Seremban: Transformasi kurikulum pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memberi penekanan kepada konsep kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) yang berupaya melahirkan generasi mempunyai pemikiran kritikal dan kreatif.
Secara umumnya, mengikut taksonomi Bloom, HOTS merujuk kepada empat aras teratas kemahiran berfikir (lihat grafik) iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta, manakala aras paling bawah yang merujuk kepada kemahiran berfikir aras rendah (LOTS) iaitu memahami dan menghafal.
Pelajar tak lagi menghafal
Ini bermakna, kurikulum yang digubal menerusi PPPM berhubung HOTS ialah inisiatif supaya pelajar tidak lagi hanya menghafal untuk menghadapi peperiksaan, sebaliknya tahu menggunakannya.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Dr Amin Senin, berkata transformasi itu akan mengubah pengajaran dan pembelajaran yang sebelum ini lebih bertumpu kepada peperiksaan dan menghafal.
“Kita dapati keputusan pelajar Malaysia dalam ujian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) tidak berada pada tahap memuaskan.
“Kajian mendapati antara punca kepada keadaan itu ialah soalan dalam kedua-dua ujian yang menjadi penanda aras tahap pendidikan antarabangsa berbentuk HOTS, iaitu bukan mengingat sesuatu fakta, tapi bagaimana hendak menggunakannya.
“Kita menyedari kelemahan itu, seterusnya membuat cadangan dalam PPPM supaya HOTS diberi penekanan,” katanya kepada BH di sini.
Beliau berkata, walaupun HOTS wujud dalam kokurikulum sebelum ini, tidak dilaksanakan secara berfokus, sebaliknya konsep pemikiran itu hanya diharap digunakan pelajar secara semula jadi.
Katanya, pelaksanaan HOTS di bawah PPPM kali ini difokuskan kepada subjek Sains, Matematik dan Sejarah serta dilakukan secara menyeluruh membabitkan proses pengajaran dan pembelajaran, soalan peperiksaan, penyediaan alat bantuan mengajar, malah diterapkan dalam aktiviti kokurikulum seperti kuiz dan pertandingan.
Konsep soalan peperiksaan ada elemen HOTS
Katanya, bagi memastikan pelajar mengaplikasi kemahiran berfikir, kementerian juga mengubah konsep soalan peperiksaan dengan memasukkan elemen HOTS dalam soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara berperingkat.
“Sasaran Kementerian Pendidikan ialah sebanyak 40 peratus soalan HOTS dimasukkan dalam kertas soalan UPSR, manakala SPM (50 peratus) menjelang 2016,” katanya.
Beliau berkata, untuk memastikan pelaksanaannya berjaya, guru terlebih dulu perlu mengikuti kursus jangka pendek dalam program i-Think kendalian Agensi Inovasi Malaysia, bagi membolehkan mereka menguasai teknik berfikir HOTS.
“Tahun ini, guru dari 500 sekolah dihantar mengikuti program ini dan tahun depan, kita mahu guru dari semua sekolah negara ini mengikuti kursus itu.
“Mereka akan pulang ke sekolah dan berkongsi kemahiran itu dengan rakan sejawatan seterusnya mengajar murid menggunakan teknik terbabit,” katanya.
Lebih interaktif
Mengulas lanjut, Amin berkata, penekanan terhadap HOTS secara tidak langsung mengubah corak dan proses pembelajaran dalam kelas, menjadikannya lebih interaktif kerana memerlukan pembabitan aktif pelajar dan guru.
“Kita tidak lagi melihat proses sehala dengan guru berada di depan kelas mengajar, manakala murid hanya menyalin dan menghafal.
“Sebaliknya guru perlu menggalakkan murid banyak bertanya dan membiarkan mereka meneroka rasa ingin tahu terhadap sesuatu perkara yang diajar, seterusnya mengaitkannya dalam kehidupan,” katanya.
Amin berkata, kejayaan pelaksanaan itu akan dinilai daripada keputusan peperiksaan pelajar, terutama cara pelajar menjawab peperiksaan berbentuk HOTS.
Sumber: http://www.bharian.com.my/article/Rangsangkemahiranberfikirarastinggi/Article/
No comments:
Post a Comment