APABILA transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan mulai tahun
2013 maka aliran ini tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua.
Ketika ini umum beranggapan ia sebagai tempat pelajar yang tidak
berminat belajar dalam aliran akademik. Pelajar aliran ini juga dikira
kurang berpeluang untuk ke menara gading jika dibandingkan dengan
sebahagian rakan-rakan mereka daripada aliran akademik yang akan
memasuki kelas matrikulasi atau tingkatan enam selepas menamatkan
peperiksaan SPM.
Pengumuman sistem baru pendidikan vokasional oleh Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah melonjakkan
kedudukan aliran tersebut dalam sistem pendidikan negara. Transformasi
ini telah menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat diploma secara jalan
pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga.
Apa yang menarik pelajar mula didedahkan asas mata pelajaran
vokasional dan boleh memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun
iaitu semasa berada di tingkatan satu.
Sesungguhnya peluasan aliran vokasional dalam sistem pendidikan telah
diamalkan di kebanyakan negara dan bilangan pelajarnya sangat ramai
kerana ia dianggap selari dengan kemajuan teknologi dan tuntutan ekonomi
sesebuah negara.
Transformasi pendidikan vokasional yang bermula pada tahun 2013 nanti
memberi penekanan kepada amalan industri atau amali teknikal dan akan
mengurangkan komposisi akademik. Apa yang menariknya Pendidikan Asas
Vokasional (PAV) akan diperkenalkan kepada pelajar mulai tingkatan satu.
Mereka juga dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia
(SKM) pada tahap satu iaitu semasa berada di tingkatan dua dan SKM
tahap dua semasa berada di tingkatan tiga. Sementara itu pelajar yang
mengikuti aliran vokasional ini selepas tingkatan tiga akan diberi
peluang mengikuti pendidikan selama empat tahun sehingga peringkat
diploma iaitu SKM tahap empat.
Kurikulumnya merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan
(NOSS), SKM dan lain-lain bentuk pensijilan yang diiktiraf oleh pihak
industri.
Sudah sampai masanya diperkenalkan bidang bertahap tinggi seperti
aviation, maritime, oil and gas, ICT, kejuruteraan, perakaunan,
pengajian perniagaan dan lain-lain dalam aliran ini.
Dengan kata lain usaha memartabatkan pendidikan vokasional perlu
dilaksanakan supaya berlaku perubahan landskap di mana aliran ini akan
menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dan ibu bapa seperti kebiasaan
amalan di negara-negara maju.
Ketika ini dalam sistem pendidikan kita hanya 10 peratus (%) daripada
jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional. Bilangan ini
dikira kecil jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea Selatan
28%, Thailand 41%, Indonesia 51%, Jerman 59%, Australia 62% dan Belanda
68%. Sementara itu di kalangan negara OECD yang berjumlah 44 negara
puratanya ialah sebanyak 44%.
Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri bilangan pelajar
vokasional akan ditingkatkan kepada 20% pada tahun 2013. Jumlah ini
boleh dicapai sekiranya pihak swasta diberi peluang dan dilibatkan sama
bagi menyediakan kemudahan pendidikan tersebut.
Mengapakah perlu dilakukan transformasi pendidikan vokasional ini?
Perubahan ini diperlukan tidak lain tidak bukan untuk menyediakan tenaga
kerja terlatih yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan negara untuk
memasuki pasaran pekerjaan.
Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan
dengan latihan amali sejak dibangku sekolah akan membolehkan mereka
menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam pekerjaan. Pekerja yang
mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat
diperlukan oleh pihak industri pada masa kini.
Dilaporkan juga hampir 80% daripada tenaga kerja yang memasuki
pasaran pekerjaan adalah mereka yang hanya mempunyai kelulusan SPM.
Kelayakan akademik tanpa kemahiran teknikal ini akan memberi kesan
kepada kualiti pekerjaan dan pendapatan bulanan. Pendapatan permulaan
sekitar RM600 hingga RM800 sebulan.
Sekiranya mereka mempunyai kelulusan diploma pendapatan permulaan
boleh meningkat di antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Peningkatan
pendapatan ini adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang
menyasarkan pendapatan tinggi di kalangan pekerja dalam usaha menjadikan
Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.
Memartabatkan aliran pendidikan ini juga ada kaitan dengan usaha
membantu kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan. Peningkatan
pertambahan penduduk dan jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah
lebih daripada setengah juta orang setiap tahun menyukarkan pihak
kerajaan dan swasta menyediakan pekerjaan.
Transformasi pendidikan vokasional ini sudah tentu akan menarik minat
lebih ramai pelajar cemerlang memasuki aliran ini. Sekiranya
pendidikan ini dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang baik dan
pendapatan yang tinggi kepada pelajar maka sudah tentu ibu bapa turut
menggalakkan anak-anak mereka mengambil peluang untuk mengikuti aliran
ini.
Diharapkan dengan memartabatkan pendidikan vokasional ini akan
mempercepatkan lagi usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang
berkebolehan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi menjadikan
Malaysia negara maju dalam tahun 2020.
PENULIS adalah bekas
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
No comments:
Post a Comment