Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa
dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada
Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan
negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan,
tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan
aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan
tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan
agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara
menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam
kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian
seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa
pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama
masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam
Rukun Negara.
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia
mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan
dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut
Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang
Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka
Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang
perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa
setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan
ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat
negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang
memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat
setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Keluhuran Perlembagaan
Prinsip
ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan
keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah
sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi
perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan
mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki
menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta
latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan
Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semu pihak
di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat
yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana
individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola
politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah
sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem
pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.
Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan
diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama
tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi
semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada
Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan.
Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan
stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi
kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan
undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman,
stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan
anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa
sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas
selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan
tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang
dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin
oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama
ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut
Perlembagaan.
Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip
ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku
seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang
bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan
Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan
santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam
konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai
kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan
bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin
serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat
yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau
perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu
golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan
yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan
bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat
sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa
dan nilai-nilai murni.
No comments:
Post a Comment