Tanda-tanda barah payu dara adalah seperti berikut:
1. Ketulan dalam payu dara.
Tanda ini adalah yang paling lazim didapati di kalangan wanita
berpenyakit barah payu dara. Ketulan itu tidak menimbulkan kesakitan dan
biasanya disedari secara tidak sengaja seperti semasa mandi ataupun
semasa pemeriksaan sendiri payu dara.
Kadang-kadang ketulan
disedari oleh orang lain seperti suami atau doktor yang memeriksa payu
dara. Lazimnya ketulan terdapat pada bahagian atas dan luar payu dara
(upper outer quadrant). Barah juga berlaku pada bahagian tengah, atau
atas dan dalam payu dara tetapi pada kadar yang rendah.
2. Terdapat ketulan kelenjar yang membesar di bahagian ketiak.
3. Terdapat cairan seperti darah atau nanah yang keluar daripada puting payu dara.
4. Terdapat perubahan pada kulit payu dara. Perubahan
yang perlu diperhatikan ialah kulit menyerupai kulit limau oren (peau
d'orange) yang berlubang kecil. Keadaan ini menandakan bahawa barah
telah merebak dan berkemungkinan besar saluran limfa telah tersumbat
olehnya. Perubahan bentuk payu dara juga boleh menandakan terdapat barah
padanya.
Semua wanita digalakkan untuk mengenali bentuk dan saiz
payu daranya supaya perubahan yang berlaku dapat dikesan dengan cepat.
Jika terdapat perubahan pada payu dara seperti yang telah disebutkan,
wanita dinasihatkan supaya berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya
bagi membuktikan jenis ketulan yang ada dan mendapatkan rawatan yang
sepatutnya.
Siapakah yang berisiko tinggi untuk mendapat barah payu dara?
1. Wanita mempunyai risiko 100 kali ganda lebih tinggi daripada lelaki. Risiko ini menjadi lebih tinggi pada era sebelum putus haid. Orang lelaki juga boleh mendapat penyakit barah payu dara.
2. Sejarah keluarga
- Risiko barah payu dara bagi seseorang wanita berganda dua tiga kali
jika terdapat sejarah penyakit payu dara pada keluarga terdekat (first
degree relatives) seperti ibu, kakak, adik atau emak saudara.
3. Sejarah barah
- apabila seseorang wanita telah menghidap barah payu dara, risiko
untuknya berulang lagi meninggi empat kali ganda. Ada kajian yang
menyatakan bahawa ketulan atau penyakit payu dara yang bukan daripada
jenis barah juga boleh meninggikan risiko untuk barah payu dara.
Kajian
juga menunjukkan bahawa risiko untuk barah payu dara juga meninggi jika
terdapat sejarah barah ovari, melanomas (barah kulit), usus dan rahim.
4. Sejarah haid dan pembiakan
- wanita yang mempunyai masa yang lama dalam era reproduktif mempunyai
risiko yang lebih tinggi untuk barah payu dara. Ini bermakna wanita itu
didatangi haid yang pertama pada umur yang agak awal (9 tahun) dan
mencapai alam putus haid pada umur yang agak lewat (55 tahun ke atas).
Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran
anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun.
5. Pemakanan
- pengambilan lemak secara berlebihan meninggikan risiko barah ini.
Oleh itu wanita digalakkan untuk mengambil banyak sayur-sayuran dan
mengurangkan kadar pengambilan lemak dalam makanan.
6. Pengambilan hormon
- kajian telah menunjukkan bahawa wanita yang sudah putus haid dan
mengguna hormon gantian (HRT- hormone replacement therapy) didapati
mempunyai risiko barah payu dara yang lebih tinggi. Risiko ini meninggi
hanya setelah lima tahun penggunaan hormon secara berterusan.
7. Obesiti - wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah ini.
Berat
badan unggul seseorang bergantung kepada ketinggian dan juga rangka
badannya. Untuk mengetahui berat badan unggul, seseorang perlulah
mengetahui Body Mass Index (BMI) nya. Formula untuk mengira BMI adalah seperti berikut:
Berat badan (kg) bahagi dengan tinggi (metres) kuasa dua. Julat BMI yang normal untuk wanita ialah 20-24.
Sebelum puan mengambil langkah-langkah untuk menguruskan berat badan,
puan perlu mengira BMI puan. Jika BMI berada dalam lingkungan yang
normal, puan tidak perlu mengurangi berat puan.
Langkah untuk
menguruskan badan memerlukan nasihat doktor supaya langkah yang diambil
tidak membahayakan kesihatan tubuh badan secara am. Cara yang paling
baik untuk mengurangkan berat badan ialah memastikan tenaga yang
diperoleh melalui makanan adalah seimbang dengan penggunaannya.
Jika
terdapat berlebihan input, penggunaan tenaga perlulah ditingkatkan
seperti senaman untuk membakar lemak lebihan atau pemakanan dikawal
supaya tiada lebihan tenaga disimpan sebagai lemak.
No comments:
Post a Comment