Pengenalan Image Map

Followers

Monday, November 4, 2013

PPPM:Transformasi Profesion Perguruan Negara

                        
Bidang pendidikan mencatat lagi sejarah. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada pertengahan September lalu telah membuka lembaran baru buat sistem pendidikan dalam negara.


Transformasi pendidikan ini melibatkan tiga gelombang atau fasa yang mengambil masa tiga belas tahun bermula tahun 2013-2025. Proses transformasi yang terancang ini memberi satu lagi cabaran kontemporari buat dunia profesion perguruan dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menghadapi cabaran abad ke-21.


Berdasarkan perancangan yang digariskan itu maka besarlah harapan untuk meningkatkan sistem pendidikan negara kita setanding negara-negara maju. Apatah lagi di dalam bajet 2013 baru-baru ini turut memperuntukkan sebanyak 15 peratus daripada peruntukan bajet keseluruhan atau sebanyak 38.7 bilion kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dalam memastikan pengurusan sektor pendidikan negara membangun secara holistik terutama aspek memperkasakan kualiti guru.


Ini memandangkan 60 peratus guru yang ada sekarang dijangka kekal dalam perkhidmatan selama hampir 20 tahun lagi. Maka usaha meningkatkan kemahiran dan kemampuan mereka adalah amat penting dan perlu dititikberatkan.


Keseriusan dalam membangunkan aspek pendidikan negara ini mencerminkan bahawa betapa aspek profesion perguruan dalam sistem pendidikan negara bertindak sebagai nadi utama dalam pembangunan terutama dalam memastikan mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.


Kita tidak mahu apa yang dirancang dalam tempoh masa tiga belas tahun ini hanya cantik di atas kertas sahaja tetapi apa yang kita mahukan adalah komitmen daripada semua pihak dalam memajukan transformasi sektor pendidikan ini berjalan dengan lancar.


Dalam memenuhi aspirasi tinggi negara ini, kita tidak boleh berdiam diri dalam persekitaran global yang semakin kompetitif. Perubahan yang berlaku bukan sekadar menambah kakitangan guru dan menambahbaik kemudahan yang sedia ada tetapi perlu memahami dinamik proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Di sinilah peranan guru yang paling utama dalam memberikan input kepada pelajarnya.


Gelombang pertama (2013-2015) yang melihat kepada pemerkasaan guru ini amatlah signifikan. Islam turut memandang tinggi profesion perguruan sebagai pendidik dalam pembangunan ilmu, kemahiran dan sahsiah pelajar.


Untuk mengetahui sejauhmana pentingnya profesion perguruan dalam Islam, Al-Quran dan hadis ada menjelaskan antaranya, Allah s.w.t berfirman: "Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik". (Surah an-Nahl: 125). Dan Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawasanya jika kamu mengajar seseorang, lalu dia mendapat kebajikan yang lebih berharga daripada dunia dan segala isinya".


Jika diteliti maksud ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang diutarakan ini, jelas menunjukkan akan keutamaan-keutamaan mengajar khususnya dalam profesion perguruan.


Seorang pendidik mestilah menyedari akan hakikat bahawa pengajaran itu merupakan tanggungjawab dan amanah yang mesti dilaksanakan. Ini kerana kecemerlangan pendidikan banyak bergantung kepada kualiti dan kepakaran guru. Oleh itu, guru berkualiti merupakan faktor penentu kepada peningkatan prestasi sekolah dan pencapaian murid.


Justeru, peluang untuk para guru menjalani latihan kemahiran berterusan serta laluan kerjaya yang lebih luas perlu diberikan perhatian selain dapat meningkatkan lagi mutu P&P dalam perkhidmatan seorang guru. Apabila prestasi guru meningkat secara tidak langsung ia akan memberi kesan positif kepada prestasi pelajarnya.


Hal ini diperkukuhkan lagi berdasarkan kajian yang dijalankan di Tennessee, Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1990-an yang menunjukkan relatif guru berpendidikan tinggi dapat meningkatkan pencapaian murid sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga tahun berbanding guru berprestasi rendah.


Di samping itu, peranan guru dalam proses penggerak P&P yang berkualiti dan efektif turut sama meningkatkan pembangunan pendidikan sekolah. Keadaan ini secara berterusan dapat dapat merangsangkan pelajar untuk belajar dengan lebih seronok sesuai dengan alam pendidikan di peringkat rendah sehingga peringkat atas. Sebaliknya, pengajaran tidak akan menjadi menarik minat pelajar apabila guru lebih bergantung kepada kaedah syarahan berbentuk pasif dalam menyampaikan kandungan mata pelajaran mereka.


Oleh itu, aspek kreativiti serta inovasi P&P daripada seorang guru perlu diterokai bagi melihat apa yang ingin mereka sampaikan menarik minat pelajarnya. Segala bentuk proses pembelajaran berbentuk formal dan tidak formal bergantung kepada kreativiti dan peranan utama terletak pada tanggungjawab guru. Inilah transformasi negara yang kita kehendaki yang dapat dimanfaatkan dalam sistem pendidikan negara.


Dalam memperkukuhkan aspek kemahiran guru ini adalah digalakkan agar para guru terus memperkukuhkan latihan dalam perkhidmatan. Sebagai contoh, guru-guru yang telah lama berkhidmat hendaklah terus diberi pendedahan khusus tentang sahsiah guru sebagai murabbi, dengan pendekatan dan kaedah pengajaran terkini.


Sebagai murabbi, guru bukan sahaja bertindak untuk mengajar beberapa subjek mengikut sukatan pelajaran tertentu tetapi mereka turut berperanan untuk sama-sama mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didik mereka menjadi manusia yang berilmu, bertakwa dan beramal soleh serta mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran atau melaksanakan konsep amar ma'ruf dan nahi munkar yang dapat melahirkan pelajar yang memiliki keperibadian yang luhur.


Dalam merencanakan profesion guru cemerlang ini juga dalam abad ke-21 penyediaan geran penyelidikan juga adalah penting untuk membantu menaiktarafkan profesionalisme guru dalam kemajuan kerjaya mereka. Kemudahan geran penyelidikan misalnya turut memberi laluan kepada para guru untuk meningkatkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi adalah terbuka luas.


Di samping dapat melahirkan sebilangan besar guru yang lebih berkemahiran berfikir aras tinggi seterusnya dapat membantu melahirkan masyarakat yang juga dapat berfikir (thinking society) secara kritis, kreatif dan inovatif. Proses melahirkan modal insan yang berinovatif dan berkemahiran tinggi ini merupakan sebahagian pelaburan besar pendidikan untuk menjamin kemajuan ekonomi dan kesejahteraan negara.


Bagi mencapai matlamat dan usaha murni ini, marilah kita semua bersatu dan mengambil tanggungjawab sebagai guru bagi menyokong setiap aktiviti dan program pendidikan terutama kepada maklum balas di dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan dimuktamadkan Disember depan.


Ingatlah apabila negara mempunyai masyarakat yang berpendidikan tinggi maka kemajuan ekonomi juga akan meningkat. Jika ini tercapai maka kita akan melihat Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju menjelang tahun 2020.


Nor Hartini binti Saari.
-bernama. 

1 comment:

  1. Tritanium's headers - iTanium Art | Titanium Art
    Tritanium's headers. Tritanium's titanium rings headers. Tritanium's columbia titanium boots headers. titanium straightener Tritanium's headers. Tritanium's headers. Tritanium's headers. Tritanium's omega seamaster titanium headers. titanium tools Tritanium's headers.

    ReplyDelete