Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan satu landasan negara kearah
membentuk satu sistem pendidikan yang seimbang. Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang menjadi asas dan sumber inspirasi kepada semua rangka
kearah pembangunan pendidikan ini sebenarnya mempunyai beberapa
unsur-unsur penting yang perlu difahami oleh setiap ahli masyarakat sama
ada warga pendidik, para pelajar, mahupun sesiapa sahaja rakyat
Malaysia.
Unsur yang pertama ialah “Pendidikan Suatu Usaha
Berterusan”. Ungkapan “tuntutlah ilmu sampai keliang lahad” merupakan
satu ungkapan yang sangat sesuai bagi menterjemah isi penting ini.
Pendidikan merupakan satu proses yang berterusan sepanjang hayat iaitu
bermula dari bayi sehinggalah kita meninggal dunia. Proses pemerolehan,
pemindahan pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan
merupakan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan lagi. Pendidikan
sudah bermula sejak kita berada dirumah lagi, seterusnya pendidikan
secara formal di sekolah, institut pengajian tinggi dan sebagainya.
Jika dilihat dari perspektif lain, pendidikan suatu usaha berterusan
ini membolehkan berlakunya perkembangan ilmu yang kritikal, seimbang dan
mampu untuk melahirkan modal insan yang menjadi matlamat utama negara
kita pada masa sekarang. Sehubungan dengan itu, pendidikan secara
berterusan merupakan satu elemen penting dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.
Unsur kedua Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah
memperkembang potensi individu. Potensi individu ini boleh dibahagikan
pula kepada 4 iaitu unsur intelek, jasmani, emosi, dan rohani. Melalui
pendidikanlah potensi individu boleh di perkembangkan dan di gilap.
Unsur jasmani ialah unsur fizikal individu iaitu berkaitan anggota tubuh
badan. Perkembangan dan kecerdasan fizikal amat penting untuk kecerdsan
mental kerana ianya merupakan satu perkara yang amat berkait rapat.
Unsur emosi pula ialah berkaitan dengan jiwa individu yang mana memberi
kawalan kuat kepada semangat perpaduan dan sebagainya. Perkembangan
emosi yang sempurna mampu untuk mengawal tingkah laku yang baik.
Unsur rohani pula merangkumi unsur berkaitan kalbu iaitu hubungan antara
manusia dengan penciptanya. Unsur rohani ini lebih menjurus kepada
amalan keagamaan. Unsur terakhir ialah unsur intelek iaitu berkaitan
daya berfikir. Intelek penting kerana dengan unsur intelek, pelbagai
masalah sukar dapat diselesaikan dengan tepat. Semua unsur-unsur ini
membantu dalam perkembangan potensi individu dan menjadi asas kepada
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Perkembangan potensi individu telah
membawa kepada perkembangan unsur ketiga iaitu perkembangan potensi
secara menyeluruh dan bersepadu. Perkembangan secara menyeluruh dan
bersepadu ini merangkumi perkembangan individu yang maksima pada jalan
atau cara yang tepat bagi membantu menggilap potensi yang ada dalam diri
individu tersebut.
Unsur keempat ialah insan yang seimbang dan
harmonis. Maksud seimbang dan harmonis disini ialah insan yang berilmu
pengetahuan, mempunyai akhlak mulia, percaya dan yakin kepada tuhan,
mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram, sihat tubuh badan, serta
matang dari segi emosi dan sosialnya. Insan yang seimbang dan harmoni
ini mempunyai jasmani, emosi, rohani dan intelek yang telah
diperkembangkan secara kritikal dan bersepadu. Hal ini dapat dilihat
dalam kehidupan harian atau tingkah laku individu yang bertanggungjawab,
menghormati orang lain, mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi dan
mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan tenang dan cepat.
Unsur seterusnya iaitu unsur kelima ialah kepercayaan dan kepatuhan
kepada tuhan. Perkara ini memberi penekanan kepada beberapa perkara
penting seperti mengakui wujudnya Pencipta, mengakui manusi dan alam
dijadikan oleh Pencipta, mengetahui tentang percaturan yang telah
dilakukan oleh Tuhan, faham bahawa manusia dijadikan untuk menjadi
khalifah di muka bumi ini dan bertanggungjawab terhadap apa yang
dilakukan, menjauhi kemungkaran dan melakukan kebaikan, mengikuti dan
mengamalkan ajaran agama, dan yang terakhir sekali ialah sentiasa
mengukuhkan kepercayaan beragama.
Rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan ialah unsur seterusnya iaitu unsur keenaam. Berilmu
pengetahuan yang dimaksudkan disini ialah mereka yang sentiasa bersedia
berkongsi ilmu dan menggunakan ilmu untuk manfaat bersama. Antara
ciri-ciri individu yang berilmu pengetahuan ialah individu yang
mencintai ilmu pengetahuan, minat mentelaah, berfikiran global, berusaha
berkongsi ilmu dan menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada.
Unsur
yang ketujuah ialah rakyat Malaysia yang berketrampilan iaitu rakyat
yang bukan sahaja berilmu pengetahuan, malahan rakyat yang mahir dalam
melakukan tugasan dan mampu menjadi rakyat yang inovatif. Selain itu,
rakyat yang berketrampilan juga merupakan rakyat yang melaksanakan
amanah yang diberikan kepadanya dengan adanya kemahiran yang tepat dan
bersesuaian dengan kehendak. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia
merupakan unsur yang seterusnya dimana perkara utama yang dituntut
adalah rakyat yang mampu untuk menilai mana satu yang baik dan mana satu
yang buruk. Kebolehan berfikir jauh dalam menimbang kesan dan akibat
sesuatu perkara dan yakin dalam perkara murni yang dilakukan merupakan
ciri-ciri yang perlu ada dalam rakyat Malaysia yang berakhlak mulia.
Mengetahui tugas dan tanggungjawab merupakan amanah yang wajib
dilaksanakan dengan sempurna merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam
unsur ke sembilan iaitu unsur rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.
Undang-undang, perlembagaan negara perlulah dihoramati dan dipatuhi agar
keamanan negara, perpaduan kaum dan kemasyhalatan masyarakat dapat
dijaga dan diteruskan.
Rakyat Malaysia yang mampu menikmati
kesejahteraan diri iaitu yang berupaya menangani masalah hidup, mampu
berfikir secara waras, mempunyai tubuh badan sihat dan mempunyai
kemahiran dalam menjalin perhubungan yang baik dengan orang lain
merupakan ciri-ciri bagi unsur kesepuluh.
Unsur yang terakhir iaitu
unsur ke sebelas ialah rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan
kepada masyarakat, agama, dan negara. Wujudnya rakyat Malaysia yang
mampu memberi sumbangan akan membantu pembangunan negara dengan
melahirkan keluarga yang harmoni dan mempunyai nilai-nialai murni
seperti semangat kerjasama dan perpaduan. Perkara yang lebih penting
ialah adanya rakyat yang mampu menguasai teknolongi dan ilmu-ilmu lain
bagi memaksimakan pembangunan negara kita.
Kesimpulannya, bagi
melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis, pencapaian dalam
aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani perlulah dititikberatkan dahulu
kerana 4 elemen inilah yang menjadi pemangkin sebenar dalam pembangunan
modal insan selaras kehendak negara kita bagi mencapai Wawasan 2020.
Sumber : ariedrifke.blogspot.com
No comments:
Post a Comment