Pengenalan Image Map

Followers

Monday, November 4, 2013

PPPM: Keberhasilan murid akan dimaksima

 

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan komited untuk memaksimum keberhasilan murid bagi setiap Ringgit kerana 16 peratus daripada belanjawan Persekutuan adalah untuk pendidikan dan jumlah itu merupakan yang paling besar dalam kalangan semua kementerian selain tertinggi di dunia.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan, bagi mencapai matlamat itu kementerian akan mengaitkan setiap program kepada keberhasilan murid dan merasionalkan program berimpak rendah pada setiap tahun, yang mana pemberian dana untuk tahun berikutnya bergantung kepada peningkatan hasil yang ditunjukkan.


"Selain itu, kementerian akan mengagihkan peruntukan kepada bidang paling penting seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru," menurut laporan itu.

Pada masa sama, kementerian akan memastikan keluarga berpendapatan rendah terus menerima bantuan supaya anak-anak mereka terus bersekolah, manakala keluarga berpendapatan tinggi, yang lebih berkemampuan akan menerima bantuan lebih rendah.


PPPM itu juga menyebut, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan lebih berkeupayaan membuat keputusan operasi yang utama dalam hal ehwal belanjawan seperti peruntukan penyelenggaraan di sekolah dan urusan kakitangan.


Menurut pelan itu, hampir 2,500 pembimbing guru dan pembimbing pengetua/guru besar akan ditempatkan di semua PPD menjelang 2014 untuk memberi lebih banyak sokongan langsung kepada sekolah.


Kementerian turut memberi jaminan 150 hingga 200 pegawai di JPN serta PPD yang telah dikenal pasti akan dinaikkan pangkat ke jawatan kepimpinan utama berdasarkan kompetensi dan bukannya tempoh perkhidmatan.


PPPM setebal 300 muka surat itu juga menyatakan perubahan fungsi dan struktur baharu Kementerian Pendidikan akan bermula tahun depan, manakala pelaksanaan sepenuhnya akan dimulakan pada 2016 apabila transformasi kementerian berjalan lancar.


Selain itu, anjakan daripada pembelajaran berasaskan sekolah kepada pembelajaran berasaskan sistem juga akan dilaksanakan dengan melibatkan ibu bapa, komuniti, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan dalam membantu pembelajaran murid.


Menerusi anjakan itu, ibu bapa antara lain akan menandatangani aku janji dengan sekolah yang menetapkan langkah mudah yang boleh diambil termasuk memastikan anak-anak mereka berada di sekolah tepat pada waktunya.


PPPM itu turut menyatakan, bilangan Sekolah Amanah akan ditambah kepada 500 menjelang 2025 yang membolehkan penaja swasta bekerjasama dengan kepimpinan sekolah untuk mengurus sesebuah sekolah.


Bagi tujuan meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung, kementerian akan menerbitkan laporan tahunan berhubung perkembangan setiap inisiatif yang direncanakan dalam PPPM.


Selain itu, KPM juga akan membuat semakan komprehensif pada 2015, 2020 serta 2025 tentang pencapaian utama sepanjang pelaksanaan pelan itu dan semua pihak yang berkepentingan boleh memberikan input melalui proses Dialog Nasional. - Bernama

No comments:

Post a Comment