Pengenalan Image Map

Followers

Friday, July 12, 2013

Sakitnya Bila Difitnah

Assalamualaikum semua...

Sudah lama rasanya saya tidak mencoret apa-apa cerita di sini. Rindu rasanya hendak mencoret kisah-kisah hidup yang telah menjadi suatu pengalaman pahit dan manis untuk dikongsi bersama. Ok...kali ini saya ingin mencoretkan kisah berkenaan "sakitnya bila difitnah".

Pernahkah anda mengalami situasi di mana diri anda, ahli keluarga anda atau sabahat anda telah difitnah oleh orang yang begitu anda percaya ? Apakah perasaan yang timbul setelah dengan tiba-tiba anda mengetahui terdapat cerita-cerita yang telah memburukkan dan mengaibkan nama anda di khalayak ramai ?

Ooowwwhhh.....Saya percaya rasa sakit hati, marah, benci dendam, geram, terkilan, terkejut dan sedih pasti akan bersarang dalam diri anda dalam satu tempoh yang tidak pasti sampai bila. Betapa sakitnya perasaan dan jiwa kita apabila kita dipandang tidak baik oleh pihak-pihak yang mempercayai cerita-cerita dogeng yang di sampaikan dari mulut ke mulut.

Apa yang anda akan rasa apabila seseorang yang anda tidak pernah anda kenal, tidak pernah bersua muka, tidak pernah berurusan, tidak pernah mempunyai apa-apa pertalian atau hubungan tiba-tiba berbicara tentang perkara buruk berkenaan diri anda ? Anda diaibkan dan dimalukan olehnya dengan mendedahkan beberapa cerita yang hanya didengar-dengar dari orang lain yang juga berkemungkinan turut mempunyai perasaan tidak puas hati dengan diri anda ? Tentulah kita akan rasa terkejut dan terpinga-pinga bukan...... itu adalah perasaan normal yang pasti semua orang akan alami bila berhadapan dengan fitnah.

Apa perasaan anda jika tiba-tiba anda menerima SMS melalui Handphone atau Facebook yang dihantar oleh sahabat baik anda sendiri di mana dalam SMS itu dia seolah-oah sedang mengutuk anda bersama seseorang yang lain ? Tidakkah anda akan terkejut dan tidak menyangka perkara itu telah dilakukan oleh sahabat baik anda. Lihatlah betapa besarnya kuasa ALLAH....betapa sayangnya ALLAH pada anda kerana dia membuka mata anda supaya anda dapat melihat kebenaran sebenar dan Allah mahu anda lebih berhati-hati dan bersedia. Apa yang perlu dibuat ialah Istigfar banyak-banyak ...moga Allah ampunkan dosa kita.

Apa yang anda akan rasai apabila sahabat baik anda yang sangat anda percayai hanya mendiamkan diri ketika anda sedang diaibkan dan dimalukan oleh orang lain dalam khalayak ramai akibat sedikit salah faham, sedangkan sahabat anda itu tahu akan perkara yang sebenar dan dia tidak cuba untuk membetulkan keadaan serta menyatakan perkara yang sebenar bagi menjernihkan keadaan yang keruh ? Pelbagai perasaan yang akan melanda perasaan yang sungguh-sungguh tidak disangka. Apa yang perlu dibuat hanyalah muhasabah diri agar kita dapat membetulkan kesilapan diri sehingga tercetusnya perkara sedemikian rupa. Mengadulah pada ALLah...sesungguhnya Allah lebih tahu segala-galanya.




Ada tahu apakah yang dimaksudkan dengan 'FITNAH' ?

-Perihal fitnah telah disebut 2 kali dalam Quran (2:191 & 2:217) - "FITNAH itu lebih kejam dari pembunuhan". Mainstream masyarakat Melayu memahami FITNAH sebagai TUDUHAN sahaja, namun maksudnya jauh lebih luas dalam bahasa Arab.

Menurut tafsir,  FITNAH ialah menimbulkan kekacauan, seperti:
1. mengusir sahabat dari kampung halamannya
2. merampas harta
3. menyakiti atau mengganggu kebebasan seseorang dalam beragama (dalam islam)
4. Penyiksaan/serangan (fizikal/mental/emosi) terhadap orang yang beriman untuk melakukan
    kebajikan
5. Usaha untuk memurtadkan orang Islam
6. mewujudkan suasana masyarakat yang rosak/menyeleweng dengan hasutan/mengada-adakan cerita
7. sihir

Imam Jalaluddin AsSuyuthi di dalam kitabnya 'AL-ITQAN' menyebut bahawa kalimah FITNAH digunakan di dalam Al-Quran dengan 15 maksud.

Dari sudut bahasa arab pula, kalimah FITNAH mempunyai banyak maksud. (Lihat Qamus Muhith ms 1100) atau mana-mana kamus online, google translate atau mana-mana yang anda yakini/senangi.

Yang demikian, haruslah kita semak semula perbuatan/kelakuan kita sehari-hari, apakah pernah kita melakukan FITNAH terhadap orang lain, justeru bertaubatlah, demi keharmonian hidup sebagaimana saranan KITAB PETUNJUK itu (QURAN).

Bagi yang merasa ragu tentang hujahan saya pada perkataan ini (kerana ianya dibentangkan oleh saya yang tidak berkelulusan tinggi dalam agama), bolehlah lanjutkan pertanyaan tentang maksud perkataan ini kepada mana-mana pakar bahasa arab dan juga tok guru tok guru anda. Saya sedia diperbetulkan jika saya tersilap.

Seterusnya, ayat 2:193 memerintahkan "Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah". Yang demikian, mereka yang mengadakan KEKACAUAN atau FITNAH itu, boleh diperangi.

Ayat 2:194 mengajarkan tahap mana mereka itu harus diperangi - "Siapa yang memerangi kamu, maka seranglah dia setimpal dengan serangannya terhadap kamu".

Bahayanya Fitnah ?

Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.
Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
  • Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)
  • Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).
Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.

Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.
Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.

Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.
 
Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.

Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut”.

Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.

Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.

Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a…”

Demikian lah sedikit perkongsian pengalaman hidup kita agar kita boleh menjadi lebih baik selepas ini. Seharusnya apa sahaja yang hendak kita lakukan biarlah dengan niat yang baik dan ikhlaskan hati. Walaupun manusia tidak mampu menilai keikhlasan kita, jangan gusar jangan bimbang kerana Allah tahu segalanya. Selalulah kita bersangka baik dengan semua orang agar jiwa kita terdidik hanya dengan perkara yang baik-baik. Allah selalu menurunkan pelbagai bentuk kejadian agar kita selalu beringat dan tidak lalai...

Sekian, terima kasih.

Jumaat, 13 Julai 2013, 4.05 am.

No comments:

Post a Comment