Peranan Guru Dalam Transformasi Pendidikan
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN DAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
DI MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-42
PADA 16 MEI 2013; PUKUL 8.30 MALAM
BERTEMPAT DI STADIUM TERTUTUP NILAI, NEGERI SEMBILAN
TEMA: “GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA”
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan,
Menteri Besar Negeri Sembilan;
Yang Berhormat Datuk Seri Idris Jusoh
Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II
Yang Berhormat Datuk Marry Yap
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I
Yang Berhormat P. Kamalanathan
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II
Yang Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Ghafar bin Mahmud,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Puan Hajah Kalsom binti Khalid, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian
Kementerian Pelajaran Malaysia, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.
PENDAHULUAN
1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan
berkat izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita berhimpun pada malam ini
untuk sama-sama meraikan para guru dan seluruh warga Kementerian
Pelajaran Malaysia sempena sambutan Hari Guru 2013. Terlebih dahulu,
saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang
tidak terhingga kepada YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji
Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus atas kesudian menjadi
tuan rumah dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program
sambutan Hari Guru pada tahun ini.
2. Saya juga
mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan atas
kejayaan memimpin Barisan Nasional memenangi negeri ini dalam
pilihanraya umum yang baru lalu. Saya juga mengucapkan tahniah kepada
Yang Berhormat Datuk Seri Idris Jusoh, Yang Berhormat P Kamalanathan dan
Yang Berhormat Mary Yap atas pelantikan sebagai Menteri II dan
Timbalan-Timbalan Menteri di Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi.
Saya berharap agar dengan pelantikan Yang Berhormat sekalian di
Kementerian kita ini akan dapat membantu saya melaksanakan tugas yang
lebih mencabar selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang
pendidikan dari peringkat pra-sekolah hingga ke tahap pengajian tinggi.
InsyaAllah dengan kerjasama yang erat antara anggota pentadbiran yang
baru dilantik oleh YAB Perdana Menteri dan seluruh warga Kementerian
Pelajaran dan Pengajian Tinggi yang digabungkan, kita akan dapat
bersama-sama melaksanakan amanah memacu kecemerlangan pendidikan di
negara kita dengan sebaik mungkin.
3. Saya juga ingin
merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada
YAB Perdana Menteri yang telah sekali lagi memberikan kepercayaan kepada
saya untuk memimpin Kementerian Pelajaran yang amat penting kepada
perpaduan rakyat dan kemajuan negara kita. Keputusan YAB Perdana Menteri
untuk menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian
Tinggi di bawah satu bumbung dengan pelantikan seorang Menteri Kedua
adalah satu keputusan tepat yang melambangkan keprihatihan kepimpinan
beliau untuk melihat bidang pendidikan di negara kita dapat diurus
dengan lebih cekap dan menyumbang secara lebih berkesan kepada kemajuan
negara. InsyaAllah, dengan penggabungan kedua-dua Kementerian ini kita
akan dapat melaksanakan dasar-dasar yang lebih seragam di semua
peringkat pendidikan di samping berkongsi sumber dan kepakaran di
sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk melonjakkan lagi mutu
pendidikan di negara kita. Usaha-usaha transformasi pendidikan akan
dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen apabila kepakaran daripada semua
peringkat pendidikan dapat digembeng secara lebih menyeluruh untuk
menghasilkan satu lonjakan berganda dalam pendidikan negara.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
4. Tarikh 16 Mei merupakan hari yang begitu istimewa buat
setiap insan bergelar guru. Hari ini memberi peluang kepada kita semua
untuk menyatakan penghargaan dan penghormatan terhadap jasa bakti guru
kita di seluruh negara. Tidak kira samada anda adalah guru yang bertugas
di tadika, di sekolah, di kolej atau di universiti, anda semua adalah
insan istimewa yang telah membimbing anak bangsa sehingga mereka menjadi
warganegara yang berjaya. Justeru, sempena tarikh keramat ini, saya
ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan
kepada semua guru tidak kira walau di mana anda berada di seluruh
pelusuk negara.
5. Sebagai Menteri Pelajaran saya
menyeru para guru yang dikasihi untuk terus berjihad dan bertekad
bersama-sama kerajaan Barisan Nasional yang telah sekali lagi diberi
mandat oleh rakyat untuk menerajui negara bagi menerus dan mempergiatkan
usaha mendidik generasi muda menjadi insan dan warganegara yang
berguna. Kerajaan sentiasa menghargai peranan para guru dalam membina
modal insan, memelihara perpaduan kaum dan berbakti kepada negara.
6. Tidak dapat kita nafikan, kesejahteraan dan kehidupan selesa
yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil sumbangan dan berkat
kegigihan serta pengorbanan guru dalam bidang pendidikan. Matlamat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang dan
holistik tidak akan tercapai tanpa peranan besar yang dimainkan oleh
para guru. Segala dasar dan pelan pendidikan yang terbaik tidak dapat
direalisasikan tanpa komitmen dan dedikasi para guru. Segala cabaran dan
rintangan yang dihadapi oleh generasi masa kini memerlukan bimbingan
para guru. Bahkan, tugas guru pada alaf ini menjadi semakin penting
kerana bidang pendidikan merupakan penentu kejayaan sesebuah negara.
Cabaran besar untuk mendidik murid agar menghargai nilai keinsanan,
menghormati perbezaan adat dan budaya serta memperkukuh perpaduan dan
jati diri memerlukan guru yang bukan hanya mahir mengajar tetapi juga
bijak membimbing.
7. Lebih-lebih lagi dalam sebuah
negara majmuk seperti Malaysia, peranan guru membina sebuah masyarakat
yang harmonis dan bersatu padu menjadi semakin mencabar. Walaupun negara
kita telah merdeka lebih 56 tahun dan masyarakat pelbagai kaum dapat
hidup secara bersama dalam suasana yang aman dan harmoni, tugas untuk
memelihara perpaduan kaum adalah satu tanggungjawab yang perlu
dilaksanakan secara berterusan. Kita tidak boleh lalai dan leka kerana
kecenderungan ke arah polarisasi kaum sentiasa wujud dan jika tidak
dibendung ia akan memberikan kesan yang amat buruk terhadap keharmonian
masyarakat dan kestabilan negara.
8. Oleh sebab itu,
antara peranan utama pendidikan sepertimana yang termaktub dalam Dasar
Pendidikan di negara kita ialah untuk membina sebuah masyarakat yang
bersatu padu menerusi satu sistem pendidikan kebangsaan. Kewujudan
sekolah-sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai
bahasa pengantar utama adalah wahana penting untuk membolehkan murid
pelbagai kaum mengikuti pendidikan menggunakan kurikulum yang sama,
bertutur dalam bahasa yang sama dan bergaul sesama mereka dalam suasana
yang penuh mesra dan akrab.
9. Dalam konteks ini,
pendidikan merupakan wahana penting pembinaan sebuah negara bangsa yang
bersatu padu. Sekolah-sekolah kebangsaan merupakan wahana pemersatu yang
mempunyai peranan penting untuk menyatukan semua kaum di negara kita.
Kita perlu sentiasa memikirkan bagaimana institusi pendidikan di
peringkat sekolah dan universiti dapat membina perpaduan yang lebih jitu
dalam kalangan rakyat. Setiap institusi pendidikan di negara kita perlu
mewujudkan suasana yang kondusif untuk membolehkan murid daripada
pelbagai latar kaum dan agama bergaul sesama mereka dengan lebih mesra
dan akrab. Kita perlu runtuhkan tembok prejudis yang tebal dengan
menggalakkan interaksi yang harmonis antara murid pelbagai kaum. Pada
masa yang sama, kita mesti meneruskan usaha memperkasa sekolah
kebangsaan sebagai sekolah perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan rakyat.
10.
Menerusi sistem pendidikan kebangsaan, kita mesti lahirkan warga negara
yang patriotik dan berakhlak mulia, yang memahami sejarah asal usul
negara bangsa, yang mengormati perlembagaan dan undang-undang negara,
yang menjunjung sistem demokrasi berperlembagaan, dan menghayati
semangat serta prinsip rukunegara. Pendidikan di negara kita bukanlah
semata-mata alat untuk melahirkan modal insan yang berjaya memacu
kemajuan negara, tetapi juga melahirkan insan mulia dalam sebuah
masyarakat majmuk yang menghayati sejarah, menghormati perbezaan agama,
adat dan budaya serta menghargai nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
11. Tugas penting ini tergalas di bahu para guru. Mudah-mudahan
jasa dan bakti guru yang dicurahkan pada hari ini akan menentukan rupa
wajah masa depan negara kita yang lebih bersatu-padu.
GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
12. Pada tahun ini, kita memilih “GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI,
1AGENDA” sebagai tema Hari Guru. Pada hemat saya, tema ini amat
bertepatan dengan hasrat Kementerian untuk mentransformasi sistem
pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025 yang telah kita lancarkan. Tema ini merupakan cerminan harapan
rakyat dalam melahirkan generasi masa hadapan yang lebih cemerlang di
negara kita. Seluruh warga pendidik wajar memahami hasrat dan kehendak
dalam PPPM dengan berusaha memberikan pendidikan berkualiti menjangkau
ke seluruh lapisan kanak-kanak sesuai dengan prinsip pendidikan untuk
semua tanpa membezakan kaum, status sosial, taraf ekonomi, dan agama.
13. Kementerian Pelajaran telah merangka pelan pembangunan yang
komprehensif untuk mencapai matlamat PPPM. 100 inisiatif utama telah
dibentuk bagi pelaksanaan PPPM 2013-2025 yang merangkumkan dasar-dasar
utama kerajaan termasuk Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi
Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10. Saya juga amat bersyukur kerana
sasaran enam inisiatif untuk 100 hari gelombang pertama PPPM telah pun
berjaya dicapai.
KEJAYAAN 100 HARI PERTAMA PPPM
14.
Antaranya, 61,000 orang guru Bahasa Inggeris telah diuji melalui
Cambridge Placement Test (CPT) bagi mengenal pasti tahap profisiensi
guru dalam bahasa Inggeris. Berdasarkan analisis keputusan CPT yang
telah dilaksanakan, kohort pertama yang terdiri daripada 5,000 guru
telah memulakan latihan bagi meningkatkan lagi tahap profisiensi mereka.
Seterusnya, program latihan Professional English Language Teaching
(Pro-ELT) dilaksanakan secara berfasa melibatkan guru-guru Bahasa
Inggeris yang berkenaan.
15. Kementerian berharap agar
guru yang mengikuti program latihan secara tersusun dan sistematik akan
dapat melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di
sekolah dengan lebih berkesan. Seterusnya, sudah pasti murid akan
beroleh manfaat dan mampu bersaing di persada antarabangsa apabila
mereka lebih fasih serta yakin untuk berbahasa Inggeris.
16.
Peningkatan kualiti guru juga dilaksanakan dengan mewujudkan 339
Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan 1,278 Pembimbing Pakar
Pembangunan Sekolah (SISC+) yang ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah
di seluruh negara menjelang 2014. SiPartners+ dan SISC+ diwujudkan
untuk mengiktiraf kepakaran guru melalui Program Transformasi Pejabat
Pelajaran Daerah. Pembimbing guru dan kepimpinan sekolah yang dirintis
di Kedah dan Sabah telah berjaya membantu meningkatkan kesedaran guru
kepada amalan pengajaran yang lebih efisyen di samping pengurusan
sekolah yang lebih cekap. Melalui transformasi PPD, saya yakin guru
mendapat sokongan yang terbaik sehingga dapat meningkatkan kualiti
sekolah dengan pengurangan sebanyak 50 peratus sekolah dalam band 6 dan 7
di negeri Sabah dan Kedah. InsyaAllah, menjelang tahun 2015 kita akan
berjaya mencapai sasaran sifar bagi kedua-dua band tersebut.
17. Dengan kejayaan mencapai matlamat inisiatif 100 hari
pelaksanaan PPPM, saya suka mengingatkan agar kita semua janganlah lalai
dan leka. Usaha yang berterusan perlu digiatkan bagi memastikan anak
didik kita menguasai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman pembelajaran
yang berkualiti. Justeru, usaha bagi merealisasikan kesemua 19 inisiatif
PPPM perlu kita laksanakan sedaya upaya dengan penuh komitmen agar
menjelang 2015 segala perancangan strategik berjaya dilaksanakan
sepenuhnya. Saya amat mengharapkan jasa baik dan bantuan guru-guru untuk
berganding bahu bersama-sama saya menjayakan inisiatif PPPM yang telah
kita usahakan.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
PERANAN GURU DALAM PPPM
18. Dalam melaksanakan hasrat PPPM, para guru berperanan untuk
melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia. Untuk
itu, para guru perlu memiliki satu wawasan unggul untuk mentransformasi
pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu
berinovasi. Bagi menyahut hasrat ini, para guru perlu sentiasa berusaha
untuk meningkatkan keberhasilan sekolah dan kemenjadian murid. Saya
akur, guru selama ini memang telah berakauntabiliti dalam meningkatkan
pencapaian murid dan kejayaan sekolah. Namun, akauntabiliti terhadap
keberhasilan operasi sekolah masing-masing perlu terus dipertingkatkan
kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini persaingan menjadi semakin
sengit. Kebolehan kita untuk berjaya bergantung pada kelebihan daya
saing kita yang ditentukan oleh kemampuan minda dan keupayaan berfikir
pada aras tinggi. Oleh itu, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)
meliputi pemikiran kritikal, keupayaan berkomunikasi, kemampuan
penerokaan persekitaran serta keyakinan kendiri perlu sentiasa dijana
menerusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang holistik.
19. Bagi menilai keberkesanan KBAT, sebanyak 30 peratus soalan
dalam peperiksaan pusat seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM/STAM menjurus
kepada elemen KBAT. Dalam kalangan murid juga, KBAT dinilai melalui
peperiksaan antarabangsa seperti TIMSS dan PISA sesuai dengan hasrat
Kementerian untuk melahirkan murid yang mampu bersaing di peringkat
global. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dilaksanakan
dalam tempoh dua tahun ini diharap dapat mengesan kelebihan atau
kegagalan penguasaan murid dari peringkat awal. Melalui PBS, saya yakin
guru dapat mencungkil kemahiran berfikir aras tinggi murid dan
menggalakkan perekaciptaan dalam kalangan mereka.
20.
Pendeta Za’aba pernah menegaskan bahawa ilmu pengetahuan adalah asas
terpenting yang menyelamatkan manusia daripada belenggu kemunduran.
Justeru, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu sentiasa dimantapkan agar
kita kekal relevan dalam persaingan menuju negara maju. Oleh sebab itu,
guru-guru juga harus berani meneroka pelbagai cabang ilmu untuk
mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan. Warga guru
wajar mencontohi Cikgu Zainuddin Zakaria dari SMK Taman Bukit Maluri
Kepong yang telah memenangi tempat pertama dalam kategori “Educator’s
Choice” semasa persidangan ‘Microsoft 8th Partners in Learning Asia and
Pacific Forum’ di New Zealand menerusi hasil penciptaan beliau yang
menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan
pembelajaran
LATIHAN DAN LALUAN KERJAYA GURU
21.
Pemerkasaan guru melalui latihan yang berterusan amat penting bagi
menghasilkan tenaga kerja mahir. Modal insan minda kelas pertama
dipertaruhkan untuk memacu pembangunan negara dalam merealisasikan
Wawasan 2020. Oleh itu, amatlah wajar aspek pendidikan guru menjadi
agenda utama kementerian. Pelan induk Pembangunan Profesionalisme
Berterusan (CPD) baharu dan pangkalan data pengesanan CPD bagi memantap
dan mengukuhkan ilmu pengetahuan akan dilaksanakan. CPD dapat
membangunkan kapasiti dan mengukuhkan nilai profesional untuk
meningkatkan kualiti diri dan kompetensi dalam profesion seiring dengan
aspirasi negara. Peningkatan keupayaan dan kompetensi guru termasuk
pemimpin sekolah diberi keutamaan bagi menjamin keberhasilan pencapaian
murid. Dalam usaha memastikan guru berpeluang untuk mendapatkan latihan
yang cukup, Latihan Berasaskan Sekolah perlu dirancang dan dilaksanakan
di setiap sekolah.
22. Kerajaan amat berterima kasih
atas usaha dan ketekunan guru meningkatkan kualiti pendidikan. Demi
memartabatkan profesion keguruan, kerajaan telah menggariskan beberapa
inisiatif untuk meningkatkan taraf para guru. Melalui PPPM 2013-2025,
pelan untuk menaik taraf profesion keguruan akan dirangka supaya 420,000
guru berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi. Laluan kerjaya
yang terbaik akan disediakan untuk guru. Namun guru-guru hendaklah
berada di tahap prestasi cemerlang dalam Penilaian Instrumen Bersepadu
dan melengkapkan diri melalui CPD yang bersesuaian sebelum dipertimbang
dan diperakukan untuk kenaikan pangkat. Walau bagaimanapun, untuk
memastikan pendidikan negara terus berkualiti, guru berprestasi rendah
akan melalui CPD yang sistematik dan berstruktur atau sesi kaunseling
mengikut keperluan. Bagi guru-guru yang masih lagi tidak menunjukkan
sebarang peningkatan atau perubahan walaupun telah melalui CPD berkenaan
akan melalui proses penempatan semula mengikut kesesuaian.
23. Guru-guru yang baru dilantik atau novis juga perlu bersedia
dengan pengetahuan dan kemahiran supaya dapat mengharungi perubahan
persekitaran yang dinamik. Guru perlu mengajar murid untuk mempraktikkan
ilmu dan mengaplikasikan serta mencetuskan idea baharu. Bagi
menghasilkan modal insan yang setanding dengan aras antarabangsa
sekurang-kurangnya pada tahap ‘kategori tiga teratas’ dalam sistem
pendidikan terbaik dunia, maka profesion keguruan perlu
ditransformasikan. Selaras dengan PPPM 2013-2025, Institut Pendidikan
Guru (IPG) perlu membawa perubahan melalui penggunaan prinsip Strategi
Lautan Biru dengan mencipta pasaran atau produk yang belum ada saingan,
menjadikan saingan tidak relevan, fokus kepada bukan pelanggan sedia ada
dan mencipta serta meneroka permintaan baharu. Dengan perkataan lain,
IPG perlu mengorak langkah memperluaskan pasaran latihan perguruan ke
luar negara dan secara tidak langsung melebarkan kebolehpasaran graduan
IPG sendiri. Sudah sampai masanya IPG menghasilkan kurikulum pendidikan
guru bertaraf antarabangsa supaya latihan perguruan dapat diperluaskan
dengan menawarkan latihan perguruan kepada negara dunia ketiga.
24. Sesungguhnya guru juga akan menikmati persekitaran kerja yang
lebih sesuai bagi memastikan kualiti kerja meningkat. Sesungguhnya guru
juga akan menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai bagi
memastikan kualiti kerja meningkat. Melalui PPPM 2013-2025, guru akan
didedahkan dengan budaya kerjasama dan kecemerlangan profesional. Mereka
perlu saling bekerjasama dalam menangani isu dan berkongsi amalan
terbaik. Dengan itu, guru akan mempunyai keluwesan pedagogi yang lebih
besar di dalam bilik darjah bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran
murid. Untuk memastikan guru lebih fokus terhadap pengajaran dan
pembelajaran dan murid mendapat faedah semaksimum mungkin, maka kita
sedang menjalankan kajian rintis di Melaka bagi menempatkan pembantu
tadbir N17 di sekolah bagi menguruskan tugas perkeranian guru data,
perpustakaan dan media. Guru data dan guru media akan melepaskan tugas
berkenaan secara beransur-ansur untuk memberi fokus kepada pengajaran
dan pembelajaran secara sepenuh masa. Dapatan awal kajian rintis
menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sekiranya kajian rintis ini
berjaya, maka insyaAllah kita akan memperluaskan khidmat sokongan
pembantu tadbir N17 ini ke semua sekolah secara berperingkat-peringkat.
Kita yakin, masa mengajar guru yang berkualiti adalah sangat berharga
dalam meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhannya.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
TRANSFORMASI KURIKULUM
25. Kita sedar bahawa penghayatan nilai-nilai rohani adalah satu
tonggak utama dalam pendidikan. Sementara kita ghairah mengejar kemajuan
duniawi, pembentukan insan yang beriman dan bersahsiah mulia jangan
kita abaikan. Saya amat bersyukur dalam PPPM 2013-2025, aspek kerohanian
juga ditekankan bagi menjana modal insan berakhlak mulia. Pembentukan
murid dengan nilai-nilai murni berasaskan ajaran agama amat penting bagi
memastikan negara memperoleh generasi pemimpin masa hadapan yang telus,
bertanggungjawab dan berintegriti. Justeru, Transformasi Kurikulum
Pendidikan Islam digubal dengan mewujudkan Kurikulum Dini dan Kurikulum
Tahfiz sebagai Kurikulum Kebangsaan yang akan dilaksanakan secara
berperingkat-peringkat bermula dengan Tingkatan Enam Dini pada tahun
2014 dan Tingkatan 1 pada tahun 2015. Pendaftaran Sekolah Agama Negeri
dan Sekolah Agama Rakyat sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan jelas
membuktikan bahawa KPM komited untuk mengangkat martabat pendidikan
Islam di negara ini. Di samping itu, KPM turut mengambil perhatian
terhadap penerapan nilai-nilai murni menerusi pelaksanaan kurikulum
Pendidikan Moral.
26. Selain itu, kemahiran vokasional
dan perekaciptaan dalam kalangan murid diperluaskan dalam Pelan
Transformasi Pendidikan Vokasional. Pelan tansformasi ini telah
dilancarkan merangkumi lima strategi utama, lima inisiatif serta sebelas
tindakan bagi meningkatkan nilai pasaran kerja murid dan melonjakkan
kualiti pendidikan vokasional setaraf dengan negara maju. Sesungguhnya,
transformasi vokasional telah menunjukkan kejayaan apabila KPM menerima
permohonan memberangsangkan dengan 110,000 pemohon untuk mengikuti
kursus di Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik. Buat masa ini
kita dapat menampung 23,000 orang pelajar bagi program aliran
vokasional, kemahiran dan teknikal. Usaha sedang dibuat untuk
menyediakan lebih banyak tempat bagi memenuhi permintaan yang tinggi
dalam aliran ini.
27. Bagi meningkatkan kualiti
pendidikan vokasional, jalinan kerjasama dengan Institut Latihan
Kemahiran Awam dan Swasta telah dilaksanakan. Jalinan kerjasama ini
memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan pelajar sebelum
menempuh alam pekerjaan sebenar. Penglibatan dalam perkongsian ini akan
membolehkan KPM memperoleh teknologi serta kepakaran, selain mengelak
berlakunya masalah ketidaksepadanan antara latihan kemahiran yang
disediakan dan bidang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak industri.
KEJAYAAN GURU DARI ASPEK LATIHAN DALAM BIDANG SUKAN
28. Pada hari ini, kita dapat membuktikan landasan yang dibina
oleh KPM dari peringkat akar umbi telah menghasilkan atlet murid yang
cemerlang dan berpotensi tinggi bukan sahaja di peringkat kebangsaan
malah di peringkat antarabangsa. Banyak kejayaan yang telah diraih oleh
atlet kita di temasya sukan di dalam dan luar negara. Sebagai contoh, di
Kejohanan Balapan dan Padang MSSM 2012, sebanyak 10 rekod baru dicipta.
Begitu juga dalam Kejohanan Renang MSSM 2013, sebanyak 12 rekod baru
dicipta. Perenang muda seperti Welson Sim dari Sekolah Sukan Bukit Jalil
dan Yap Siew Hui dari SMK Khatolik Petaling Jaya bakal mewakili negara
pada masa terdekat. Ini jelas menunjukkan peningkatan prestasi atlet
kita bermula di peringkat kebangsaan. Di persada antarabangsa pula,
atlet murid kita juga telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam
Kejohanan ASEAN Schools Games 2012. Saya begitu bangga kerana Malaysia
menjadi johan dalam sukan balapan dan padang.
29. Atlet
kita juga cemerlang dalam kejohanan badminton Sekolah-Sekolah Asia
apabila pasukan negara muncul sebagai juara di rantau Asia. Di kejohanan
bolasepak Sekolah-Sekolah Asia Bawah 15 Tahun, kontinjen negara telah
diumumkan sebagai naib johan. Di samping itu, terdapat juga atlet murid
dari Sekolah Sukan Bukit Jalil mewakili remaja negara dalam sukan skuasy
seperti Ng Eain Yow yang telah menjuarai kejohanan Skuasy Remaja
Terbuka British. Begitu juga dengan atlet murid sukan renang dan
menembak yang telah menyinar dalam Australian Youth Olympic Festival
dengan meraih pingat emas. Atlet murid perempuan dari Sekolah Sukan
Bukit Jalil kita pula cemerlang dalam kejohanan bola jaring
‘Tri-Nations’ di Hong Kong dengan menjuarai kejohanan tersebut. Atlet
murid ini bakal mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. KPM
sentiasa menghargai jasa guru dalam mengharumkan nama sekolah, daerah,
negeri serta negara dengan usaha gigih dan mencungkil bakat-bakat baru
dalam bidang sukan selama ini.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
30. Seperti yang saya sebutkan di awal ucapan, kelestarian,
kemajuan dan kemakmuran negara juga terletak pada keupayaan guru untuk
memupuk perpaduan dan keharmonian kaum yang berkekalan. Bagi
meningkatkan lagi penghayatan murid pelbagai kaum terhadap nilai
patriotisme, guru perlu melaksanakan pelbagai program yang menjurus ke
arah penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara. Usaha memperkenalkan dan
mempopularkan lagu-lagu patriotik dalam kalangan murid merupakan satu
langkah yang baik untuk mewujudkan integrasi nasional di semua jenis
sekolah. Di samping itu, sukalah saya mengingatkan guru-guru agar
menjadi suri teladan dan contoh yang baik kepada murid dalam usaha
menghayati nilai-nilai murni serta nilai patriotisme itu sendiri. Dalam
konteks ini, guru juga harus sentiasa menyuntik rasa bersyukur dan
berterima kasih dalam sanubari murid atas kemakmuran dan kestabilan
negara yang sedang kita nikmati hingga ke hari ini.
31.
Saya juga berasa teruja untuk mengucapkan terima kasih atas pengorbanan
dan keberanian guru-guru kita di Lahad Datu. Saya ucapkan terima kasih
terutama kepada Cikgu Saabi binti Hasin dari SK Lok Buani Lahad datu
yang menjadikan rumahnya sebagai sekolah sementara untuk anak-anak murid
belajar dan membiayai pula perbelanjaan makan minum mereka. Selain itu,
saya juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Catherine Gonolon dari
SK Fajar Harapan Lahad Datu yang sanggup berada di kawasan pertempuran
dan mengajar murid-murid dari sekolah yang berlainan. Inilah antara
contoh guru yang kita sanjung tinggi. Saya berharap tiada lagi guru yang
mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi yang boleh menjatuhkan maruah
dan kredibiliti guru yang sememangnya disanjung tinggi oleh masyarakat
kerana sanggup berbakti tanpa mengira suasana, masa dan tempat. Tahniah
dan syabas saya ucapkan kepada guru-guru yang sanggup berkorban dalam
apa jua keadaan demi mendidik anak bangsa.
32. Setimpal
dengan jasa dan pengorbanan guru yang tidak terhingga, kerajaan
menyediakan Anugerah Tokoh Guru pada setiap tahun bertujuan untuk
mengenang jasa dan bakti guru yang telah bersara, namun tetapi masih
aktif berbakti kepada negara. Pada tahun ini, kita memperkenalkan
Anugerah Ikon Guru bagi mengiktiraf jasa guru yang masih berkhidmat dan
telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua bakal para
penerima anugerah.
33. Akhir kalam, saya mengucapkan
Selamat Hari Guru dan terima kasih cikgu. Marilah kita bersama-sama
menjayakan transformasi pendidikan bagi memenuhi hasrat dan aspirasi
negara kita untuk menjadi sebuah negara maju. Seiring dengan tema Hari
Guru tahun ini iaitu “1 Agenda, 1 Aspirasi”, saya mengajak warga guru
sekalian untuk bekerja bersama-sama saya bagi memastikan pendidikan di
negara kita menjadi antara yang terunggul dan terbaik di dunia. Kepada
Allah kita berserah dan kepadaNya jua kita memohon pertolongan.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-42
tahun 2013.
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment