TAWAU - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang
dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam
bertujuan melahirkan pelajar berkualiti tinggi, kata Timbalan Menteri
Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.
Justeru, katanya warga pendidik termasuk guru dan pentabir sekolah
mesti memahami aspirasi PPPM bagi memastikan pelaksanaan pelan
pendidikan sepanjang 13 tahun itu berjalan lancar, sekali gus mencapai
matlamatnya.
"Sekiranya kita nak lahirkan pelajar berkualiti bermakna kita juga
mesti memberi latihan kepada guru untuk melahirkan guru berkualiti. Anda
tentu sudah maklum, seperti disebutkan Tan Sri Muhyiddin, bahawa
(syarat) pengambilan guru akan ditingkatkan.
"Tiga puluh peratus pelajar terbaik (dalam Sijil Pelajaran Malaysia)
akan diberi peluang (mengambil bidang perguruan). Seperti disebut
Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, mereka yang
hendak memohon menjadi guru hendaklah (sekurang-sekurangnya) memperoleh
7A bagi calon di Semenanjung dan 5A bagi calon dari Sabah dan Sarawak,"
katanya.
Yap berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis
Perjumpaan Khas dengan Warga Pendidikan Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad
Datu di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Pendidikan Sabah Jame Alip.
Beliau berkata sepanjang pelaksanaan PPPM berkenaan, guru akan diberi
latihan dan bimbingan berterusan termasuk melalui pendekatan Komuniti
Pembelajaran Profesional dengan guru-guru pakar akan membantu guru dan
pengetua lain bagi meningkatkan kemahiran guru di sekolah.
Menurut Yap, mereka yang bakal dilantik menjadi guru besar dan pengetua
pula, wajib menghadiri program khas di Institut Aminuddin Baki (AIB)
sebagai persediaan melahirkan guru besar dan pengetua cemerlang.
"Banyak transfomasi akan berlaku secara berperingkat sepanjang
pelaksanaan PPPM dalam tempoh 13 tahun mulai tahun ini. Sepanjang
pelaksanaannya, pihak kementerian juga mengadakan proses penilaian dan
refleksi dengan rakyat diberi ruang mengemukan pandangan," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta warga pendidik supaya banyak
bersyukur kerana kebajikan mereka sentiasa dipelihara kerajaan sehingga
kedudukan mereka jauh lebih baik berbanding guru-guru di negara lain. -
Bernama
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/pppm-lahirkan-pelajar-berkualiti-1.199729
No comments:
Post a Comment