Pengenalan
Transformasi
Pendidikan Vokasional merupakan satu usaha merekayasa (reengineering) sistem
pendidikan vokasional sedia ada sehingga terbina sistem pendidikan vokasional
yang baharu yang dapat menyumbang kepada agenda transformasi Malaysia sebagai
Negara berpendapatan tinggi.
Sistem
pendidikan vokasional baharu digerakkan oleh sumber manusia yang responsive
kepada pelbagai inisiatif kerajaan dan berkolaborasi dengan industri bagi
menginovasi pengajaran dan pembelajaran yang berupaya menghasilkan tenaga kerja
mahir dan usahawan.
Tenaga
kerja mahir dan usahawan yang dihasilkan berdaya saing, memiliki kemahiran dan
kelayakan yang diiktiraf oleh industri, berwatak profesional dan diterima oleh
pasaran kerja.
Mengapa
perlu transformasi?
- Keperluan negara untuk tenaga mahir.
- Sistem semasa tidak menyedikan graduan untuk bekerja.
- Mengarusperdanakan sistem pendidikan vokasional.
- Tidak selari dengan negara serantau dan negara maju.
- Merapatkan jurang perbezaan bagi melahirkan modal insan bertaraf dunia.
- Malaysia ketinggalan dari segi enrolmen pendidikan vokasional di peringkat global.
- Pencapaian UPSR dan PMR tidak menunjukkan semua pelajar boleh berjaya dalam bidang pendidikan berorientasikan akademik.
Objektif
- Menghasilkan lepasan pendidikan menengah rendah yang memiliki sijil kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan dan badan – badan pensijilan kebangsaan.
- Menghasilkan lepasan pendidikan menengah rendah yang bersedia melanjutkan pelajaran vokasional ke peringkat lebih tinggi.
- Menghasilkan lepasan sekolah menengah atas yang memiliki sijil atau diploma yang diiktiraf oleh kerajaan dan badan – badan pensijilan kebangsaan.
- Menghasilkan lepasan pendidikan atas yang berupaya menjadi usahawan yang berdaya saing.
- Memperkasakan sistem penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melaksanakan transformasi pendidikan vokasional.
Hala Tuju
Transformasi
Pendidikan Vokasional memberi fokus terhadap komponen kebolehpekerjaan graduan.
Keberhasilan usaha transformasi ini ialah pendidikan vokasional era 2020 yang
berupaya memberi sumbangan yang signifikan kepada agenda kerajaan untuk
menjadikan Malaysia sebagai Negara berpendapatan tinggi.
Pelan
Strategik
Perekasayaan
sistem pendidikan vokasional akan dilaksanakan mengikut pelan tindakan
strategik dalam tempoh 2011 – 2020 yang dibahagikan dalam 3 fasa.
- 2011 – 2013 : Fasa Lonjakan
- 2014 – 2016 : Fasa Peningkatan
- 2017 – 2020 : Fasa Pemerkasaan
Kerjaya
TEKS
UCAPAN MAJLIS PELANCARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL
YAB TAN
SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
BERTEMPAT
DI GERMAN-MALAYSIA INSTITUTE PADA 06 JANUARI 2012
Assalamu’alaikum
warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
Yang
Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri,
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian
Yang
Berbahagia Dato Sri Abd Ghafar bin Mahmud,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Ketua-Ketua
Jabatan,
Dif-Dif
Kehormat, Dato’-Dato’, Datin-Datin,
Tuan-Tuan,
Puan-Puan,
Seterusnya
para hadirin yang dihormati sekalian
1.
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah
s.w.t kerana dengan limpah izin dan kurniaNya, kita dapat berhimpun dalam satu
majlis bersejarah yang menandakan permulaan transformasi pendidikan vokasional,
selaras dengan agenda yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh
iaitu mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional. Saya juga
ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan perhargaan kepada pihak
penganjur dan tuan rumah iaitu German Malaysia Institut (GMI) kerana dapat
menjayakan majlis yang amat bermakna ini.
2.
Aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang berteraskan
pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan berhasrat untuk merealisasikan
‘High Income Economy’ atau Ekonomi Berpendapatan Tinggi. Dalam Model Baru
Ekonomi yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato` Sri Mohd
Najib bin Tun Abdul Razak, dinyatakan bahawa kejayaan melahirkan modal insan
yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu bagi
menjana kekayaan negara merupakan faktor yang kritikal, bagi menentukan
pencapaian kemajuan dan kemakmuran masa depan negara Malaysia. Pertumbuhan
ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal
dan vokasional.
Dato’-dato’,
Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan
3. Dalam
memenuhi aspirasi ini, pendidikan vokasional adalah laluan yang penting ke arah
melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif
dan mampu menghadapi saingan pada peringkat serantau dan juga global serta
relevan dengan keperluan semasa. Dalam hal ini, penekanan terhadap
penambahbaikan kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional adalah sangat
penting seterusnya menyumbang kepada mencapai hasrat negara berpendapatan
tinggi. Peningkatan kemahiran secara berterusan perlu dilaksana bagi
meningkatkan kebolehpasaran graduan. Sehubungan itu, sistem latihan kemahiran
dan jalinan usahasama dengan pihak industri perlu diperkukuhkan supaya lebih
responsif dan menepati keperluan serta perkembangan ekonomi negara. Untuk itu,
peranan yang dinamik dari pihak yang terlibat menjadi faktor penting dalam
melahirkan tenaga kerja yang kompetitif dan berdaya saing. Tugas yang paling
mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri
tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun
akan datang.
Para
hadirin sekalian,
4. Kementerian
Pelajaran telah mengambil langkah proaktif sejak tahun 2009 lagi dengan melihat
pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan negara
serantau. Kadar purata enrolmen pelajar aliran teknikal dan vokasional di
peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan
Pembangunan ( OECD ) adalah 44%, berbanding hanya 10% di Malaysia. Jika kita
melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap
sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di semua negara ini.
Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria, hampir 50 peratus hingga 80
peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas
melalui program sepenuh masa (4 -5 tahun) dan program apprenticeship. Malahan
di negara tersebut, pelajar-pelajar diberi pilihan untuk mengikuti pendidikan
vokasional pada peringkat umur 14 tahun lagi. Di negara-negara serantau seperti
Indonesia dan Thailand, enrolmen pelajar yang mengambil aliran ini di peringkat
menengah atas mejangkau 40 hingga 60 peratus. Dalam pada itu, pendidikan
vokasional di sekolah luar negara juga melibatkan On The Job Training bagi
menghasilkan tenaga kerja kepada industri. Apabila tamat pengajian, pelajar
mereka dianugerahkan sekurang-kurangnya sijil dan ada negara yang menawarkan
sehingga peringkat diploma.
5.
Melihat kepada perkembangan yang berlaku di negara maju dan negara serantau,
pendidikan vokasional di Malaysia perlu dibuat perubahan besar dan segera. Jika
ini tidak dilakukan, kita bimbang negara kita tidak kompetitif di peringkat
global dan terus ketinggalan. Kejayaan perlu diukur bukan hanya kepada
pencapaian dalam bidang akademik, tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui
bidang teknikal dan vokasional.
Dato’-dato’,
Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan
6.
Pendidikan vokasional di Malaysia pada masa ini sedang menuju ke arah konsep
Pendidikan Untuk Semua ( Education For All ) seperti yang digariskan oleh
UNESCO. Program Pendidikan Asas
Vokasional ( PAV ) yang dibentuk bertujuan untuk memberi pilihan
alternatif kepada murid yang cenderung kepada pendidikan bercorak hands-on dan
berasaskan pekerjaan (work-based) dari peringkat menengan rendah lagi sehingga
ke tahap kolej vokasional (KV) atau Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan
Swasta ( ILKS ). Sebanyak 15 buah sekolah menengah vokasional di setiap negeri
telah dinaik taraf menjadi KV rintis pada tahun 2012 seperti yang disebutkan
tadi. Dengan terlaksananya transformasi ini, maka aliran vokasional tidak boleh
lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua kerana pelajar-pelajar yang keluar
nanti adalah pekerja mahir yang mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi.
Hadirin
sekalian,
7.
Transformasi pendidikan vokasional merupakan usaha merekayasa kurikulum,
institusi, pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran, tadbir urus dan sumber
manusia sehingga terbina sistem pendidikan vokasional yang baharu. Proses
dilaksana menerusi lima strategi, lima inisiatif dan sebelas tindakan. Perkara
ini dinyatakan dengan jelas dalam Buku Pelan Strategik Transformasi Pendidikan
Vokasional yang akan dilancarkan sebentar lagi.
8. Lima
strategi utama ini merangkumi:
- Transformasi kurikulum pendidikan vokasional
- Transformasi institusi pendidikan vokasional
- Kolaborasi dengan rakan strategik dalam industri
- Transformasi pentaksiran pendidikan vokasional.
- Transformasi organisasi pendidikan vokasional.
9. Dalam
usaha memastikan latihan kemahiran memenuhi keperluan industri, Kementerian
amat menggalakkan sebarang bentuk jalinan kerjasama (MoU) antara institusi
latihan KPM (PAV dan KV) dengan industri kerana dengan adanya perkongsian
teknologi dan kepakaran ini secara tidak langsung dapat memantapkan lagi proses
pembelajaran dan latihan para pelajar untuk menempuhi alam pekerjaan yang
sebenar. Maka pada hari ini akan termeterai perjanjian persefahaman (MOU) di
antara KPM dengan 11 rakan strategik iaitu industri, agensi awam, swasta serta
IPTA dan IPTS. Syabas diucapkan kepada agensi awam, swasta serta IPTA dan IPTS
yang terlibat.
10. Ini
merupakan langkah permulaan. Saya percaya selepas ini lebih banyak agensi awam,
swasta dan industri akan tampil ke hadapan untuk sama-sama terlibat dalam
proses transformasi pendidikan vokasional yang sedang berlaku. Kerjasama pihak
industri dalam menyediakan latihan kemahiran amat penting agar latihan melalui
“work based learning” dapat diperolehi oleh pelajar. Kepakaran dan kemudahan
yang ada pada kedua belah pihak dapat dikongsi bersama serta boleh mengelakkan
berlakunya ketidaksesuaian bidang pekerjaan antara industri dengan institusi
latihan kemahiran.
11. Di
samping itu, amalan standard kualiti persekiran tempat kerja melalui konsep 5S
yang berasal dari Jepun iaitu sisih, sapu, susun, seragam dan selalu amal juga
telah mula diperkenalkan di sekolah menengah teknik dan vokasional oleh
Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia pada
tahun 2009. Pelaksanaan konsep 5S perlu menjadi budaya dalam pengurusan tempat
kerja terutama di bengkel-bengkel dan juga pejabat bagi mewujudkan suasana
kerja yang kondusif dan pengurusan kerja yang lebih teratur. Inisiatif ini juga
merupakan langkah ke arah transformasi persekitaran kolej vokasional supaya
amalan budaya bekerja yang berkualiti diterapkan kepada pelajar KV. Kita
mengharapkan graduan KV akan mengamalkan budaya ini apabila mereka bekerja atau
menjalankan perniagaan nanti. Saya difahamkan 8 buah sekolah akan menerima
Sijil 5S dari Malaysia Trodiction Council (MPC) pada hari ini. Sayabas
diucapkan.
12. Akhir
sekali saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian
Pelajaran Malaysia, kementerian dan agensi-agensi lain dalam usaha menjayakan
transformasi pendidikan vokasional ini. Kepada seluruh warga Bahagian
Pendidikan Teknik dan Vokasional, KPM, SMT/V dan Kolej Vokasional, saya
mengucapkan Selamat Maju Jaya, Tingkatkanlah usaha dan bekerjalah dalam satu
pasukan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan vokasional demi masa depan
negara. Jadikanlah usaha ini sebagai agenda penting pembangunan modal insan
negara yang kita cintai.
13.
Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan
Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Vokasional, Kementerian Pelajaran
Malaysia..
Wabillahi
al-Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sekian,
terima kasih.
Sumber:
http://cikgunas.net/kemahiran/transformasi-pendidikan-vokasional#sthash.H49qvpYw.dpuf
No comments:
Post a Comment