Di capai pada 30 Ogos   

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia .Tubuh jawatankuasa khas kaji
beban tugas guru. Dicapai pada 30 Ogos 2012. Daripada http://www.nutp.org/new/ms/node/43

Syuhada Khoo Abdullah. (2012, September 10). Had murid antara 40 cadangan atasi beban
guru.Berita Harian Online. Dicapai pada 10 September 2012. Daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/25setiapkelas/Article




No comments:

Post a Comment