"Pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa". Malaysia memerlukan
tenaga pemuda dan bakal pemimpin untuk menjamin kemakmuran dan
kesejahteraan negara ini pada masa hadapan. Oleh sebab itu, Kementerian
Pelajaran Malaysia mewajibkan semau pelajar melibatkan diri dalam
kegiatan kokurikulum demi melahirkan insan yang seimbang. Kegiatan
kokurikulum dapat ditafsirkan sebagai kegiatan sekolah yang dijalankan
di luar waktu persekolahan dan terbahagi kepada tiga kategori, iaitu
kegiatan sekolah unit beruniform, persatuan, serta sukan dan permainan.
Aktiviti kokurikulum banyak berperanan membentuk pelajar yang seimbang dalam semua aspek
yang merangkumi aspek emosi, rohani, jasmani, dan intelek. antara
maslahat kegiatan ini ialah sifat kepimpinan dapat diwujudkan dalam diri
pelajar. Setiap persatuan pasti mempunyai ahli-ahli jawatankuasa
tertentu untuk menerajui pergerakan persatuan tersebut, seperti
pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli-ahli jawatankuasa kecil, dan
juruaudit. Pelajar-pelajar yang terpilih akan bertanggungjawab merancang
aktiviti-aktiviti persatuan serta mengawal disiplin ahli. Oleh itu,
mereka berpeluang mempersiapkan diri untuk memikul tugas-tugas sebagai
seorang pemimpin pada masa hadapan dan pada masa yang sama, mereka akan
dihormati dan disegani oleh rakan-rakan mereka. Oleh sebab pemilihan
pemimpin adalah secara demokrasi, pelajar-pelajar dapat memilih peneraju
persatuan mereka secara adil dan harmoni.
Seterusnya, kegiatan ini dapat memupuk semangat perpaduan
dalam kalangan pelajar untuk menyokong aspirasi "Satu Malaysia" yang
dikemukakan oleh Yang berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri
Najib bin Tun Razak. bak kata pepatah, "bersatu teguh, bercerai roboh".
Pelajar-pelajar dapat bergaul dan berinteraksi dengan rakan-rakan yang
berlainan latar belakang dan budaya semasa menyertai kehiatan
kokurikulum. Oleh sebab terdapat sesetengah aktiviti yang memerlukan
kegiatan berkumpulan, sikap tolong-menolong bagai aur dengan tebing
dapat diwujudkan dalam kalangan ahli persatuan untuk melancarkan
kegiatan tersebut. Dengan cara ini, perpaduan dan permuafakatan dapat
diwujudkan dalam kalangan pelajar sekolah kerana "Perpaduan Teras
Kejayaan".
Di samping itu, pelajar-pelajar akan lebih berdisiplin dan berdikari.
Aktiviti-aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh pasukan unit-unit
beruniform seperti Renjer Puteri, Kadet Remaja Sekolah, dan Kadet
Pertahanan Awam, memerlukan kemampuan pelajar untuk mejalankan
aktiviti-aktiviti harian tanpa bergantung kepada orang lain serta
disiplin yang tinggi. Sekiranya disiplin dan peraturan dalam sesebuah
pertubuhan tidak dipatuhi oleh seseorang ahli, ahli tersebut akan
dikenakan tindakan tatatertib. Oleh itu, kegiatan kokurikulum
terutamanya kegiatan badan-badan beruniform dapat membentuk pelajar yang
berdisiplin dan berkeyakinan untuk berdikari, yang sememangnya amat
penting sebagai persediaan pelajar untuk melangkah ke alam kerja.
Pada masa yang sama, para pelajar dapat mengasah bakat dan kemahiran mereka
tatkala menyertai persatuan atau mana-mana kegiatan sukan yang diminati
oleh mereka, misalnya Persatuan Komputer, Kelab Catur, dan Kelab
Keceriaan. Pelajar-pelajar yang melibatkan diri dalam kegiatan persatuan
secara aktif dapat menyerlahkan bakat mereka sepenuhnya melalui
aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh mereka, seterusnya memantapkan
kemahiran yang dimiliki oleh mereka. Mereka juga dapat mempelajari
kemahiran-kemahiran baru seperti memasak, membuat simpulan, dan
menggunakan teknologi maklumat terkini, serta ilmu-ilmu yang tidak dapat
diperoleh dalam bilik darjah. Rentetan itu, pelajar yang ada bakat
dapat menyerlahkan bakat mereka dalam kehidupan harian. Sementara
pelajar-pelajar yang lain pula dapat melengkapkan diri dengan ilmu
pengetahuan dan menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan
pelajar sekolah.
Sebagai intihanya, murid-murid wajar menyertai aktiviti kokurikulum
dengan aktif untuk menggalakkan perkembangan diri yang sihat dalam
pelbagai aspek dan bukannya sebagai profesor dalam dewan peperiksaan
sahaja. Marilah kita sedar dan berganding bahu mempersiapkan diri
sebagai bakal pemimpin negara dengan menyertai kegiatan kokurikulum
secara aktif dari sekarang, kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Sememangnya manusia yang cemerlang adalah manusia yang
berkemahiran dalam pelbagai bidang dan bukannya sebagai alat peperiksaan
sahaja.
SUMBER: http://nonsensical-orator230994.blogspot.com/2012/02/kebaikan-penyertaan-murid-murid-dalam.html
No comments:
Post a Comment