Pengenalan Image Map

Followers

Sunday, October 27, 2013

Kepentingan falsafah pendidikan terhadap sistem pendidikan sesebuah negara.

Sebagai seorang guru, penting untuk kita memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan disini saya ingin membincangkan tentang apakah kepentingan falsafah pendidikan terhadap sesebuah negara. Apakah yang dimaksudkan dengan falsafah pendidikan. Pada amnya, perkataan ‘falsafah’ boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membuktikan kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.

Perkataan ‘pendidikan’ pula didefinisikan sebagai ‘segala usaha, segala tenaga yang dicurahkan, segala gerak langkah yang dijalankan, segala pendapat yang diketengahkan yang dapat menambah kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan pengalaman yang dapat memberi faedah di dalam serba lapangan hidup’ (Abdul Fatah Hasan). Berdasarkan huraian di atas, ‘falsafah pendidikan’ boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Jika kita menghayati dan memahami maksud falsafah pendidikan, kita akan dapati bahawa falsafah merupakan isu yang sangat serius dan penting kepada sesebuah negara. Falsafah pendidikan memainkan peranan sebagai arah tuju, panduan dan bimbingan kepada sesebuah negara dalam membentuk perkembangan pelajar secara menyeluruh yang meliputi dimensi intrinsik dan dimensi instrumental/sosial.

Maka, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis berlandaskan daripada ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan, termasuk Rukun Negara. FPK merupakan satu usaha yang berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan  harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Dalam erti kata lain, FPK ini akan menjadi suluh yang memberi pedoman dan hala kepada segala usaha pendidikan sama ada di dalam institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan. Sehubungan ini, FPK adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan yang mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.

Dengan adanya falsafah pendidikan, maka sistem pendidikan sesebuah negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan (contohnya sistem pendidikan Malaysia) daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Selain itu, FPK juga berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus dapati ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Falsafah pendidikan juga menekankan tentang pendidikan. Pendidikan merupakan satu proses yang berterusan sepanjang hayat iaitu bermula dari bayi sehinggalah ke akhir hayat seseorang itu. Proses pemerolehan, pemindahan pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan merupakan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan lagi. Pendidikan sudah bermula sejak kita berada di rumah lagi, seterusnya pendidikan secara formal di sekolah, institut pengajian tinggi dan sebagainya. Jika dilihat dari perspektif lain, pendidikan suatu usaha berterusan ini membolehkan berlakunya perkembangan ilmu yang kritikal, seimbang dan mampu untuk melahirkan modal insan yang menjadi matlamat utama negara kita pada masa sekarang.

Selain daripada itu, perkembangan intelek, rohani, emosi dan jasmani merupakan perkara yang dititikberatkan dalam FPK. Unsur-unsur ini membantu dalam perkembangan potensi individu dan menjadi asas kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perkembangan potensi individu dalam empat aspek ini telah membawa kepada perkembangan perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu. Perkembangan secara menyeluruh dan bersepadu ini merangkumi perkembangan individu yang maksima pada jalan atau cara yang tepat bagi membantu menggilap potensi yang ada dalam diri individu tersebut. Perkembangan ini dapat membantu individu dalam kecergasan mental, menyelesaikan masalah dengan tepat, mengawal emosi dengan baik dan mempunyai tingkah laku yang baik.

Berlandaskan kepada FPK yang telah dihuraikan diatas, jelas bahawa Matlamat Pendidikan Negara bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.




No comments:

Post a Comment