PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah
negara yang terdiri daripada pelbagai etnik yang berbeza dari segi kepercayaan,
budaya dan bahasa. Perbezaan ini menyukarkan para pemimpin untuk memacu
pembangunan negara. Oleh itu, perlu ada suatu formula yang jitu dan ampuh untuk
mencapai perpaduan dan integrasi semua etnik menjadi satu bangsa Malaysia yang
bersatu.
Justeru itu,
aspek pendidikan telah dijadikan salah satu wadah utama kerajaan untuk mencapai
perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia. Pendidikan di Malaysia, menjadi salah
satu sistem sosial yang paling penting bagi perkembangan dan kemajuan Negara.
Oleh yang demikian, perancangan yang rapi dan terperinci telah dibuat untuk
mencapai hasrat dan matlamat tersebut.
Bagi setiap
negara yang sudah mencapai kemerdekaan, salah satu aspek penting yang amat
dititikberatkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara yang maju dan membangun
dari aspek politik, ekonomi dan sosial ialah penekanan terhadap perlaksanaan sistem
pendidikan negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan di dalam sesebuah
negara, penting bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan sosialisasinya iaitu
di mana kanak – kanak dididik untuk menjadi insan yang berjaya dan mengenali
budaya serta alam sekeliling, tetapi juga boleh digunakan sebagai wadah untuk
menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat iaitu melalui penerapan
tentang kefahaman serta nilai – nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan
para pelajar.
DEFINISI PERPADUAN DAN INTEGRASI
Perpaduan bermaksud
penggabungan, manakala integrasi pula membawa maksud penggabungan atau
pergabungan dua atau beberapa kaum menjadi satu kesatuan atau penyatuan (Kamus
Dewan, 2002).
Jika digabungkan dua perkataan ini, iaitu integrasi perpaduan ia membawa maksud
mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu dengan satu identiti nasional.
Kerjasama ini meliputi integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial,
pendidikan dan politik (Mohd Ridhuan Tee Abdullah, 2010: 62)
Manakala konsep integrasi nasional, merupakan penyatuan kelompok masyarakat
yang mempunyai latar belakang yang berbeza, menjadi satu entiti yang terikat
oleh norma dan nilai serta kepentingan bersama, yang mempunyai unsur penting
iaitu anggota kelompok masyarakat yang bersatu padu sekalipun berlainan latar
belakang, masing-masing berasa dipunyai dan mempunyai satu kelompok yang sama
(a sense of belonging). Integrasi sebegini merupakan satu proses yang berlaku
hasil ikatan batin, iaitu ikatan perasaan antara manusia sendiri. Ia adalah
proses kerohanian atau spiritual, hasil daripada satu penghayatan dalam mana
akhirnya berlaku perkongsisn pemikiran dan hati, jauh merentasi perbezaan
budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional lebih merupakan satu proses
berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati dan
berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011: 179-180).
SEJARAH PENDIDIKAN
Negara
Malaysia mempunyai sejarah pendidikan yang unik dan tersendiri. Rentetan
sejarah yang ada dan perubahan yang berlaku dalam arena politik, ekonomi,
sosial dan kebudayaan pada masa lampau, telah membawa kepada perubahan dalam
perlaksanaan dasar dan corak pendidikan negara Malaysia serta menjadi landasan
untuk perubahan pada masa akan datang. Berdasarkan kepada perkembangan sejarah
yang berlaku, pendidikan di Malaysia terbahagi kepada tiga peringkat iaitu
sebelum kedatangan British, semasa kedatangan British dan selepas kemerdekaan.
Sejarah Pendidikan Sebelum
Kemerdekaan
Sistem pendidikan
sebelum kemerdekaan lebih bersifat keagamaan iaitu berasaskan sistem pondok
atau madrasah. Ianya berkembang pesat sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an
(Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 65). Sekolah jenis ini bertujuan bagi
melahirkan pelajar yang bermoral tinggi, namun terdapat kelemahan pada perlaksanaannya
iaitu tidak dapat melahirkan masyarakat Islam yang moden kerana tiada penekanan
kepada mata pelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris.
Sekolah Vernakular merupakan
sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar disetiap sekolah
dan berasaskan kepada identiti kaum masing-masing. Sekolah Melayu menggunakan
bahasa Melayu, Sekolah Cina menggunakan bahasa Cina atau Mandrin (Kuo Yu) dan
bahasa Tamil untuk Sekolah Tamil. Manakala Sekolah Inggeris hanya ditubuhkan di
kawasan bandar yang mana sekolah ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar (Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 65).
Sejarah Pendidikan Semasa
Penjajahan
Pada zaman penjajahan, setiap
sekolah ditubuhkan mengikut kaum dan mempunyai kurikulum yang berbeza-beza serta
lokasi sekolah juga terpisah mengikut kaum masing-masing. Sekolah-sekolah
berkembang selaras dengan perkembangan ekonomi di Tanah Melayu pada masa itu,
contohnya Sekolah Cina mendapat bantuan dari golongan peniaga Cina. Disamping
itu juga sekolah Cina ini diberi pilihan sama ada mendapat bantuan Negara Cina
ataupun bantuan dari kerjaaan tempatan.
Sistem pendidikan pada zaman
ini meninggalkan kesan yang mendalam dari segi meningkatkan persaingan
dikalangan semua kaum. Walaubagaimana pun, kependudukan Jepun telah banyak
mengubah dan memberi kesan serta menjejaskan perkembangan pendidikan di Tanah
Melayu. Sekolah dan kolej terpaksa dibaiki dan diperkemaskan kerana mengalami
kerosakan dan siap selepas tahun 1946.
Sejarah Pendidikan Selepas
Kemerdekaan
Selepas kemerdekaan, sistem
pendidikan negara adalah berasaskan kepada laporan yang dikeluarkan iaitu
Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Yu (1951) dan diikuti oleh Ordinan
Pelajaran pada tahun 1952. Laporan Barnes disediakan bagi mengkaji dan
menyiasat kedudukan pendidikan orang-orang Melayu pada masa itu. Antara syor
yang diutarakan adalah penubuhan sekolah dwibahasan yang menggunakan Bahasa
Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Selain itu juga Sekolah
Vernakular akan digantikan dengan Sekolah Kebangsaan. Laporan Fenn-Yu pula
bertujuan mengkaji semula Laporan Barnes kerana dikatakan Laporan Barnes ingin
menghapuskan bahasa dan kebudayaan masyarakat Cina.
Oleh yang demikian, bagi
menyelesaikan kemelut tersebut, kerajaan British telah menubuhkan satu
jawatankuasa dan laporan jawatankuasa ini dikenali sebagai Ordinan Pelajaran
(1952). Hasrat Ordinan Pelajaran (1952) bagi membentuk satu corak sistem
persekolahan yang menghapuskan Sekolah Vernakular Cina dan Tamil tidak
kesampaian disebabkan masalah kewangan pada ketika itu. Apa yang jelas ialah
sistem pendidikan pada zaman tersebut lebih dipengaruhi oleh corak
sosio-ekonomi yang dicetuskan oleh kaum masing-masing. Aspirasi dan fikiran
yang berlainan dikalangan masyarakat menyukarkan pencapaian sesuatu matlamat
(Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 68).
DASAR PENDIDIKAN
Pada zaman penjajahan, sistem
pendidikan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan,
pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Ianya berkembang mengikut
identiti, taat setia dan keturunan mereka kepada negara asal. Ini memberi satu
tekanan kepada pembangunan rakyat tempatan pada ketika itu. Bagi menggantikan
sistem pendidikan penjajah, beberapa langkah telah diambil dan menggubal satu
Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk memenuhi keperluan negara dan
menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.
Dasar
Pendidikan di Malaysia telah melalui beberapa tahap perkembangan. Pembentukan
Kabinet Persekutuan Tanah Melayu yang pertama merupakan tahap awal kepada
terbentuknya Dasar Pendidikan di negara ini. Parti Perikatan yang mencapai
kemenangan dalam pilihanraya pada tahun 1995 di bawah pimpinan Yang Berhormat
Dato’ Tun Abdul Razak Hussien telah menubuhkan satu Jawatankuasa Pelajaran dan
mensyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan. Laporan ini dikenali
sebagai Penyata Razak (1956). Cadangan-cadangan penyata ini termaktub dalam
Ordinan Pelajaran (1957). Penyata Razak ini mempunyai tujuan utama iaitu untuk
menyatupadukan kaum di Malaysia yang mana pada waktu itu terpisah oleh bahasa
dan budaya yang berbeza-beza. Antara matlamat utama Penyata Razak ini ialah :
- Semua sekolah di Tanah Melayu mempunyai satu sukatan yang sama.
- Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah.
- Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris wajib diajar di semua sekolah rendah dan menengah
- Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu
- Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan kaun dapat dikurangkan.
- Mewujudkan masyarakat yang toleransi, berdisiplin, terlatih, liberal dan progresif.
Terdapat
pelbagai reaksi yang diperolehi dikalangan kaum termasuk parti politik kesan
daripada Penyata Razak. Orang Melayu tidak berpuas hati dan syahk wasangka
terhadap kedudukan Bahasa Inggeris di sekolah. Selain itu juga Kesatuan Guru
Sekolah Cina dan akhbar Cina menentang Perkara 12 iaitu objektif akhir adalah
untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah.
Manakala Kesatuan Guru Sekolah Tamil menentang kerana berpendapat bahawa
kemajuan Sekolah Tamil akan terencat. Akibat terlalu banyak penentangan
terhadap Penyata Razak maka satu jawatankuasa pula ditubuhkan untuk mengkaji semula
Laporan Razak. Hasil semakan dan kajian semula yang dijalankan terhadap Laporan
Razak, maka terhasillah Laporan Rahman Talib pada tahun 1960.
Secara
umumnya Laporan Rahman Talib bersetuju dan menyokong hampir kesemua dasar yang
dicadangkan oleh Laporan Razak, dan terhadap beberapa usul tambahan. Dalam
mencapai matlamat menyatupadukan kaum, Laporan Rahman Talib mengsyorkan supaya
pendidikan di peringkat sekolah rendah diberikan secara percuma, dan
membolehkan kanak-kanak menikmati alam persekolahan dalam sistem pendidikan.
Semua sekolah yang menerima bantuann kerajaan ditukar menjadi Sekolah
Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Dengan ini perlbagai kaum dapat
memelihara bahasa dan budaya masing-masing.
Manakala untuk mewujudkan dan
mengeratkan perpaduan kaum, peperiksaan juga telah diadakan dalam satu bahasa
iaitu sama ada Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris. Melalui laporan Razak dan
Laporan Rahman Talib ini terbentuklah Akta Pelajaran 1961. Akta Pelajaran ini
dibentuk bertujuan untuk mencapai perpaduan kaum di Malaysia melalaui sistem
Pendidikan. Akta Pelajaran 1961 telah menggariskan tiga asas utama iaitu
keseragaman sistem persekolahan, penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa
pengantar utama, dan kurikulum serta peperiksaan sekolah yang sama dari segi
kandungan dan bercorak kebangsaan.
Peristiwa 13
Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah Malaysia. Peristiwa rusuhan
kaum memberi pengajaran yang besar kepada kerajaan untuk mengatasi masalah
pertembungan antara etnik-etnik di Malaysia. Pada tahun 1970, kerajaan
memperkuatkuasakan dua perkara penting iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi
Baru untuk mewujudkan keseimbangan di antara kaum-kaum dan memupuk perpaduan
dikalangan rakyat di Malaysia. Bidang pendidikan menjadi teras penting untuk menjayakan
objektif Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru iaitu mencapai perpaduan dan
integrasi kaum di negara ini. Pemurnian Dasar Pendidikan untuk mencapai
integrasi kaum berterusan apabila kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet pada
tahun 1974 yang bertujuan menyemak kembali Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad yang pada ketika
itu memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Dalam laporan itu
menyatakan tujuan jawatankuasa ini :
“Mengkaji semula matlamat dan kesannya sisitem pendidikan termasuk
kurikulumnya, dalam rangka Dasar Pendidikan Kebangsaan yang wujud, dengan
tujuan memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada
dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk
memastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah
melahirkan masyarakat yang bersatu padu berdisiplin dan terlatih” (Mohamad
Rodzi Abd Razak, 2009: 100).
Laporan
jawatankuasa ini adalah sama seperti laporan-laporan yang terdahulu iaitu untuk
menyatupadukan rakyat seperti yang terdapat dalam Akta Pelajaran 1961.
Menjadikan pendidikan sebagai alat utama untuk mencapai perpaduan di negara
ini. Oleh tiu aspek bahasa telah menjadi penekanan utama untuk mencapai hasrat
kerajaan. Dalam laporan ini, matlamat pendidikan Bahasa Malaysia ( Bahasa
Melayu ) sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama dan bahasa untuk
menyatukan rakyat (Mohd Yazid Yusoff et al.,2002: 4-5). Melalui laporan
Jawatankuasa Kabinet juga, Pusat Perkembangan Kurikulum telah memperkenalkan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1983. Kerajaan juga memperkenalkan Falsafah
Pendidikan Negara pada tahun 1988 untuk membentuk individu murid yang
menyeluruh dan seimbang dari segi jasmani, emosi, intelek dan rohani, emosi dan
jasmani (Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009: 101).
Menjelang
tahun 1995, kerajaan telah meluluskan Akta Pendidikan 1996. Akta ini
menggantikan Akta Pendiidkan 1961, tetapi masih menyokong matlamat
menyatupadukan kepelbagaian kaum di Malaysia menerusi pendidikan. Akta ini
menampilkan beberapa perubahan besar terhadap dasar pendidikan negara dan
dianggap sebagai dasar yang sangat liberal. Ia dianggap membayangkan perubahan
sikap masyarakat Melayu dan memenuhi beberapa impian masyarakat Cina(Mohamad
Rodzi Abd Razak, 2009: 101). Akta ini juga memberi penekanan kepada peningkatan
pendidikan prasekolah, pendidikan swasta, pendidikan keguruan, pendidikan teknikal
dan pendidikan khas. Dalam seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan
bahawa bahasa kebangsaaan adalah abahasa pengantar utama dalam sistem
pendidikan kebangsaan kecuali di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (Gurnam Kaur Sidhu et al., 2005: 75).
Terdapat 3
fokus utama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu yang pertama ialah
perkembangan individu secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Kedua adalah
perpaduan rakyat dan yang ketiga pendidikan sepanjang hayat ke arah membina
masyarakat yang aman dan makmur. Melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan
kerajaan mewajibkan murid tahap 2 di sekolah-sekolah rendah terlibat dan
menyertai aktiviti unit beruniform, persatuan dan sukan. Penglibatan murid
dalam aktiviti sebegini boleh memupuk semangat perpaduan dikalangan murid yang
terlibat jika dipupuk dari peringkat kecil lagi.
Perkembangan
kurikulum pendidikan juga mengikut arus dan kesesuaian semasa. Pada tahun 2010
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dilaksanakan di prasekolah
menggantikan kurikulum lama. Manakala di peringkat sekolah rendah pula,
diperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang mana mula dilaksanakan pada tahun
2011 untuk Tahun 1.
Pada tahun
2011 juga, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidddin Yassin telah melancarkan
dasar 1 Murid 1 Sukan. Dari segi rasionalnya, dasar ini menyumbang kepada
pertandingan yang sihat, semangat muhibbah, kesefahaman, toleransi dan meningkatkan
nilai-nilai moral dan fizikal yang memberi satu landasan yang betul dalam
mengintegrasikan pelbagai kumulan etnik kepada satu bangsa yang bersatu padu
serta memupuk semangat cintakan negara (Buku Panduan Perlaksanaan Dasar Satu
Murid Satu Sukan, 2011: 2).
Kesimpulannya
pelbagai Dasar Pendidikan telah dilaksanakan bermula daripada saat negara bebas
daripada penjajahan British sehinggalah ke hari ini. Antara fokus utama
dasar-dasar ini di samping untuk memberi pendidikan kepada rakyat ianya jelas
menjadi alat terpenting untuk menyatupadukan dan mengintegrasikan etnik yang
pelbagai di negara ini. Dasar-dasar ini berkembang dan berubah dari masa ke
masa untuk memenuhi kehendak dan keadaan semasa. Walaupun dasar ini seringkali
berubah, namun ia tidak lari daripada misinya yang asal iaitu membangunkan
sesebuah negara di mana rakyatnya berbilang kaum, bersatu padu untuk memacu
negara ke arah kegemilangan dan mampu bersaing dalam arus golbalisasi yang
semakin mencabar.
CABARAN INTEGRASI DAN PERPADUAN MELALUI DASAR PENDIDIKAN
Integrasi dan perpaduan kaum
yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui Dasar Pendidikan berdepan dengan
cabaran dan halangan yang besar. Salah satu cabaran utama untuk mencapai
perpaduan kaum ini ialah aspek dalaman iaitu perbezaan bahasa, kebudayaan,
kepercayaan dan keturunan yang mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum.
Perbezaan ini menyebabkan setiap kaum di negara ini sukar untuk menerima
perubahan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan dalam dasar pendidikan, kerana
pada sangkaan mereka ia melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka
terpaksa menerima unsur kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri. Situasi
sebegini pasti akan mendapat tentangan daripada pelbagai kaum kerana unsur
keturunan, kepercayaan, budaya dan bahasa sudah menebal dalam kaum
masing-masing.
Cabaran
kedua ialah pola kedudukan kaum yang berbeza-beza juga menjadi salah satu
cabaran untuk mencapai perpaduan dan integriti kaum. Pola kedudukan kaum adalah
berasaskan sumber ekonomi ini berpunca pada zaman penjajahan iaitu dasar
British yang mengamalkan sistem pecah dan perintah (divide and rule). Di mana
kedudukan ini dapat dilihat orang Melayu menjadi petani dan menetap di
kampung-kampung. Orang Cina pula di tempatkan di kawasan lombong biji timah
yang mana akhirnya menjadi pekan-pekan baru dan berkembang menjadi bandar.
Manakala kaum India pula bekerja sebagai buruh ladang getah dan menetap di
estet-estet.
Untuk mencapai misi pendidikan
iaitu perpaduan dan integriti kaum, jarak kedudukan kaum ini menjadi satu cabaran
yang sukar. Kerajaan perlu memikirkan satu cara untuk meletakkan murid-murid
daripada pelbagai kaum disatu sekolah yang sama supaya matlamat dasar
pendidikan iaitu untuk menyatu dan mengintegrasikan kaum dapat dicapai.
Penempatan murid daripada pelbagai kaum dalam satu sekolah atau kawasan mungkin
dapat dilaksanakan sekiranya selepas kemerdekaan, kerajaan dapat mengubah
keadaan ekonomi iaitu mewujudkan pelbagai pekerjaan yang menghapuskan
pengenalan kerja mengikut kaum.
Cabaran
ketiga ialah menyediakan guru yang merupakan agen kerajaan untuk menyampaikan
dan melaksanakan dasar pendidikan kepada murid dan masyarakat. Oleh itu aspek
guru juga menjadi cabaran untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum. Guru
perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup dan lengkap untuk
menghadapi pelbagai situasi di sekolah dan masyarakat sekitarnya. Guru perlu
memahami misi, objektif dan matlamat akhir sesuatu dasar pendidikan supaya
hasrat perlaksanaan sesuatu dasar itu terlaksana.
Jika
seseorang guru itu cetek ilmu dan malas untuk mengambil tahu isu semasa, ia
akan menimbulkan masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya
membawa murid-murid ke arah matlamat yang salah menyebabkan salah satu matlamat
iaitu mencapai perpaduan dan integrasi antara kaum tidak dapat dicapai. Oleh
itu pihak kerajaan perlu memberi latihan dan kefahaman kepada setiap guru
apabila melaksanakan sesuatu dasar yang baru supaya segala perancangan mengikut
landasan yang betul dan generasi yang akan datang lahir sebagai individu yang
mempunyai sifat cinta dan membudayakan perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat.
Media massa
juga menjadi agen penyampai matlamat tentang dasar-dasar kerajaan termasuklah
dasar pendidikan. Media massa bukan hanya membekalkan fakta dan data
tertentu. Ia juga memberikan maklumat tentang matlamat, maksud dan
kesignifikanan sesuatu peristiwa. Media massa ini pula perlu
peka apabila menyampaikan sesuatu dasar itu, lebih-lebih lagi jika isu tersebut
menyentuh isu-isu sensitif supaya tidak menimbulkan konflik dikalangan
masyarakat. Melalui matlamat yang tepat, masyarakat akan dapat memahami
kehendak dan matlamat kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar.
KEBERHASILAN INTEGRASI DAN
PERPADUAN KAUM
Bidang Pendidikan
Keberhasilan integrasi dan
perpaduan dalam bidang pendidikan di Malaysia boleh dinilai dalam beberapa
aspek utama iaitu :
1.
Matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
2.
Matlamat mewujudkan sekolah pelbagai kaum
3.
Matlamat menyatukan pelbagai kaum melalui aktiviti ko-kurikulum
Dalam
kerajaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua Sekolah
Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan, ianya masih lagi belum mencapai
matlamat yang diinginkan. Kaum Cina merupakan kaum yang paling kuat menentang matlamat
menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ini kerana mereka bimbang
bahasa ibunda mereka akan hilang penggunaanya pada masa akan datang. Seksyen 17
Akta Pendidikan 1996 memberi kelonggaran kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
(SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk menjadikan bahasa ibunda
mereka sebagai bahasa pengantar dan menjadikan mengurangkan penggunaan Bahasa
Melayu. Oleh itu, sehingga sekarang kerajaan melalui perubahan-perubahan dasar
pendidikan masih belum mencapai matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama disemua sekolah di negara ini. Kegagalan kerajaan
menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah merumitkan
lagi usaha untuk mencapai integrasi dan perpaduan kaum di Malaysia. Ini adalah
kerana, semua kaum berusaha mempertahankan bahasa ibunda masing-masing dan
sehingga wujudnya jurang integrasi antara etnik-etnik di negara ini. (Riduan
Tee, 2010: 69)
Manakala
hasrat dan matlamat kerajaan untuk mewujudkan sekolah integrasi iaitu pelbagai
kaum di dalam sebuah sekolah atau beberapa buah sekolah pelbagai kaum dalam
satu kawasan juga masih lagi belum dapat dilaksanakan. Sebagai contoh, kerajaan
telah mewujudkan Sekolah Wawasan namun mendapat tentangan hebat dari masyarakat
Cina kerana menganggap Sekolah Wawasan akan menghilangkan identiti dan bahasa
ibunda mereka (Modul Kenegaraan, 2010: 184). Pada masa ini bukan sahaja sekolah
rendah dan sekolah menengah berasaskan bangsa dan kaum, tetapi juga pusat-pusat
pengajian tinggi tempatan ditubuhkan berasaskan kepada kaum. Dalam konteks
pengajian tinggi di Malaysia, terdapat 20 buat Institusi Pengajian Tinggi Awam
(IPTA) dan 32 buah Intitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah disenaraikan
oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Penubuhan IPTS ini ada yang berasaskan kaum
dan parti politik seperti penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR).
Universiti ini dimiliki oleh Malaysian Chinese Association (MCA) dan hampir
seratus peratus (100%) daripada pelajarnya adalah kaum Cina.
Satu kajian
yang dijalankan oleh sekumpulan pensyarah di Universiti Utara Malaysia
terhadap pelajar-pelajar mereka yang berbangsa Melayu, Cina dan India mendapati
kebanyakkan pelajar-pelajar tersebut mempunyai sentimen perkauman yang tinggi.
Para pelajjar masih suka bergaul dengan kaum sendiri dalam semua hal berbanding
bergaul dengan kaum-kaum lain. Semua ini berlaku disebabkan oleh proses
sosialisasi yang dilalui sebelum memasuki alam kampus. Polarisasi ini amat
membimbangkan dan menjadi penghalang kepada integrasi dan perpaduan antara kaum
di Malaysia (Riduan Tee, 2010: 74). Daripada hasil kajian ini dapat dikatakan
bahawa pelajar-pelajar yang mendapat pendidikan di sekolah yang berasaskan kaum
tertentu lebih suka menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di
pusat-pusat pengajian yang mempunyai kaum yang sama dengan kaumnya. Hal ini
boleh membantutkan usaha kerajaan mencapai perpaduan di negara ini.
Walau
bagaimanapun, usaha kerajaan mencapai perpaduan melalui ko-kurikulum di
peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi menampakkan
hasil yang positif. Melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti kebudayaan,
keseniaan dan sukan menampakkan semangat perpaduan diantara pelajar-pelajar
pelbagai kaum. Aktiviti sebegini boleh merapatkan hubungan dan membangkitkan
semangat tolong-menolong, semangat setiakawan dan saling percaya-mempercayai di
antara pelajar-pelajar pelbagai kaum yang terlibat. Penglibatan pelajar secara
aktif dalam bidang ko-kurikulum akan melahirkan individu pelajar yang berfikiran
terbuka dan matang dalam perhubungan dan bersosial.
Secara
keseluruhannya hasrat dan matlamat kerajaan untuk mengintegrasi dan
menyatupadukan kaum melalui dasar pendidikan di sekolah dan pusat pengajian
tinggi belum lagi mencapai matlamat sepenuhnya walaupun terdapat hasil yang
boleh dibanggakan. Ini kerana setiap dasar yang dilaksanakan mendapat tentangan
daripada pelbagai pihak yang tidak melihat dasar pendidikan tersebut dari sudut
politik. Mereka sering berprasangka buruk sebelum menilai dan melihat dasar
tersebut secara terperinci. Mereka juga sering mendahulukan kepentingan kaum
daripada kepentingan nasional. Namun demikian usaha kerajaan untuk
menyatupadukan pelbagai kaum melalui dasar pendidikan dapat dilihat hasil
positifnya dalam bidang ko-kurikulum. Pelajar pelbagai kaum yang terlibat
secara aktif akan menjadi lebih matang dan bertoleransi dengan kaum lain hasil
daripada kerjasama yang mereka lalui.
Bidang Politik
Dalam bidang
politik pula, Dasar Pendidikan Kebangsaan berhasrat melahirkan generasi yang
akan memimpin negara menjadi sebuah negara maju dan mempunyai semangat
patriotik. Ianya adalah satu penubuhan parti politik yang tidak bersifat
perkauman dan ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Sifat perjuangannya pula
adalah meletakkan kepentingan umum lebih daripada kepentingan kaumnya sendiri.
Namun pada hari ini di Malaysia, kepelbagaian kaum yang ada menyebabkan
masyarakat masing-masing menubuhkan persatuan dan parti politik yang berasaskan
kepada kaum masing-masing. Contohnya kaum Melayu memperjuangkan hak orang-orang
Melayu melalui pasrti United Malaysian National Organisation (UMNO), orang Cina
melalui parti Malaysian Chinese Assosiation (MCA), dan kaum India melalui parti
Malaysian Indian Congress (MIC). Alasan parti-parti politik ini ditubuhkan
mengikut kaum adalah untuk mengelakkan kaum itu ditindas oleh kaum lain.
Keadaan ini sebenarnya akan lebih menimbulkan konflik dan pertikaian daripada
penyelesaian tentang sesuati isu yang dibangkitkan.
Keadaan
politik di negara Malaysia hari ini adalah kerana kegagalan dasar pendidikan
yang dilaksanakan untuk melahirkan pelapis pemimpin negara untuk menghormati
dan memahami kaum lain. Hal ini bukan hanya berpunca daripada kelemahan yang
terdapat dalam dasar pendidikan tersebut tetapi ianya juga berpunca daripada
sikap kaum itu sendiri yang ego dan mementingkan kaum serta gagal untuk
menerima perubahan yang terdapat dalam dasar pendidikan. Sebagai contohnya,
perlaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan sekolah integrasi yang ditentang hebat
oleh pelbagai kaum tanpa memikirkan kebaikan dan tujuan murni kerajaan untuk
melahirkan generasi yang memahami dan peka terhadap kaum lain. Generasi yang
ingin dihasilkan melalui dasar pendidikan yang dirancang akan mampu memahami
dan menghormati kaum lain dan seterusnya memerintah negara Malaysia dengan adil
tanpa menindas dan menafikan hak-hak kaum lain.
Dalam
senario politik semasa juga dapat dilihat bahawa krisis nilai, akhlak atau
etika di kalangan pemimpin menyumbang ke arah perpecahan. Dasar
pendidikan pada peringkat awal gagal untuk memberikan penekanan kepada peri
pentingnya penerapan nilai-nilai murni dan akhlak mulia untuk membentuk
generasi yang seimbang dari segi luaran dan dalaman. Oleh itu lahirlah generasi
pemimpin yang tidak mampu untuk menghadapi tekanan dengan profesional. Maka
terbentuklah aliran politik yang negatif iaitu saling mencari keburuk pihak
lawan dan bukannya menampilkan kewibawaan diri sendiri. Corak politik yang
sebegini akan menyumbang kepada perpecahan dan pertelingkahan dikalangan
ahli-ahli politik dan para penyokongnya, seterusnya akan menghalang berlakunya
perpaduan kaum di Malaysia. Oleh yang demikian langkah dan tindakan mewujudkan
Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan generasi yang seimbang amat tepat.
Namun negara masih lagi belum dapat melihat hasilnya pada hari ini.
Politik yang
berasaskan kaum ini seringkali menimbulkan ancaman yang besar terhadap
kesejahteraan negara. Ianya berlaku apabila ahli politik yang cetek ilmu
pengetahuan tentang sejarah di Malaysia mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu
dan status kedudukan orang-orang Melayu. Isu-isu ini bagaikan mencurahkan
minyak ke dalam bara api. Ia boleh membangkitkan api kemarahan orang-orang
Melayu dan boleh mencetuskan pertumpahan darah di negara ini. Oleh itu, mata
pelajaran sejarah perlu diajar diperingkat sekolah rendah lagi dan perlu
dijadikan mata pelajaran teras supaya isu-isu berkaitan Raja-raja Melayu dan
hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dapat difahami oleh semua kaum di
negara ini.
Dalam bidang
politik ini, kelemahan dasar pendidikan untuk melahirkan pelapis pemimpin
negara yang bersifat patriotik menyebabkan wujudnya parti-parti politik yang
bersifat perkauman. Perjuangan mereka lebih mementingkan pembelaan kaum
masing-masing melebihi kepentingan negara. Manakala krisis nilai dan akhlak
yang membelenggu personaliti ahli-ahli politik masa kini juga mengakibatkan
berlakunya perselisihan kaum yang menyumbang kepada perpecahan.
Bidang Ekonomi
Dasar Pendidikan Negara juga
dirancang dan dilaksanakan dengan matlamat untuk melahirkan individu yang
berilmu dan berkemahiran yang akhirnya mampu untuk bersaing dalam pelbagai
bidang pada masa akan datang termasuklah bidang ekonomi. Dalam sudut ekonomi
ini, jurang ekonomi yang jauh berbeza antara kaum di negara ini menyulitkan
kerajaan mencapai agenda perpaduan. Di samping itu juga, melalui pendidikan
pengenalan identiti kaum mengikut jenis pekerjaan juga dapat dihilangkan. Untuk
menilai sama ada berjaya atau tidak matlamat dan hasrat kerajaan, ianya
boleh dilihat dari sudut kejayaan mengurangkan jurang ekonomi di antara kaum
dan kejayaan menghapuskan pengenalan identiti kaum melalui bidang ekonomi.
Jurang ekonomi yang besar akan menyukarkan agenda perpaduan dan integrasi kaum.
Di negara ini, kaum Cina mendominasi bidang ekonomi. Keadaan ini menimbulkan
rasa iri hati kaum lain terhadap kaum Cina. Untuk mengatasi masalah ini
kerajaan melalui dasar pendidikan telah berjaya melahirkan ramai golongan
terpelajar dalam bidang ekonomi. Justeru itu, pada masa kini telah muncul
individu-individu daripada pelbagai kaum yang berjaya menyaingi kaum cina dalam
bidang ekonomi khususnya bidang perniagaan. Persaingan yang sihat ini akan
mengurangkan rasa cemburu dan iri hati kaum lain terhadap kaum Cina.
Pada masa kini juga, jenis pekerjaan tidak lagi menggambarkan identiti sesuatu
kaum di Malaysia. Semua kaum bebas memilih pekerjaan yang mereka inginkan, sama
ada dalam sektor awam, swasta atau bekerja sendiri. Keadaan ini adalah hasil
daripada dasar kerajaan yang telah berjaya memberi pendidikan kepada semua
kaum. Dalam sektor awam, jawatan guru contohnya, terdiri daripada pelbagai
kaum, Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya. Melalui percampuran
pelbagai kaum dalam bidang yang sama akan memudahkan lagi matlamat kerajaan
untuk mencapai perpaduan dan integriti kaum di negara ini. Golongan ini lebih
mudah memahami dan menghormati budaya dan adat resam kaum lain.
Oleh yang demikian dapatlah dikatakan bahawa, dasar pendidikan yang
dilaksanakan oleh pihak kerajaan telah berjaya melahirkan golongan yang
terpelajar dan berilmu daripada pelbagai kaum. Golongan terpelajar ini telah
merubah corak kehidupan dan ekonomi di negara ini. Tiada lagi monopoli ekonomi
oleh suatu kaum sahaja, bahkan ekonomi Malaysia terbuka luas untuk diterokai
oleh semua kaum. Melalui corak ekonomi yang lebih terbuka ini, jurang ekonomi
di antara kaum dapat dikurangkan.
Bidang Sukan dan Kesenian
Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat membentuk
individu murid yang menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani. Oleh yang demikian dasar pendidikan juga menekankan aspek
ko-kurikulum dalam menyatupadukan murid pelbagai kaum. Melalui ko-kurikulum
bakat murid dapat diasah dan diperkembangkan lagi ke peringkat yang lebih
tinggi. Melalui dasar pendidikan inilah, minat murid dalam bidang sukan dan
kesenian ditanam dan diperkembangkan.
Negara kita telah mencapai kecemerlangan dalam
bidang sukan. Contohnya sukan skuasy, badminton, bola sepak dan
sebagainya. Pelbagai lapisan masyarakat dan kaum telah menunjukkan semangat
patriotik dengan bersatu memberikan sokongan kepada ahli-ahli sukan negara dan
juga peserta-peserta yang terlibat. Kemenangan sama-sama diraikan dan kekalahan
turut sama dirasai. Ini menunjukkan kejayaan dasar pendidikan dalam
menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan menanam minat
terhadap sukan. Namun begitu, masih ada kelemahan dalam bidang sukan ini.
Iaitu masih ada sukan yang dimonopoli oleh kaum tertentu sahaja. Contoh yang
jelas adalah sukan bola keranjang dimonopoli oleh kaum berbangsa Cina.
Perlawanan bola keranjang peringkat kebangsaan yang disiarkan melalui Astro
menunjukkan bahawa hanya kaum Cina yang terlibat, pemain, penonton dan pengadil
semuanya berbangsa Cina. Begitu juga dengan sukan sepak takraw, semua
pemain adalah berbangsa Melayu. Oleh itu kerajaan perlu berusaha supaya
sukan-sukan sebegini diminati oleh semua golongan dan kaum.
Manakala dalam bidang kesenian pula, murid-murid
dididik supaya meminati seni dari peringkat sekolah rendah lagi. Melaui
kesenian, murid-murid diajar tentang kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di
Malaysia. Pendidikan kesenian ini akan membuka dan mematangkan minda
murid-murid. Mereka boleh menerima dan akan menghormati budaya orang lain.
Minat yang disemai dari peringkat awal lagi akan melahirkan insan-insan seni
dalam pelbagai bidang seperti seni lakonan, seni tarian, nyanyian, seni
lukis dan sebagainya. Insan-insan seni yang memahami kebudayaan dan
sensitiviti bangsa lain akan melahirkan karya-karya yang bercorak perpaduan.
Melalui karya-karya sebegini akan membantu membuka minda individu lain ke arah
kecemerlangan perpaduan. Sebagai contohnya seorang pengarah filem menghasilkan
filemyang bercorak patriotik akan member kesan yang positif dan prasangka baik
di kalangan penonton.
Hasrat kerajaan melalui dasar pendidikan untuk
menyatupadukan kaum dalam bidang sukan dan kesenian telah mencapai matlamatnya.
Kejayaan ini menjadikan kerajaan lebih ghairah memperkenalkan dasar baru agar
semua murid terlibat dalam aktiviti sebegini. Penubuhan sekolah sukan dan
sekolah seni merupakan antara titik tolak usaha kerajaan memperkasakan
perpaduan kaum di Malaysia. Dasar 1 Murid 1 Sukan juga telah dilaksanakan
bermula tahun 2011 utnuk memastikan perpaduan kaum dapat dicapai.
Bidang Sosial
Dalam bidang sosial, melalui dasar pendidikan
kerajaan berhasrat untuk meningkatkan keharmonian dan perpaduan antara kaum.
Perpaduan dari sudut sosial ini ialah penyatuan kelompok masyarakat yang
berbilang bangsa dengan latar belakang kebudayaan dan kepercayaan yang berbeza
hidup bersama dan slain bertolak ansur utnuk kepentingan dan faedah bersama.
Melalui pendidikan, kerajaan menekankan peri pentingnya mempelajari sejarah,
kebudayaan dan kepercayaan kaum lain serta menghormatinya. Pengetahuan amat
bernilai supaya tidak berlaku kejutan budaya apabila berlakunya pertembungan di
antara kaum dan etnik yang berlainan.
Perpaduan dan integrasi sosial pada hari ini dapat dilihat dalam kehidupan
masyarakat negara ini yang tinggal di kawasan bandar dan kawasan luar Bandar.
Kawasan taman perumahan contohnya, pelbagai kaum tinggal berjiran, mereka
saling bekerjasama untuk menjaga keharmonian kawasan mereka. Manakala pelbagai
aktiviti-aktiviti dirancang dan dilaksanakan bersama. Persatuan Rukun Tetangga
yang ditubuhkan diharap oleh ahli-ahli pelbagai kaum untuk menjaga keamanan dan
keselamatan kawasan tempat tinggal mereka.
Di samping itu, perpaduan kaum juga dapat dilihat
melalui perkahwinan. Pada masa kini perkahwinan berlainan bangsa bukan lagi
menjadi perkara baru bahkan kebanyakkannya direstui oelh keluarga kedua-dua
pihak. Senario ini banyak berlaku di negeri Sabah yang mana bilangan etniknya
berjumlah 42 etnik. Jika pada suatu masa dahulu perkahwinan sebegini boleh
menimbulkan persengketaan antara kedua-dua etnik, tetapi pada masa kini ianya
sudah menjadi kebiasaan hasil daripada sifat tolak ansur dan menghormati antara
satu sama lain. Melalui pendidikan juga, pelbagai kebudayaan masyarakat
berbilang kaum di Malaysia mula difahami dan diterima oleh kaum lain selagi
ianya tidak menyebabkan kehilangan identiti asal kaum. Sebagai contoh, budaya
bertukar-tukar makanan di kalangan jiran, sambutan perayaan bersama-sama,
pemberian duit raya dan sebagainya
Walaupun begitu dari bidang sosial ini, masih lagi
berlaku pertelingkahan dan pergaduhan yang menumpahkan darah akibat berlaku
pertembungan antara dua atau lebih kaum yang berbeza adat dan budaya. Namun
seringkali berita-berita sebegini tidak disiarkan di media massa untuk
mengelakkan perbalahan antara kaum menjadi lebih buruk. Faktor utama yang
mencetuskan perkara ini ialah faktor sikap dan mendahulukan kepentingan kaum
daripada kepentingan bersama. Oleh itu dasar kerajaan melalui Kurikulum
Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) amat tepat iaitu menerap nilai-nilai murni seawal usia lagi.
Penutup
Untuk mencapai perpaduan dan
integrasi kaum di negara ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Proses untuk
mencapai perpaduan dan integrasi mengambil masa yang lama serta memerlukan
perancangan yang teliti, tepat dan bijaksana. Bidang pendidikan merupakan
bidang yang paling penting dan sesuai untuk mencapai hasrat kerajaan
menyatupadukan dan mengintegrasikan pelbagai kaum. Oleh yang demikain, pelbagai
dasar pendidikan telah dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat
sesuai dengan suasana dan keadaan semasa untuk mencapai matlamat tersebut.
Setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menghadapi
tentangan dan cabaran yang berbeza daripada pelbagai kaum di negara ini.
Seringkali faktor sikap mementingkan kaum sendiri melebihi kepentingan negara
menjadi penghalang kejayaan sesuatu dasar. Justeru itu, untuk mencapai
perpaduan kaum secara mutlak semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara
melebihi kepentingan diri dan kaumnya. Sekiranya sikap ini tidak dapat
dipraktikkan oleh semua kaum, hasrat untuk mencapai perpaduan dan integrasi di
negara ini hanya menjadi angan-angan yang tidak mungkin dapat dicapai.
No comments:
Post a Comment