Berikut disenaraikan faktor yang mungkin boleh menjadi punca kekurangan pengeluaran susu ibu menurut pembacaan saya :-
(1) Tekanan @ stress
Tekanan ini bukan sahaja boleh berpunca dari pelbagai masalah yang dihadapi dalam hidup sehari-hari malah ramai ibu-ibu yang secara tidak sedar akan berasa tertekan apabila mendapati pengeluaran susu mereka berkurangan.
Diakui adalah amat sukar untuk tidak berasa tertekan, tetapi sebolehnya elakkan terlalu memikirkan masalah kekurangan susu ibu lebih-lebih lagi sewaktu memerah susu atau menyusukan bayi. Dakap bayi dan tenangkan fikiran. Jika tidak bersama bayi lihat gambarnya atau bayangkan saat-saat ketika bersama dengan bayi anda bagi membantu pengeluaran.
(2) Keletihan atau kurang tidur
Tugas menjadi seorang ibu bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa bangun pada waktu malam untuk menyusukan bayi atau menenangkan bayi yang terjaga kerana lampin yang basah. Walau bagaimana pun ini tidak bermakna ibu-ibu boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk kurang tidur.
Keletihan bukan sahaja boleh mengganggu pengeluaran susu malah ia boleh mengganggu fungsi badan yang lain. Termasuk juga sistem pencernaan. Dapatkan bantuan suami untuk membantu menyalin lampin bayi secara bergilir-gilir pada waktu malam. Bagaimana pun anda masih perlu bangun pada waktu malam untuk menyusukan bayi. Tetapi perlu berasa bertuah kerana tidak perlu bangun untuk memanaskan air dan membancuh susu.
Tidur siang dalam jangka masa yang singkat boleh membantu mengurangkan keletihan tetapi pastikan anda tidak tidur berlebihan.
(3) Kurang minum air
Badan kita menggunakan banyak air untuk pelbagai fungsi termasuk untuk menghasilkan susu yang mencukupi. Pengambilan air yang terlalu kurang boleh mengganggu pengeluaran susu.
(4) Kehamilan
Biasanya pengeluaran susu selepas bulan keempat kehamilan akan mengalami sedikit kemerosotan. Walau bagaimana pun pengeluaran akan kembali normal selepas kelahiran bayi.
(5) Pengambilan pil perancang
Walau pun ia jarang berlaku terdapat juga kebarangkalian pengeluaran berkurangan apabila ibu mengambil pil perancang kehamilan.
Terdapat juga faktor lain yang tidak dinyatakan seperti masalah ketidakstabilan hormon yang tidak dapat saya nyatakan di sini kerana tidak begitu pasti bagaimana ianya terjadi. Walau bagaimana pun, saya akan update sebaik sahaja mendapat maklumat mengenainya. Sebagai alternatif anda juga boleh bertanya dengan mana-mana pakar laktasi mengenai perkara tersebut.
No comments:
Post a Comment